Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
63) PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohamad Khir Bin Toyo
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kerajaan negeri mensasarkan pelaburan bernilai RM 50 bilion untuk menggerakkan inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi. Bagaimanakah prestasi semasa perlaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi negeri yang telah diperkenalkan?
- Projek Pembersihan Sungai Kelang
Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti beberapa projek perniagaan/pembangunan yang akan digunakan untuk membiayai Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang. Hasil yang diperoleh daripada projek-projek ini dalam bentuk premium tanah, perkongsian untung, sumbangan dan sebagainya akan digunakan untuk membiayai Projek Sungai Klang. Beberapa projek pembangunan telah disenaraikan untuk menjadi sebahagian daripada skim ini. Projek-projek tersebut ialah:-
- Projek Pembangunan Taman Keramat AU2 seluas lebih kurang 4 ekar yang di tender kepada umum pada 1 November 2010 – Dijangka memberi pulangan tunai dan bukan tunai sebanyak RM 20 juta untuk Projek Sungai Klang.
- Projek Pembangunan di kawasan Sungai Sering seluas lebih kurang 75 ekar yang telah di tender pada Julai 2010 tetapi akan ditender semula untuk mendapatkan pulangan lebih baik – Dijangka memberi pulangan tunai dan bukan tunai sebanyak RM 150 juta ke atas untuk kerajaan negeri dan Projek Sungai Klang.
- Projek Pembangunan di Seksyen 24, Shah Alam; masih di peringkat kerja-kerja awal – Dijangka memberi pulangan tunai dan bukan tunai sebanyak RM 30 juta ke atas untuk Projek Sungai Klang.
- Projek Khas di I-City, Seksyen 7 Shah Alam; masih di peringkat kerja-kerja awal – Dijangka akan memberi impak besar kepada kebersihan Sungai Rasau yang mengalir ke Sungai Klang.
Projek-projek lain sedang dalam proses dikenal pasti. Kerajaan akan mengamalkan sistem tender terbuka terutamanya untuk projek-projek pembangunan bagi memastikan ketelusan.
Hasil-hasil yang diperoleh daripada projek-projek di atas akan diagihkan untuk kerjakerja fizikal Projek Sungai Klang. Dijangkakan hasil daripada projek pertama di atas akan diperoleh pada Mac 2011 dan kerja-kerja fizikal akan dilaksanakan pada masa tersebut.
- Projek Meningkatkan Padi
Projek Meningkatkan Hasil Padi Negeri Selangor dirangka untuk tempoh lima tahun dari 2009 hingga 2013. Ianya dijalankan secara berfasa. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pendapatan pesawah kepada lebih daripada RM1500 sebulan dan ini boleh dicapai melalui pengeluaran hasil 7.5tan/ha/musim pada tahun 2013.
Lebih daripada 9000 orang pesawah telah ataupun akan dilatih dan dibimbing dengan pengurusan tanaman padi yang disyorkan.
Terdapat Geran Projek Perintis Meningkatkan Hasil Padi Selangor . Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3,013,302.00 untuk tujuan ini. Sejumlah RM4,930,000.00 diperuntukkan untuk tahun ini.
Bantuan-bantuan lain adalah berbentuk pemberian pembekalan racun dan pakej-pakej penanaman.
- Projek Pembaharuan Bandar
Dua bandar telah dikenal pasti untuk melaksanakan pembaharuan bandar di negeri Selangor, iaitu Petaling Jaya dan Ampang Jaya. Projek PKNS telah pun dilancar di kawasan Jelatek di Ampang Jaya yang akan membawa pembaharuan bandar kepada kawasan tersebut. Projek Joint-Venture di antara PKNS dan Bisraya telah pun diluluskan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Seksyen 52. Bangunan yang diluluskan ini akan memastikan agar jalan raya dan keadaan trafik akan dipelihara.
- Projek Pengangkutan Awam
Kerajaan Persekutuan telah membentuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tetapi ia belum lagi dilaksanakan dengan penuh. Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan perbincangan dengan SPAD supaya pihak-pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri akan dilibatkan dalam proses pembentukan dasar dan implementasi pengangkutan awam darat. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor akan memberi cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya Selangor Transport Council boleh dibentukkan pada masa yang sama.
- Pembaharuan Projek-projek Terbengkalai
Terdapat beberapa projek terbengkalai telah dan sedang dilaksanakan pemulihan oleh Kerajaan Negeri terutamanya Projek Bukit Botak di Gombak, Alam Perdana di Kuala Selangor dan Sungai Buaya di Hulu Selangor. Usaha penyelesaian ini telah dibuat melalui tindakan Pengambilan Tanah di bawah Subseksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 ke atas projek terbengkalai berkenaan.
Secara langsung, tindakan pengambilan ini dapat menyelesaikan sebarang tuntutan daripada pihak berkepentingan dan melepaskan semua liabiliti yang terlibat di atas tanah pembangunan ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pemulihan projek.
