Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
113) PASUKAN TASK FORCE TANAH NEGERI SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan apakah perkembangan terkini pasukan tersebut dan senaraikan nama pegawai-pegawai yang terlibat?
Pasukan Task Force Tanah Negeri Selangor atau Unit Taskforce dan Penyelidikan merupakan satu unit yang ditubuhkan secara rasminya pada bulan September 2012 di Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS). Unit ini diketuai oleh Puan Nur Syahirah Md Nizam Pegawai Undang-Undang (L48), dan dibantu oleh 3 orang pegawai teknikal iaitu Encik Kamarul Bahri Bin Baharum, Pegawai Perancang Bandar dan Desa (J44), Puan Jamaliah Binti Zaini Pegawai Penilaian (W44), dan Puan Siti Nuraiesyah Binti Aris Juruukur Bahan (J44) serta 4 orang kakitangan sokongan yang terdiri daripada 3 orang Penolong Pegawai Tanah NT27, iaitu Encik Mohd Faizul Bin Ismail, Encik Mohamad Kahar Bin Md Rasib, Cik Rabiatul Adawiah Binti Mastor dan 1 orang Pembantu Tadbir N17.
Perkembangan terkini, unit tersebut sedang dalam proses mengenalpasti dan menyediakan inventori serta membuat Kertas Kajian ke atas tanah-tanah rizab Kerajaan Negeri yang berpotensi untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Exco dan STANCO. Tanah-tanah rizab Kerajaan Negeri ini bukan sahaja akan dikaji dari segi topografinya, malahan faktor-faktor teknikal iaitu dari sudut perspektif perundangan, perancang bandar, mengeluarkan penilaian kos bagi kos pembangunan (GDC), mengenalpasti Anggaran Kasar Nilaian Tanah di peringkat awal dan menentukan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) untuk pengiraan premium bagi perancangan pembangunan pada masa akan datang. Kajian tersebut akan dijalankan secara berperingkat dengan teliti mengikut kesesuaian kategori kegunaan tanah dan status perizaban agar tanah-tanah dapat dijadikan sebagai salah satu sumber yang boleh menjana ekonomi dan pendapatan Kerajaan Negeri.
-
Sila senaraikan isu-isu tanah kritikal yang telah berjaya diselesaikan oleh pasukan tersebut ?
Antara isu-isu tanah kritikal yang telah diselesaikan oleh Unit Taskforce dan Penyelidikan, PTGS adalah seperti berikut :-
- Membantu PTGS dalam menyelesaikan isu projek terbengkalai Alam Perdana, Alam Mutiara, Alam Utama di Mukim Ijok, Daerah Kuala Selangor yang melibatkan 1,454 orang peneroka atau peserta serta menyediakan Laporan Awal status tanah dan cadangan-cadangan penyelesaian yang munasabah untuk makluman Kerajaan Negeri.
- Membantu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling dalam menyempurnakan proses bancian secara bersepadu bagi menyelesaikan masalah pertindihan tanah dan pendudukan di atas tanah Kerajaan Negeri di Kg. Merbau Sempak, Kg. Sungai Plong dan Kg. Paya Jaras Hilir dengan mengesyorkan kaedah penyelesaian secara pemberimilikan tanah.
- Membantu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor dalam menyelesaikan masalah tanah yang melibatkan peneroka-peneroka di Felda Sg. Buaya dengan pemaju Munar Jaya Development Sdn. Bhd.
- Membantu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Selangor dalam menyempurnakan proses bancian secara bersepadu bagi menyelesaikan isu tanah di Taman Desa Mawar Kg. Sungai Yu, Tanjung Karang, Mukim Hujung Permatang, Daerah Kuala Selangor seluas 128 ekar yang terbengkalai dan telah diduduki oleh penduduk tanpa kemudahan lengkap dan insfrastruktur yang baik.
- Membantu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor dalam isu pertindihan tanah pertanian di Kg. Tawakal A dan B di Daerah Hulu Selangor yang melibatkan 430 lot dengan keluasan 1,290 ekar bagi tujuan pemberimilikan kepada pengusaha-pengusaha yang asal.
- Membantu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sabak Bernam bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam menyelesaikan isu penerokaan haram di Hutan Simpan Sg. Karang seluas 1,560 hektar yang melibatkan 122 orang berdasarkan bancian yang diselaraskan oleh PTD Sabak Bernam.
-
Sila nyatakan apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkasakan peranan pasukan tersebut ?
Bagi memperkasa peranan Pasukan Task Force Tanah Negeri Selangor, Kerajaan Negeri merancang perkara-perkara seperti berikut :-
- Keseluruhan status tanah-tanah Kerajaan Negeri dapat dikaji semula dari segi perspektif perundangan, perancang bandar, mengeluarkan penilaian kos bagi kos pembangunan (GDC), mengenalpasti Anggaran Kasar Nilaian Tanah di peringkat awal dan menentukan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) untuk pengiraan premium bagi perancangan pembangunan perancang kemampuan potensi tanah-tanah Negeri bagi tujuan projek pembangunan dan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.
- Penambahan kakitangan sokongan bagi memastikan peranan pemantauan ke atas tanah-tanah Kerajaan Negeri di Selangor dapat diperkukuhkan agar dapat menyelesaikan isu-isu tanah yang kompleks dan yang tertangguh. Selanjutnya, status jawatan perkhidmatan setiap pegawai profesional dan kakitangan sokongan serta skil pengalaman kerja yang dimiliki oleh mereka di bawah unit ini seharusnya diteliti semula bagi memberi jaminan masa depan yang panjang untuk berkhidmat di bawah Kerajaan Negeri Selangor selaras dengan kemantapan prestasi pencapaian pasukan kerja ini dalam memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri.