Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
418) PARIT DAN SALIRAN YANG TIDAK BERTUAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri ada perancangan untuk mengkaji semula parit-parit dan saliran-saliran yang tidak bertuan untuk dimasukkan dalam perancangan kerja-kerja selenggara berkala?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, satu Mesyuarat Penyelarasan Isu Jalan, Longkang dan Parit Tidak Bertuan Bil. 1/2024 yang diadakan pada 11 Januari 2024 telah membincangkan data dan maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Mesyuarat bersetuju agar data dan maklumat tersebut diperhalusi dan dikemaskini.
Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur pada masa ini telah mengenal pasti sebahagian daripada longkang, parit dan jalan tidak bertuan mengikut bidang kuasa di bawah JPS Negeri Selangor, JKR Negeri Selangor, PBT dan PDT.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 18/2024 Yang Diadakan Pada 3 Julai 2024 Yang Telah Disahkan Oleh MMKN Ke 19/2024 Pada 17 Julai 2024 menimbangkan dan meluluskan peruntukan bagi cadangan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan parit tidak bertuan secara one-off dan berperingkat bagi tahun 2024 mengikut fasa seperti berikut:
- Fasa 1 – RM2,500,000.00 bagi parit tidak bertuan yang dikenalpasti oleh JPS Negeri Selangor.
- Fasa 2 – RM2,500,000.00 bagi parit tidak bertuan yang dikenalpasti oleh JKR Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri sedang merangka pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan parit, longkang dan jalan tidak bertuan. Melalui penyeragaman ini, masalah pertindihan tugasan di antara jabatan/agensi akan dapat di atasi dalam masa yang terdekat demi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Selangor.