Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
102) PEKERJA KDEB WASTE MANAGEMENT SDN BHD (KDEBWM)
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan peratusan pekerja warga asing yang berkhidmat dengan KDEBWM dan kontraktor-kontraktornya secara terperinci.
Soalan ini adalah melibatkan dua konteks yang berbeza. Dalam konteks KDEBWM yang sehingga kini memiliki seramai 291 pekerja, semua kakitangan yang dilantik oleh adalah seratus peratus warga tempatan. Bilangan pekerja teramai adalah Penyelia Kawasan iaitu seramai 214 orang atau bersamaan sebanyak 74 peratus dari keseluruhan jumlah kakitangan KDEBWM dan kesemua mereka ini adalah dikalangan golongan B40.
Dalam konteks sub-kontraktor KDEBWM pula, sehingga kini jumlah krew yang ada dianggarkan seramai 975 orang bagi kutipan sisa pepejal domestik manakala untuk pembersihan awam pula, jumlah krew yang adalah seramai 6,156 orang. Secara kasarnya dianggarkan peratusan krew warga asing untuk kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam di kesemua 11 kawasan PBT yang diuruskan oleh KDEBWM adalah sebanyak 80% manakala baki 20% lagi adalah warga tempatan. -
Nyatakan masalah-masalah yang dihadapi oleh KDEBWM dan kontraktorkontraktornya untuk mengambil pekerja tempatan terutamanya golongan B40 secara terperinci.
Di dalam syarat tender, KDEBWM mensyaratkan supaya semua sub-kontraktor menggunakan perkhidmatan pemandu warga tempatan yang memiliki lesen memandu yang sah manakala untuk krew pula, sub-kontraktor boleh menggunakan perkhidmatan warga tempatan atau warga asing yang memiliki permit yang sah.
KDEBWM dan juga pihak sub-kontraktor secara umumnya tidak memiliki sebarang masalah untuk menerima bekerja mana-mana warga tempatan khususnya golongan B40 yang berminat untuk berkhidmat di dalam sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Walaubagaimana, realiti sebenar adalah permohonan daripada warga tempatan khususnya golongan B40 untuk berkhidmat di dalam industri 3D – Difficult, Dangerous, Dirty ini adalah amat rendah. Atas sebab ini, bagi memastikan operasi kerja-kerja kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam ini terus berjalan setiap hari, pihak sub-kontraktor KDEBWM tiada pilihan selain terpaksa menggunakan khidmat warga asing.
Dalam masa yang sama, terdapat juga sub-kontraktor KDEBWM yang menggunakan tenaga kerja warga tempatan khususnya orang asli dan juga bangsa-bangsa yang lain. Walaubagaimanapun, berdasarkan maklumat dan pemerhatian yang telah dibuat, kebanyakan sub-kontraktor KDEBWM yang menggunakan khidmat pekerja warga tempatan ini akan mengalami masalah high attrition rate atau kadar pekerja berhenti yang tinggi kerana kebanyakkan mereka tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk berkhidmat bermula seawal pagi dalam keadaan berpanas dan berhujan selain bau yang kurang menyenangkan.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa golongan B40 warga tempatan tidak berminat untuk bekerja di dalam industri sisa pepejal dan pembersihan awam ini kerana faktor gaji yang rendah. Walaubagaimanapun, pendapat ini disangkal oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang telah mengeluarkan kenyataan melalui akhbar Kosmo bertarikh 17 Jun 2018 mengatakan bahawa faktor utama mengapa golongan B40 warga tempatan ini kurang berminat untuk bekerja di dalam industri 3D ini adalah disebabkan oleh stigma masyarakat tempatan sendiri yang melihat bahawa industri 3D ini sebagai bidang yang tidak mempunyai taraf sosial yang tinggi di mata masyarakat atau dalam erti kata lain tidak menjamin masa depan yang cerah selain sikap warga tempatan sendiri yang suka memilih kerja.
Menurut Pengarah Eksekutif MEF itu lagi, pengambilan tenaga kerja asing sebenarnya terpaksa dilakukan sebagai langkah terakhir apabila usaha untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja warga tempatan tidak mendapat sambutan.
Pendapat bahawa pengambilan tenaga kerja warga asing adalah atas faktor kos yang lebih murah juga sebenarnya adalah kurang tepat kerana pengambilan tenaga kerja asing yang sah sebenarnya adalah lebih mahal dan ini adalah hakikat yang ditanggung oleh majikan terutamanya apabila pengambilan tersebut dibuat melalui ejen-ejen yang dilantik.
Tanpa berniat untuk memperlekehkan tenaga kerja warga tempatan, tinjauan yang dibuat secara umum mendapati bahawa kebanyakan tenaga kerja warga asing juga mempunyai sikap positif terhadap kerja, jarang mengambil cuti sakit atau ponteng kerja dan bersedia membuat kerja lebih masa apabila diminta. Ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri positif yang ada pada tenaga kerja asing yang seharusnya dicontohi oleh rakyat negara ini.
KDEBWM dan juga semua sub-kontraktor yang dilantik sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan mengalu-alukan sekiranya terdapat warga tempatan khususnya golongan B40 yang berminat untuk bekerja khususnya sebagai krew kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam. Warga tempatan yang berminat boleh memohon secara terus kepada mana-mana sub-kontraktor KDEBWM.