Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013
131) PEKERJA LADANG
Tahun: 2013
Sesi: 3
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan negeri untuk membantu pekerja ladang dan nyatakan mengikut daerah, PBT, DUN dan parlimen?
Kerajaan Negeri tidak mengkhususkan kawasan tertentu dalam membantu pekerja ladang memandangkan ladang-ladang ini tertumpu di merata kawasan. Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi (UPEN) akan mengadakan semakan semula ladang-ladang di Negeri Selangor memandangkan terdapat ladang-ladang yang dibuka atau ditutup tidak dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri. Maklumat terkini ladang mengikut daerah, PBT, DUN, mahupun Parlimen akan dikemukakan kemudian apabila bancian ini selesai
Kerajaan Negeri membantu pekerja ladang dari segi pendidikan iaitu dengan mewujudkan tabung khas iaitu Tabung Anak-anak Pekerja Ladang yang diperuntukkan sebanyak RM1 juta setahun. Peruntukan ini digunakan untuk tujuan berikut:
- Bantuan yuran pengajian bagi pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta;
- Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah bagi yang layak;
- Bantuan infrastruktur sekolah di ladang; dan
- Program-program pembangunan pendidikan anak-anak pekerja
Selain daripada pendidikan, Kerajaan Negeri juga telah membantu dari segi pendapatan sampingan keluarga pekerja ladang di bawah Skim Wanita Ladang atau dikenali sebagai WALA. Skim ini adalah merupakan salah satu program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah tanggungjawab Y.B. Puan Rodziah binti Ismail .
-
Berapa perbelanjaan yang dikeluarkan bagi membantu pekerja ladang dari 2008 hingga 2013?
Sehingga tahun 2013, sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan bagi membantu pekerja ladang dari segi pendidikan di bawah Tabung Anak-anak Pekerja Ladang.
-
Nyatakan agensi kerajaan negeri yang terlibat membangunkan ekonomi pekerja ladang?
Setakat ini tiada agensi khusus yang dilantik. Namun Kerajaan Negeri bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) merancang untuk mengadakan program-program bersama dengan pekerja ladang terutamanya untuk meningkatkan ekonomi mereka.