Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

133) PAKEJ RANGSANGAN SELANGOR PRIHATIN 2

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah asas unjuran RM100.7 juta dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2 untuk menerapkan digitalisasi melalui E-Learning, Selangor Advance dan Inisiatif Digital Selangor Grab ?

    Pembangunan program e-learning, Kecairan tunai untuk SME Selangor Advance dan Inisiatif Digital Selangor Grab adalah merupakan antara inisiatif yang diterapkan pelaksanaannya untuk memangkin ekonomi negeri ke arah yang lebih progresif melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua.

    Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dalam aspek pendidikan rakyatnya. Pendidikan merupakan aspek penting dalam pembangunan modal insan di negeri Selangor yang sedang dipacu untuk menjayakan aspirasi Selangor Negeri Pintar 2025. Dalam usaha untuk merealisasikan aspirasi tersebut, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan juga Yayasan Selangor telah bersetuju dengan pelaksanaan program e-learning yang memberi impak kewangan sebanyak RM700,000.00.  Program ini menawarkan program pembelajaran percuma secara interaktif atas talian dan boleh diakses oleh semua murid sekolah di Selangor melalui laman sesawang Selangor Tutor.

    Program ini merupakan salah satu wadah dalam memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terus kekal sepanjang tempoh PKP. Tempoh program pembelajaran secara e-learning ini diaktifkan mulai 3 April 2020 sehingga 31 Mei 2020.

    Aplikasi ini boleh diakses dengan mudah melalui pelbagai peranti seperti komputer desktop, notebook, tablet, dan telefon pintar. Lebih daripada 130,000 soalan latih tubi ditawarkan melalui aplikasi ini dan mematuhi piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain daripada murid, ibubapa juga boleh mengakses program ini untuk memantau perkembangan pembelajaran anak-anak dari semasa ke semasa.

    Sejumlah RM100,000,000.00 pembiayaan ditawarkan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan meningkatkan kecairan tunai untuk penyedia perkhidmatan/kontraktor SME yang memberikan perkhidmatan kepada Kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) anak syarikat Kerajaan Selangor. Program pembiayaan ini bertujuan untuk mempercepatkan penerimaan tunai daripada pembayaran yang akan diterima dari Kerajaan Negeri, PBT dan anak syarikat.  Jumlah minimum bagi pembiayaan ini adalah sebanyak RM10,000.00 dan fasa pertama pelaksanaan program ini dibuka untuk anak syarikat yang bernaung di bawah MBI. Pelaksanaan kaedah pembiayaan ini dilihat dapat memudahkan SME terlibat yang terkesan secara langsung dengan COVID-19.

    Inisiatif Digital Selangor Grab pula merupakan inisiatif Digital kerajaan Selangor untuk membantu golongan peniaga membuat jualan secara dalam talian. Sejajar dengan larangan berniaga secara fizikal sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, Kerajaan Negeri memperkenalkan E-Pasar, Bazaar Digital dan Medan Selera Digital sebagai platform perniagaan yang dapat membantu rakyat Selangor mencari rezeki dan secara tidak langsung, dapat menjana ekonomi negeri dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi yang setanding dengan perkembangan arus teknologi semasa. Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Grab Malaysia ini berupaya membantu rakyat Selangor untuk menambah pendapatan mereka dan secara tidak langsung dapat menjana ekonomi Selangor untuk terus kekal mampan sepanjang tempoh PKP.

Lampiran

Tiada Lampiran.