Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
404) PANTAI KELANANG
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan pihak Kerajaan Negeri Selangor mengenai hakisan Pantai Kelanang yang semakin teruk?
Untuk makluman Yang Berhormat, sepanjang hampir 2km Pantai Kelanang telah mengalami hakisan. Bagi pelaksanaan jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor akan membaikpulih struktur kawalan hakisan yang rosak susulan fenomena air pasang besar. Bagi pelaksanaan jangka panjang, JPS Negeri Selangor di dalam perancangan penyediaan kertas permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan 1 bagi Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kelanang, Daerah Kuala Langat dengan anggaran kos berjumlah RM50 juta. Skop projek adalah melibatkan kerja ukur, penyiasatan tanah, perkhidmatan perunding dan penyeliaan tapak, pembinaan struktur kawalan hakisan pantai sepanjang 2km jajaran pantai, penyuburan pantai, menaiktaraf saluran keluar dan pengurusan projek.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia sedang menjalankan Integrated Shoreline Management Plan (ISMP) Negeri Selangor iaitu dikenali sebagai Pelan Pengurusan Garis Pantai Bersepadu telah diwujudkan oleh JPS sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia terhadap Agenda 21 Deklarasi Rio. ISMP berkongsi prinsip dan objektif yang sama seperti Integrated Coastal Zone Management (ICZM) dengan matlamat untuk menjadikan satu garis panduan ke arah pembangunan zon pantai yang mampan yang mengambilkira kesan kenaikan aras laut, kesan hakisan dan kesan mofologi pantai. Tempoh kajian ini mengambil masa selama 24 bulan untuk disiapkan dengan sempurna iaitu bermula pada 4 September 2024 hingga 3 September 2026.
Kajian tersebut mengambil kira langkah-langkah baikpulih bagi perlindungan segera garis pantai yang terhakis secara kritikal termasuk langkah strategi pencegahan yang melibatkan langkah-langkah pentadbiran dan kawalan pembangunan untuk mengelakkan hakisan pada masa hadapan.
Panjang kawasan kajian adalah kawasan garis pantai dari sempadan negeri antara Selangor dan Perak sehingga sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan, termasuk Pulau Klang, Pulau Ketam, Pulau Tengah, Pulau Che Mat Zin, Pulau Selat Kering, Pulau Pintu Gedung dan Pulau Cincin di luar pantai di sepanjang kawasan kajian dengan Panjang pantai ialah 315km. Walau bagaimanapun, jika aktiviti di luar kawasan ini memberi kesan kepada proses pantai berhampiran kajian juga akan mempertimbangkan aktiviti ini.
-
Apakah perancangan pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk menaik taraf dan menjadikan Pantai Kelanang pusat pelancongan seperti Pantai Morib?
Untuk makluman Yang berhormat, Pantai Kelanang berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan alternatif di Kuala Langat. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan termasuk peningkatan kemudahan awam, penambahbaikan infrastruktur dan promosi aktiviti pelancongan. JPS Negeri Selangor sentiasa memberi sokongan dan bekerjasama di dalam sebarang pelaksanaan program-program anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat (PTDKL).