Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
209) PARAS GARIS KEMISKINAN DI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah paras garis kemiskinan di Selangor ketika ini?
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, secara umumnya, kemiskinan boleh diukur dengan pelbagai kaedah termasuklah kaedah pengukuran kemiskinan mutlak, kemiskinan relatif dan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI). Antara yang sering digunakan oleh kebanyakan negara adalah pengukuran kemiskinan mutlak.
Pada tahun 2019, nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Malaysia telah disemak semula berdasarkan keperluan semasa. Semakan ini memberi penekanan kepada pengambilan makanan yang optimum dan sihat serta keperluan asas bukan makanan yang berkualiti.
Oleh yang demikian, berdasarkan metodologi 2019, nilai purata PGK di peringkat negeri Selangor ialah RM2,022 sebulan dengan purata saiz isi rumah seramai 3.9 orang.
Jadual 1: Pendapatan Garis Kemiskinan dan Purata Saiz Isi Rumah, Selangor, 2019
Negeri Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) (RM) Purata Saiz Isi Rumah Malaysia 2,208 3.8 Selangor 2,022 3.9 Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, Jabatan Perangkaan Malaysia juga telah melaksanakan satu kajian bagi menilai kesan pandemik COVID-19 ke atas pendapatan isi rumah dan kemiskinan bagi tahun 2020. Berdasarkan kajian ini, insiden kemiskinan mutlak bagi Selangor telah meningkat kepada 1.7 peratus daripada 1.2 peratus pada 2019.
Pengiraan insiden kemiskinan bagi 2020 masih menggunakan nilai PGK 2019 dan nilai PGK ini akan dikemaskini semula pada 2022. Ini adalah selaras dengan pelaksanaan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS/BA) yang akan dilaksanakan pada tahun 2022 untuk tempoh 12 bulan di seluruh negara.
-
Adakah data maklumat secara integrasi yang boleh dirujuk untuk program bantuan kepada yang memerlukan?
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, Kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) sedang melaksanakan proses pengintegrasian dan penyelarasan program Bantuan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Oleh itu, proses ini akan menghasilkan satu platform yang berbentuk centralized databased bagi mengumpul semua maklumat berkaitan program perlindungan sosial di peringkat persekutuan dan negeri.
Dengan adanya sistem yang bersepadu ini, maklumat berkaitan penerima nilai bantuan dan kategori bantuan akan lebih mudah diselaraskan di semua peringkat pelaksanaan bantuan. Proses pengintegrasian data ini dijangka selesai pada hujung tahun 2021.
MAKLUMAT TAMBAHAN
1. HIS ini merupakan survei berkala yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahun. Tujuan utama survei ini adalah untuk mengumpul pola taburan pendapatan isi rumah dan juga bagi mengenal pasti golongan isi rumah miskin. HIS & BA merupakan survei secara sampel yang meliputi negeri serta kawasan bandar dan luar bandar. Penemuan survei yang terkini adalah pada tahun 2019 yang merupakan survei kali ke-18. Laporan HIS & BA 2019 telah diterbitkan pada 10 Julai 2020.
2. Konsep dan definisi pendapatan yang diguna pakai adalah berdasarkan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation). Pendapatan isi rumah yang dimaksudkan mestilah pendapatan yang pasti diterima (terakru) oleh ahli isi rumah sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan dalam tempoh setahun dan berlaku secara berkala atau berulang kali (sekurang-kurangnya sekali dalam setahun).
3. Maklumat pendapatan diperoleh daripada ahli isi rumah yang menerima pendapatan.
4. HIS & BA adalah berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistics, Second Edition (2011) yang diterbitkan oleh United Nations dan diterima pakai di peringkat antarabangsa.
5. Punca-punca pendapatan isi rumah adalah merangkumi punca daripada pekerjaan bergaji; bekerja sendiri; harta & pelaburan; dan pindahan semasa yang diterima seperti contoh di bawah. Pendapatan isi rumah juga adalah termasuk dalam bentuk tunai dan juga mata benda (in-kind).
a) Pekerjaan bergaji – contoh: gaji yang dibayar oleh majikan; bonus & elaun; makanan percuma atau konsesi; dan terimaa lain daripada majikan.
b) Bekerja sendiri – contoh: aktiviti pertanian (termasuk kegunaan sendiri); dan aktiviti bukan pertanian (termasuk kegunaan sendiri).
c) Harta dan pelaburan – contoh: sewaan daripada harta; royalti; faedah simpanan & pinjaman yang diberi; dan dividen daripada pemilikan saham.
d) Pindahan semasa diterima – contoh: pemberian daripada isi rumah lain; pencen; dan pembayaran berkala lain.6. Pendapatan isi rumah adalah untuk warganegara sahaja.
7. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bermaksud pendapatan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan setiap ahlinya untuk membolehkan mereka hidup dalam keadaan sihat dan selesa. Insiden kemiskinan yang dikira adalah merujuk kepada kemiskinan mutlak.
8. Justeru, sesebuah isi rumah dianggap miskin jika pendapatan mereka kurang daripada nilai PGK yang diperlukan. Ini bermaksud isi rumah tersebut kekurangan sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan bagi setiap ahlinya.
9. Pada 2019, kerajaan telah bersetuju supaya pengiraan nilai PGK dikaji dan dikemaskini semula. Proses pengemaskinian PGK 2019 melibatkan pengemaskinian item makanan dalam PGK Makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia manakala item bukan makanan dalam PGK Bukan Makanan dikemaskini berdasarkan kepada data perbelanjaan isi rumah 2019 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
10. Metodologi tahun 2019 menekankan kepada pengambilan makanan yang sihat pada kadar yang optimum berbanding metodologi tahun 2005 yang menekankan pengambilan makanan bagi memenuhi keperluan yang minimum.
11. Kemiskinan relatif adalah satu konsep yang sedikit berbeza dengan kemiskinan mutlak. Kemiskinan relatif mengambil kira keadaan di mana pendapatan isi rumah berada beberapa peratusan di bawah pendapatan penengah isi rumah. Ini bermakna kemiskinan relatif mengambil kira peningkatan taraf hidup yang meningkat mengikut pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan kepada kajian Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Kemiskinan 2020, insiden kemiskinan relatif di Selangor merekodkan nilai 13.9 peratus (2020) berbanding 15.3 peratus pada 2019.
12. Penurunan ini disebabkan oleh pengurangan sebahagian besar pendapatan isi rumah di Selangor yang menjadikan nilai penengah pada 2020 yang lebih rendah berbanding 2019. (Jadual 2)
Jadual 2: Insiden Kemiskinan, Selangor, 2019 dan 2020
Insiden Kemiskinan 2019 2020 Mutlak 1.2 1.7 Relatif 15.3 13.9 Nota:
Nilai ambang bagi kemiskinan relatif adalah RM3,650 (2020) dan RM4,150 (2019)