Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

122) PARAS GARIS KEMISKINAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah paras garis kemiskinan semasa di Selangor?

    Sepertimana Yang Berhormat Permatang sedia maklum, sesebuah isi rumah dikategorikan sebagai miskin jika pendapatan bulanan keseluruhan isi rumahnya berada di bawah paras nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan. Laporan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor tahun 2022 yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan telah diterbitkan pada Julai 2023, menunjukkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan bagi Negeri Selangor tahun 2022 adalah RM1,274 sebulan dengan purata pendapatan perkapita adalah RM335.00 sebulan.

  2. Bilakah tarikh akhir Kerajaan Negeri menyemak paras garis kemiskinan sediaada?

    Merujuk kepada laporan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor tahun 2022 ini juga, menunjukkan kali terakhir Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan ini disemak adalah pada tahun 2022 dan data ini digunakan sehingga kini. Mengikut makluman dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas dijalankan dua (2) kali setiap lima (5) tahun.

  3. Apakah langkah kerajaan untuk memastikan rakyat khususnya kakitangan awam Negeri Selangor melepasi paras garis kemiskinan rakyat Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Permatang, gred asas bagi memasuki perkhidmatan awam Negeri Selangor adalah gred 11 dengan kelayakan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR). Berdasarkan Jadual Gaji Maksimum-Minimum yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam yang berkuatkuasa mulai Julai 2016, menunjukkan gaji minimum bagi kemasukan baharu kakitangan awam gred 11 adalah RM1,216.00 sebulan, tidak termasuk elaun tetap yang layak diterima.

    Terdapat tiga jenis elaun yang layak diterima oleh kakitangan awam bagi gred 11 iaitu Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebanyak RM95.00 sebulan, Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) sebanyak RM300.00 sebulan dan Bantuan Insentif Sara Hidup (BISH) antara RM200 hingga RM350 sebulan mengikut kawasan tempat bekerja. Jumlah pendapatan minimum bagi kakitangan awam Negeri Selangor berdasarkan gred asas adalah antara RM1,811 sehingga RM1,961. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan Negeri Selangor terkini yang dikeluarkan pada Julai 2023 adalah RM1,274.00 sebulan bagi satu isi rumah. Oleh yang demikian, pendapatan kakitangan awam dengan gred asas (paling rendah) yang berkhidmat di Negeri Selangor adalah melepasi paras garis Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa, umur, jantina mahupun taraf hidup. Semua rakyat negeri Selangor sama ada kakitangan awam negeri, Persekutuan dan kakitangan swasta tidak pernah dipinggirkan dalam menerima manfaat dari program-program bantuan Kerajaan Negeri Selangor. Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan tekad dan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan bantuan-bantuan dapat disalurkan kepada rakyat yang benar-benar layak dan memerlukan.

    ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bas Smart Selangor, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian kemiskinan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan banyak lagi. Program-program ini diberikan kepada rakyat yang layak, termasuk juga penjawat awam Negeri Selangor bagi membantu meringankan beban rakyat dalam mengurus hal ehwal keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anak mereka.

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Untuk makluman, PGK RM1,500.00 seisi rumah telah mula digunakan sejak tahun 2009 berdasarkan kepada keputusan MMKN ke 1/2009 bertarikh 7 Januari 2009. Kemudian, berdasarkan keputusan MMKN ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016 pula, PGK Negeri Selangor dikekalkan paa pada paras RM1,500.00 seisi rumah.

    Tetapi pada tahun 2020 berdasarkan keputusan MMKN ke 26/2020, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan kenaikan PGK dari RM1,500.00 kepada RM2,000.00 seisi rumah. Ianya selaras dengan dapatan Kajian Kadar Kemiskinan yang dilaksanakan oleh penyelidik daripada UNISEL dan UNITAR dengan hasil dapatan kajian, PGK yanng dilihat bersesuaian digunakan adalah RM1,980.00.

    Namun, merujuk kepada Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2022, nilai purata PGK terkini di peringkat negeri Selangor adalah RM2,830.00.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.