Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
76) PASAR MALAM
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah MPS dapat mengubah lokasi pasar malam di Kampung Melayu Sungai Buloh ke suatu tempat yang baru kerana kesesakan yang melampau?
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di dalam proses untuk mendapatkan kebenaran dengan Pejabat Daerah/Tanah bagi menggunakan tanah-tanah lapang/rizab-rizab untuk penempatan penjaja. Bagi isu itu juga, MPS masih mencari alternatif lokasi baru yang paling bersesuaian bagi menampung kesemua peniaga sedia ada bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas.
***Sumber: Majlis Perbandaran Selayang
-
Apakah MBSA dapat mengubah lokasi pasar malam di Kampung Paya Jaras Tengah ke suatu tempat yang baru kerana kesesakan yang melampau di jalan utama FT54?
Operasi pasar malam di Kampung Paya Jaras Tengah merupakan punca kesesakan yang melampau di kawasan tersebut, lebih-lebih lagi ianya beroperasi tiga (3) kali dalam seminggu. Kesesakan yang paling tinggi adalah pada hari Sabtu akibat daripada kenderaan yang diletakkan di bahu jalan besar oleh pengunjung
Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam perancangan untuk membina pasar moden bertingkat di tapak berkenaan bagi menggantikan aktiviti pasar malam di tapak tersebut seterusnya dapat mengatasi kesesakan lalu lintas di jalan utama FT54. Namun, cadangan ini perlu diteliti dan diperbincangkan oleh jabatan-jabatan berkaitan dalaman MBSA dan agensi luar bagi merangka dan melaksanakan rancangan ini.
Walau bagaimanapun, MBSA boleh mencadangkan untuk memindahkan peniaga-peniaga pasar malam ke satu lokasi baru yang dapat mengelakkan kesesakan lalulintas.
***Sumber: Majlis Bandaraya Shah Alam
-
Mengapakah Pihak Berkuasa Tempatan masih membiarkan aktiviti ÒramboÓ secara berleluasa sedangkan mereka adalah dari kalangan pendatang asing tanpa izin?
Aktiviti melibatkan penjaja-penjaja yang tidak memiliki apa-apa lesen atau permit yang sah dikeluarkan oleh pihak PBT yang masuk dan berniaga di tapak-tapak pasar pagi dan pasar malam yang dikendalikan oleh PBT adalah dimaksudkan sebagai “rambo” oleh kalangan peniaga-peniaga pasar malam/sehari. Aktiviti mereka telah menyebabkan gangguan kepada peniaga-peniaga lain yang mempunyai lesen/permit yang sah. Selain itu, aktiviti mereka menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara penjaja yang sah dengan “rambo” di mana penjaja rambo ini sesuka hati menggunakan tapak-tapak penjaja yang sah. Di dapati penjaja “rambo” ini adalah terdiri dari kalangan warga asing dan warga
Sehubungan itu, bagi membendung aktiviti “rambo” contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Penguatkuasa, sentiasa membanteras dan tidak memberikan mereka peluang untuk masuk dan berniaga di tapak-tapak pasar pagi dan malam kelolaan MBSA. Pemeriksaan berkala oleh anggota penguatkuasa akan dilakukan sepanjang masa waktu perniagaan berlangsung. Pihak MBSA akan mengambil pendekatan membuat rampasan barang-barang perniagaan dan tidak diberikan kelulusan untuk menuntut semula barang-barang tersebut sebagai pengajaran kepada “rambo” khususnya peniaga warga asing.
Di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), anggota penguatkuasa menjalankan penguatkuasaan ke atas aktiviti “rambo” setiap hari contohnya di pasar Selayang Jaya, pasar pagi Bandar Country Homes dan Pasar Moden Bandar Rawang berikutan ramai aktiviti “rambo” dari kalangan warga asing terutamanya warga tempatan. Manakala pasar Selayang Baru dan pasar Kepong Industry Park operasi dijalankan secara berjadual berikutan telah mendapat kerjasama dan bantuan oleh persatuan penduduk untuk melaporkan aktiviti “rambo” kepada Jabatan Penguatkuasa untuk di ambil tindakan. Tindakan yang diambil oleh penguatkuasa adalah terus menyita barangan jualan mereka dan tidak meluluskan tuntutan barang sitaan. Pada tahun 2015 hanya satu
- operasi bersepadu dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan bantuan anggota penguatkuasa MPS ke atas pengemis di pasar-pasar sekitar selayang di mana hasil tangkapan adalah di bawah tindakan
- Di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MBPJ) pula telah melaksanakan sebanyak tujuh (7) operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen pada tahun 2015 dan hasilnya sebanyak 150 orang warga asing ditangkap sepanjang operasi tersebut dan tindakan diambil oleh Imigresen.
Di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil pendekatan melalui program pemutihan peniaga pasar pagi/malam sejak bulan Oktober 2015 hingga Januari 2016 di mana hasilnya sebanyak 191 lesen dibatalkan dan sebanyak 465 lesen diluluskan untuk penjaja bagi menggalakkan peniaga warga tempatan berniaga secara sah.
Selain itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) pula telah menyita sebanyak 153 barang jualan milik warga asing pada tahun 2015 dan tidak meluluskan mereka menuntut barangan mereka.
Manakala Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pula mendapati tiada kehadiran “rambo” di pasar-pasar pagi dan malam berikutan Penguatkuasa PBT telah menjalankan pemantauan berjadual setiap hari termasuk hari cuti dan kawalan dilakukan seawal operasi dijalankan bagi mengelakkan kehadiran “rambo”.