Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
214) PANGSAPURI NADAYU SUBANG MURNI
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah projek ini masih lagi belum selesai?
Untuk makluman Yang Berhormat, komponen pembangunan bagi projek ini terdiri daripada komponen jenis C1 (53 unit) berharga RM170,000.00 seunit, komponen jenis C2 (79 unit) berharga RM200,000.00 seunit dan komponen jenis D (131 unit) berharga RM250,000.00 seunit. Projek ini mula dibangunkan pada Tahun 2018 dan telah disiapkan di lapangan serta memperoleh kelulusan Certificate of Completion and Compliance (CCC) pada 4 Jun 2024. Projek ini lewat memperoleh CCC adalah disebabkan beberapa isu namun pemaju telah mendapat kelulusan daripada Pihak Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan Pengecualian Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi pemajuan yang terjejas kerana Penularan Wabak Covid-19 sebanyak 2 kali dan tempoh pengecualian yang telah diluluskan adalah selama 320 hari. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu yang tidak dapat dielakkan menyebabkan projek tersebut masih lewat disiapkan dalam tempoh yang diberikan.
-
Apakah tindakan kerajaan terhadap pemaju bagi menjamin nasib pembeli dapat di bela?
Dalam memastikan hak pembeli dipelihara, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah melakukan pemantauan berkala sebanyak 3 kali setahun di tapak projek bagi memantau kerja-kerja di lapangan. Selain daripada itu, LPHS juga telah memohon status terkini daripada pihak pemaju melalui emel bagi mengetahui perkembangan terkini projek dan sekiranya terdapat masalah yang perlu diselesaikan melibatkan perakuan jabatan/agensi Kerajaan Negeri, LPHS akan bertindak sebagai pemudah cara.
Selain daripada itu, di peringkat Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966 [Akta 118]. Melalui Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR), pihak pembeli boleh membuat tuntutan ganti rugi kelewatan penyerahan milikan kosong Liquidated Ascertained Damages (LAD) kepada pihak pemaju.
Oleh yang demikian, Sekiranya pihak pemaju gagal mematuhi perintah Tribunal (Ingkar Award), Ia merupakan suatu kesalahan jenayah yang jika disabitkan kesalahan, pihak pemaju boleh dikenakan hukuman denda RM10,000.00 hingga RM50,000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya.
-
Bilakah tarikh terbaru bagi proses serahan kunci dapat dilakukan?
Berdasarkan maklumbalas daripada pihak pemaju melalui emel bertarikh 7 Jun 2024, pihak pemaju telah memberi maklumbalas berkenaan anggaran sasaran tempoh serahan kunci adalah pada pertengahan bulan Julai 2024.