Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
214) PASUKAN TASK FORCE TANAH NEGERI SELANGOR
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah Matlamat dan peranan utama pasukan tersebut ?
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 6 Jun 2012 telah meluluskan penubuhan Unit Taskforce dan Penyelidikan di Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dengan dianggotai oleh 5 orang pegawai lantikan secara kontrak, iaitu Pegawai Undang-Undang Gred L48, Pegawai Perancang Bandar dan Desa Gred J44, Pegawai Penilaian Gred W44 dan Juruukur Bahan J44. Objektif utama penubuhan Unit tersebut adalah bagi tujuan pemantauan dan pengawalan tanah-tanah milik Kerajaan Negeri.
-
Sila huraikan keberkesanan pasukan tersebut dalam konteks membantu menyelesaikan masalah tanah yang kritikal ?
Penubuhan Unit Taskforce dan Penyelidikan di PTGS adalah berkesan dalam membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan isu-isu dan masalah tanah yang kritikal. Antara isu-isu yang telah diselesaikan adalah seperti berikut:
- Isu pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara bagi kawasan pembangunan Lestari Perdana Zon 6, 7 dan 9 yang melibatkan 330 unit rumah teres 2 tingkat.
- Isu pemberimilikan tanah bagi Projek Pembesaran Kampung di Taman Desa Bukit Bujang, Mukim Ampang Pechah, Daerah Hulu Selangor bagi pembangunan Fasa 1 berkeluasan 86.622 ekar yang melibatkan 501 Lot.
- Isu-isu tanah yang tertangguh dalam pemberimilikan tanah di atas tanah-tanah Kerajaan.
- Isu pertindihan tanah dan pendudukan di atas Tanah Negeri di Kg. Merbau Sempak, Kg. Sungai Plong dan Kg. Paya Jaras Hilir dengan melakukan proses pembancian untuk cadangan penyelesaian pemberimilikan tanah.
- Isu pendudukan Tanah Negeri di Kg. Merbau Indah, Daerah Kuala Selangor dengan memberi syor/cadangan pembangunan ke atas tanah seluas 9 ekar melalui Laporan Pemantauan Aset Kerajaan (Tanah) Negeri Selangor Bil. 8/2014.
- Isu status tanah di Kampung Haromanis, Daerah Hulu Selangor seluas 169.97 ekar melalui Laporan Pemantauan Aset Kerajaan (Tanah) Negeri Selangor Bil. 8/2014.
-
Sila nyatakan apakah perancangan KNS untuk memperkasakan peranan pasukan tersebut ?
Pada masa ini, pasukan Taskforce dan Penyelidikan telah menjalankan tugas-tugas menyiasat dan memantau isu-isu yang melibatkan tanah-tanah Kerajaan Negeri. Tugas-tugas dan tanggungjawab tersebut telah dilaksanakan dengan baik dan berkesan.