Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
42) PBT
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah masalah utk pihak Kerajaan Negeri menyelesaikan isu tanah terbiar yang pemunyanya adalah milik persendirian yang masih tidak dibangunkannya sehingga menjadi hutan tebal?
Seperti semua sedia maklum, pengurusan tanah sama ada hak milik persendirian atau Kerajaan adalah di bawah kelolaan Pejabat Daerah Tanah berdasarkan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara. Walau bagaimanapun, beberapa tindakan penguatkuatkuasaan undang-undang yang boleh diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tanah terbiar hak milik persendirian seperti berikut :
- Notis Amaran bagi arahan tindakan pembersihan kepada pemilik premis / tanah di bawah Seksyen 74 atau Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976; dan
- Kompaun ingkar arahan notis Majlis di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Tindakan pembersihan oleh PBT akan dijalankan selepas pemilik didapati ingkar arahan notis amaran daripada pihak PBT. Kos kerja-kerja pembersihan akan dicaj ke dalam bil cukai taksiran pemilik premis / tanah tersebut.
-
Apakah pihak Kerajaan Negeri ada perancangan bagi mengurangkan kos pembayaran pengurusan petak pasar pagi & pasar mlm memandangkan mereka menghadapi masalah tidak boleh berniaga sebelum ini?
Pada masa ini, kaedah pengenaan caj pengurusan petak pasar pagi dan pasar malam adalah tertakluk kepada PBT masing-masing. Dalam membantu peniaga yang terkesan dengan pandemik Covid-19, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 33/2021 bertarikh 6 Oktober 2021 telah bersetuju agar program pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil diteruskan untuk tahun 2022. Pengecualian ini telah menyebabkan kehilangan hasil yang dianggarkan berjumlah RM12.7 juta. Diharapkan peniaga yang terlibat dapat memanfaatkan insentif ini dan seterusnya meringankan beban mereka dalam menjalankan perniagaan.