Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

173) PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Amirudin Bin Shari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tahap kemajuan terkini pada projek Pembersihan Sungai Klang yang dijangka menjadi nadi baru ekonomi Selangor

    Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menganjurkan bengkel konsultasi awam dengan NGO dan wakil-wakil penduduk untuk mendapatkan pendapat dan pandangan mengenai Projek Sungai Klang.

     

    Inventori guna tanah masih di dalam proses. Proses ini dibahagikan kepada tiga bahagian, dengan bahagian Klang sudah diselesaikan. Bahagian Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya sedang dalam proses pelaksanaan, manakala bahagian Ampang Jaya akan dilaksanakan tidak lama lagi.

     

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah menawarkan dokumen ‘Request for Business Proposals’ (RFP) kepada syarikat-syarikat swasta. Sebanyak 37 syarikat telah membeli dokumen ini, dan 12 daripada syarikat-syarikat tersebut telah menghantar cadangan mereka. Cadangan-cadangan ini sedang dalam proses penilaian oleh Taksforce Projek Sungai Klang dan pakar-pakar untuk pemilihan projek.

     

    Pada masa yang sama, satu pasukan perancang profesional juga sedang dalam proses untuk membuat ‘vision plan’ projek ini. Pada peringkat ini, pelan sedang dibuat untuk kawasan Klang.

     

    Program yang melibatkan orang awam akan diadakan tidak lama lagi. Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan sebuah NGO yang berpengalaman luas berkenaan sungai iaitu Global Environment Centre (GEC) untuk menggalakkan penglibatan orang awam dan komuniti di dalam kerja-kerja pembersihan sungai. Pada peringkat berikutnya, Kerajaan Negeri berharap agar mendapat kerjasama sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berkenaan di sepanjang Sungai Klang.

     

    Berdasarkan jadual kerja yang disediakan oleh Sekretariat Projek, selepas penilaian, cadangan akan dipilih sebelum hujung tahun 2009 dan kerja-kerja pemuliharaan dan pembangunan dijangka akan bermula pada suku pertama 2010.

  2. Apakah tahap kemajuan terkini pada projek Pembangunan Semula Bandar

    Petaling Jaya, Klang dan Kajang telah dipilih sebagai kawasan-kawasan yang akan dijalankan Projek Pembaharuan Bandar. Sesi perbincangan dengan Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Majlis telah dijalankan. Projek Sungai Klang akan dijadikan sebagai pemangkin kepada Projek Pembaharuan Bandar untuk Bandar Klang.

     

    Conference Pembaharuan Bandar akan diadakan pada 20 November dan 1 Disember, dianjurkan secara bersama antara Kerajaan Negeri Selangor dan pihak swasta seperti Malaysian Institute of Planners (MIP) dan REHDA. Pakar-pakar dari luar negara akan dibawa untuk berkongsi pengalaman mereka. Objektif conference adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai pembaharuan bandar dan memberikan ruang untuk konsultasi dengan orang awam dan pihak-pihak berkepentingan.

     

    Projek Pembaharuan Bandar perlu mengenal pasti kawasan spesifik untuk pelaksanaan projek dan juga perlu mengikuti proses konsultasi dengan orang awam.

  3. Bilakah proses pengambilalihan air Selangor oleh negeri diselesaikan dan apakah halangan terkini yang dihadapi untuk merealisasikan harapan tersebut.

    Pengambilalihan syarikat konsesi air di dalam rangka untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor bukanlah merupakan satu proses yang mudah. Penstrukturan ini boleh diselesaikan setelah semua syarikat konsesi air bersetuju menerima harga yang ditawarkan dan selanjutnya menyerahkan aset-aset bekalan air tersebut kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).  Pada ketika ini, proses ini masih di peringkat rundingan bagi menentukan nilai harga tawaran.

     

    Dalam pengambilalihan syarikat konsesi air ini, Kerajaan Negeri Selangor adalah terikat dengan perjanjian konsesi yang telah ditandatangani dengan setiap Syarikat Konsesi. Proses pengambilalihan ini akan menjurus kepada penamatan perjanjian-perjanjian konsesi air sedia ada.  Dalam penamatan yang tidak disebabkan oleh pihak Syarikat Konsesi, bayaran pampasan perlu disediakan oleh Kerajaan Negeri.  Ini adalah selaras dengan  Perlembagaan Malaysia di bawah Fasal13. Tempoh Konsesi setiap syarikat konsesi air adalah selama 30 tahun .

     

    Walaupun Kerajaan Negeri telah mengambil kira elemen pulangan 12% dalam penilaian harga tawaran,  Syarikat Konsesi mempertikaikan kaedah penilaian aset air yang diguna pakai.  Pihak Syarikat Konsesi berpandangan bahawa penilaian sepatutnya menggunakan kaedah Discounted Cash Flow (DCF) yang lumrahnya telah diiktiraf dan diamalkan di dalam proses penjualan syarikat konsesi dan bukannya mengikut kaedah 1 x Net Book Value (NBV) sebagaimana yang ditetapkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Penilaian yang dibuat oleh Syarikat Konsesi menggunakan kaedah DCF adalah jauh lebih tinggi harganya dari apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.

     

    Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna di samping tidak merugikan mana-mana pihak.

    Sekiranya nilai pengambilalihan ini adalah terlalu tinggi, maka bebanan tersebut akan ditanggung oleh pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui kadar tarif air yang tinggi.

     

    Dalam hal mengenai SYABAS, Klausa 24.7 Perjanjian Konsesi SYABAS memperuntukkan sebarang cadangan bagi menjual, membawa bersama-sama, memberi hak atau memindah milik aset-aset SYABAS ataupun sebarang cadangan pembelian, pengambilalihan, penyatuan atau percantuman yang bersangkutan SYABAS perlu mendapat kebenaran bertulis terdahulu daripada Minister of Finance Incorporated sebagai Pemegang Saham Emas SYABAS bagi pihak Kerajaan Persekutuan.  Begitu halnya bagi SPLASH dan ABASS di mana Kerajaan Negeri Selangor adalah merupakan Pemegang Saham Emas.

     

    Setiap syarikat konsesi mempunyai tanggungan melalui Pemegang Bon.  Penyelesaian awal baki pinjaman dengan pemegang bon akan melibatkan bayaran premium yang tinggi.

     

    Halangan terkini yang dihadapi untuk merealisasikan harapan tersebut adalah respons Kerajaan Pusat yang dilengahkan kepada permintaan Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu-isu tertentu. Ini termasuklah penilaian aset-aset air oleh Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Berhad (PAAB). Kelengahan respons oleh Kerajaan Pusat adalah amat membimbangkan.

     

    Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada Kementerian bahawa ia ingin membayar separuh daripada kos ‘due diligence’ ke atas syarikat-syarikat konsesi air tetapi ini tidak dipersetujui oleh pihak PAAB. Kerajaan Negeri akan menekankan bahawa ia sepatutnya diberi laporan penuh ‘due diligence’ tersebut.

     

    Proses ini akan dapat dipercepatkan lagi jika Menteri Besar diberi peluang untuk berjumpa dengan Menteri KTTHA secepat mungkin untuk menyelesaikan isu-isu.

     

    Penyusunan semula industri perkhidmatan air mestilah diselesaikan segera kerana terdapat beberapa tindakan undang-undang di antara syarikat-syarikat konsesi sedang dilaksanakan dan jumlah hutang juga semakin bertambah.

Lampiran

Tiada Lampiran.