Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

104) PEGAWAI KERAJAAN YANG DIDAKWA DI MAHKAMAH KERANA RASUAH

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah seseorang pegawai kerajaan akan terus diberhentikan tugas sekiranya beliau ditahan untuk disiasat oleh SPRM?

    Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 menyatakan:

    “(1) Jika seseorang pegawai dikatakan atau semunasabahnya disyaki telah melakukan suatu kesalahan jenayah atau suatu kesalahan tatatertib yang serius, Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan yang mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai itu boleh menahan kerja pegawai itu bagi suatu tempoh tidak melebihi dua bulan bagi maksud memudahkan penyiasatan terhadap pegawai itu.

    (2)       Dalam memutuskan sama ada hendak menahan kerja seseorang pegawai, Pihak Berkuasa Tatatertib berkenaan hendaklah mengambil kira faktor-faktor yang berikut:

    (a) sama ada pengataan itu atau kesalahan yang disyaki itu adalah secara langsung berhubungan dengan tugas pegawai itu; dan

    (b) sama ada kehadiran pegawai itu di pejabat akan menggendalakan penyiasatan”.

    ii.    Sehubungan itu, sekiranya pegawai kerajaan diberhentikan tugas bagi maksud penahanan kerja, penahanan kerja seseorang pegawai yang telah ditahan untuk siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tertakluk sepenuhnya kepada penentuan Pihak Berkuasa Tatatertib pegawai itu berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan dalam subperaturan (2) di atas.

     

    iii.     Namun begitu, sekiranya pegawai kerajaan diberhentikan tugas bagi maksud dibuang kerja kerana ditahan untuk disiasat oleh SPRM, hukuman buang kerja hanya boleh dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib yang mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat setelah pegawai itu disabitkan bersalah dan pegawai itu tidak merayu terhadap pensabitannya, atau jika rayuannya ditolak. Dalam hal ini, Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan keputusan pensabitan tersebut kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan beserta dengan rekod perkhidmatan pegawai dan perakuan bahawa:

    • pegawai itu patut dibuang kerja atau diturunkan pangkat;
    • pegawai itu patut dihukum dengan apa-apa hukuman selain buang kerja atau turun pangkat;
    • perkhidmatan pegawai itu patut ditamatkan demi kepentingan awam; atau
    • tiada hukuman patut dikenakan,

    bergantung kepada jenis dan keseriusan kesalahan yang telah dilakukan berbanding dengan takat sabitan itu telah memburukkan nama perkhidmatan awam sebagaimana yang telah digariskan dalam Peraturan 29.(1) dan 29.(2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995.

  2. Bagaimana pula kalau beliau didakwa di mahkamah tetapi masih belum disabit bersalah?

    Peraturan 44, Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 menyatakan:

    “(1)   Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan yang mempunyai bidang           kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat boleh, jika difikirkannya sesuai dan patut menahan seseorang pegawai daripada        menjalankan tugasnya jika

    • prosiding jenayah telah dimulakan terhadap pegawai itu.

    (4) Dalam memutuskan sama ada hendak menahan kerja seseorang pegawai di bawah subperaturan (1), Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan hendaklan mengambil kira faktor-faktor yang berikut:

    (a) sama ada jenis kesalahan yang dengannya pegawai itu dipertuduh adalah secara langsung berhubungan dengan tugasnya;

    (b) sama ada kehadiran pegawai itu di pejabat akan menggendalakan penyiasatan;

    (c)  sama ada kehadiran pegawai itu di pejabat untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya yang biasa boleh memalukan atau boleh menjejaskan nama atau imej jabatan pegawai itu; dan

    (d) sama ada, dengan mengambil kira jenis kesalahan yang dengannya pegawai dipertuduh, penahanan kerja pegawai itu akan menyebabkan Kerajaan menanggung kerugian.”

    Sehubungan itu, penahanan kerja seseorang pegawai didakwa di mahkamah tetapi masih belum disabit bersalah adalah tertakluk sepenuhnya kepada penentuan Pihak Berkuasa Tatatertib pegawai itu berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan di subperaturan (4) di atas.

Lampiran

Tiada Lampiran.