Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
98) PASUKAN KESELAMATAN KAMPUNG
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mohon penjelasan bajet untuk Pasukan Keselamatan Kampung (PKK) adakah bersifat tahunan atau geran sekali sahaja?
Kerajaan Negeri memandang serius terhadap keselamatan penduduk kampung di negeri Selangor. Sehubungan itu, pada tahun 2013 Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan Program Pasukan Kejiranan Kampung (PKK) di Kampung Tradisi, Kampung Baru/Tersusun/Bagan dan Komuniti India dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2,460,000.00.
Pada tahun 2014, program ini telah diteruskan pelaksanaannya di 368 buah Kampung Tradisi yang melibatkan implikasi kos berjumlah RM1,840,000.00. Melalui program ini, setiap kampung telah diberikan peruntukan sebanyak RM5,000.00 bagi melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan kampung dengan lebih efektif dan cekap.
Objektif utama penubuhan PKK di peringkat kampung ini adalah bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan luar bandar di Selangor. Di samping itu, penubuhan ini akan meningkatkan hubungan kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk kampung sendiri. Namun begitu, adalah menjadi peranan ahli-ahli JKKK sendiri di dalam menjaga keselamatan kampung supaya kehidupan masyarakat kampung diperkukuhkan. Dengan wujudnya PKK di peringkat kampung tradisi, keselamatan dan kesejahteraan kampung telah dapat dipertingkatkan.
Pengwujudan PKK adalah bersifat sukarela bagi membantu mengurangkan kadar jenayah di kampung dan tidak melibatkan pembayaran elaun. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000.00 secara one-off kepada setiap kampung bertujuan untuk pembelian peralatan keselamatan. Dengan pemberian peralatan keselamatan tersebut, diharapkan agar PKK dapat berfungsi dengan lebih efektif dan cekap.