Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
220) PARAS EMPANGAN AIR
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini paras air Empangan di Selangor?
Status paras empangan-empangan di Negeri Selangor boleh disemak setiap hari di portal LUAS dan juga di http://iwrims.luas.gov.my. Berikut adalah status terkini paras empangan-empangan di Negeri Selangor sehingga 22 Mac 2015;
BIL EMPANGAN PERATUS TAKUNGAN SEHINGGA 22 MAC 2015 1 Batu 84.49 2 Klang Gates 82.43 3 Langat 87.79 4 Semenyih 95.30 5 Sg. Selangor 69.84 6 Sg. Tinggi 70.47 7 Tasik Subang 99.38 -
Apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi sekiranya berlaku krisis air di Selangor?
Juga menjawab pertanyaan-pertanyaan berikut;
- Pertanyaan mulut Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abd. Aziz berkenaan Pencemaran dan Kekurangan Sumber Air Mentah (c)
- Pertanyaan bertulis Y.B. Puan Halimaton Saadiah Binti Bohan berkenaan Fenomena Ekuinoks (a)
Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah dan sedang melaksanakan tindakan-tindakan bagi memastikan kesediaan sumber air Negeri ketika menghadapi musim kering seperti berikut :
Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah dan sedang melaksanakan tindakan-tindakan bagi memastikan kesediaan sumber air Negeri ketika menghadapi musim kering seperti berikut :
- Operasi pembenihan awan (cloud seeding),
- Operasi pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya,
- Pelepasan air empangan di Sg. Selangor dikawal dengan ketat melalui kelulusan daripada LUAS secara harian,
- Pemindahan air dari terowong Langat 2 ke Sg. Langat dilakukan dengan tujuan untuk memberdaya ketahanan Sg. Langat bagi keperluan Loji Pembersihan Air (LPA) Sg. Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11,
- Mengadakan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau dan mengawal bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sumber air, dan
- Penguatkuasaan yang tegas melalui pemantauan yang berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah iaitu Sg. Selangor, Sg. Langat dan Sg. Semenyih termasuk semasa waktu cuti.
Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS juga sedang melaksanakan tindakan-tindakan untuk kelangsungan sumber air secara jangka panjang seperti berikut:
- Pembangunan Kolam Takungan Hiliran/HORAS 3000
- Penyaluran air mentah Sg. Bernam
- Pembangunan off-river storage (ORS) di Sg. Semenyih / Sg. Langat
- Membangunkan sumber air bumi
MAKLUMAT TAMBAHAN
- Operasi pembenihan awan (cloud seeding)
Telah mula dijalankan pada 21 Februari 2015 yang lalu bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan syarikat pembekal perkhidmatan yang dilantik di kawasan lembangan sungai termasuk kawasan tadahan Empangan Sg. Selangor sebanyak 2 kali setiap hari bergantung kepada kesesuaian atmosfera,
- Operasi pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya
Telah bermula pada 2 Februari 2015 yang lalu dengan keupayaan pengeluaran 800 juta liter sehari (JLH). Air kolam yang di pam ke Sg. Selangor ini mematuhi piawaian air mentah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dirawat oleh loji pembersihan air (LPA). Proses pemantauan kualiti air dijalankan melalui 3 peringkat, iaitu;
i) pemantauan di kolam alternatif oleh LUAS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS),
ii) pemantauan air mentah di sungai dan muka sauk oleh LUAS, operator loji dan JKNS, dan
iii) pemantauan air terawat selepas proses rawatan di LPA oleh operator loji dan JKNS.
Pensampelan kualiti air kolam-kolam ini dijalankan oleh JKNS dan dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM),
- Pelepasan air empangan di Sg. Selangor dikawal dengan ketat melalui kelulusan daripada LUAS secara harian.
Beberapa semakan pelepasan juga dilakukan sehingga 3 kali sehari untuk mengoptimakan aliran air sungai sedia ada dan sumber air daripada kolam alternatif tersebut,
- Pembangunan Kolam Takungan Hiliran/HORAS 3000
Pembangunan kolam ini adalah usaha untuk menakung lebihan air larian sungai (stormwater) ke dalam kolam takungan di hilir sungai untuk digunakan sebagai sumber air tambahan dan juga mengurangkan impak banjir di kawasan muka sauk LPA. Pembangunan HORAS ini dibangunkan secara berfasa iaitu HORAS 600 bagi fasa pertama yang akan mula siap pada September 2015 dan HORAS 3000 yang di dalam peringkat kajian perbandingan.
- Penyaluran air mentah Sg. Bernam
Kajian terperinci sedang dilaksanakan untuk memastikan sumber air tersebut dapat membantu memperkasakan aliran air di Sg. Selangor. Perbincangan awalan bersama Kerajaan Negeri Perak telah diadakan dan ia juga merujuk kepada Kajian Semula Sumber Air Negera 2000 – 2050.
- Pembangunan off-river storage (ORS) di Sg. Semenyih / Sg. Langat
Membangunkan sumber air tambahan sebanyak 100 hingga 200 JLH di Sg. Semenyih dan Sg. Langat melalui sistem ORS.
- Membangunkan sumber air bumi
Keupayaan abstraksi air bumi yang selamat untuk Negeri Selangor adalah 2373 MLD berdasar Kajian Kebolehdapatan Sumber Air Bumi Negeri Selangor yang dijalankan oleh Jurutera Perunding yang dilantik oleh LUAS. Pembangunan sumber air bumi adalah sebagai sumber air yang terakhir setelah mengambilkira sumber dari sungai dan air permukaan.