Ini dibuktikan menerusi Program Pecah Tanah bagi penempatan semula setinggan Bukit Botak yang diadakan pada 30 Oktober 2010 yang mana sebahagian kawasan telah diwartakan sebagai tanah kerajaan. Bagi Projek Alam Perdana di Kuala Selangor adalah di peringkat akhir pengambilan tanah dan seterusnya untuk diwartakan sebagai tanah kerajaan. Manakala Sungai Buaya, Hulu Selangor telah diwartakan sebagai tanah kerajaan untuk dimajukan dan dibangunkan semula oleh Kerajaan Negeri melalui proses tender terbuka.
Selain itu, beberapa projek yang lain turut dalam usaha ke arah pemulihan seperti Projek Alam Mutiara di Kuala Selangor, Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa di Hulu Selangor dan Projek Villaria, Petaling Jaya.
- Projek Menstrukturkan Semula Industri Perkhidmatan Air Selangor
Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi. Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi. Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa nilai yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung obligasi hutang Pemegang Konsesi.
Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut, penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan buntu. Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memulakan semula rundingan dengan kerajaan Negeri Selangor. Rundingan semula ini telah bermula pada 25 Mei 2009 di mana satu jawatankuasa penstrukturan semula industri air Negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA). Mesyuarat Jawatankuasa Penstrukturan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KTTHA dan dianggotai oleh agensi Kerajaan persekutuan iaitu
Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Pasukan dari Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggotanya terdiri dari YB. Penasihat Undang-undang, YB. Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat Kewangan kepada YAB. Dato’ Menteri Besar, Pegawai Penyelidik Kepada YAB. Dato’ Menteri Besar, wakil Pejabat kepada YAB. Dato’ Menteri Besar dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) adalah turut menjadi ahli di dalam Jawatankuasa Penstrukturan peringkat Kerajaan Persekutuan.
Peranan dan tanggungjawab jawatankuasa penstrukturan semula industri air negeri
Selangor adalah seperti berikut:-
- Mengkaji dan menilai cadangan konsep model penstrukturan dan opsyen yang sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan selari dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).
- Melaksanakan opsyen yang telah dipersetujui termasuk mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terlibat dalam penstrukturan semula ini mengikut opsyen yang telah dipersetujui.
- Memperakukan hasil rundingan kepada pihak yang membuat keputusan iaitu:
- KTTHA memperakukan kepada Kabinet; dan
- Kerajaan Negeri Selangor memperakukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
- Menyediakan perjanjian yang berkaitan dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.
Antara 25 hingga 29 Mei 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan model penstrukturan semula negeri Selangor ke dalam Jawatankuasa tersebut. Model yang dicadangkan oleh Kerajaan negeri Selangor adalah pengambilalihan kesemua Syarikat Konsesi Air di Selangor dan seterusnya satu operator yang terdiri dari syarikat milik penuh Kerajaan Selangor akan dilantik Single Operator dalam mengendalikan perkhidmatan air secara holistik bermula dari rawatan hingga pengagihan air kerajaan pengguna di Negeri Selangor.
PAAB turut membentangkan opsyen penstrukturan di mana SYABAS dan Puncak Niaga disatukan sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAN untuk agihan dan rawatan manakala ABASS dan SPLASH dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN.
Namun Jawatankuasa akhirnya bersetuju supaya Model Selangor digunakan di dalam rundingan bersama Pemegang Konsesi. Lanjutan dari persetujuan ke atas Model Selangor, pasukan rundingan dengan Pemegang Konsesi telah mewujudkan
Jawatankuasa Induk Rundingan dan Jawatankuasa Kerja di Peringkat Negeri Selangor. Jawatankuasa Induk Rundingan diketuai oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor turut dianggotai oleh wakil dari KTTHA adalah berperanan untuk mengemukakan dan merundingkan harga tawaran kepada Pemegang Konsesi. Manakala jawatankuasa kerja diketuai oleh Penasihat Kewangan kepada YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor dan dihadiri oleh wakil dari Syarikat Konsesi Air. Jawatankuasa Kerja adalah berperanan untuk membincangkan dengan wakil Syarikat Konsesi secara terperinci dari segi kewangan yang berkaitan dengan harga wang telah ditawarkan tersebut dan seterusnya melaporkan kepada Jawatankuasa Induk Rundingan.
Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan rundingan bersama dengan keempatempat syarikat pemegang konsesi air. Tawaran pengambilalihan syarikat konsesi air menggunakan Model holistik Negeri Selangor diterima oleh SPLASH dan ABASS, manakala SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd menolak tawaran tersebut. Nilai tawaran pada ketika ini adalah pada nilai RM9.2 bilion.
Lanjutan tidak mendapat persetujuan dari kesemua syarikat pemegang konsesi ke atas Model holistik Kerajaan negeri Selangor, pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) telah bersetuju supaya Model Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) digunakan untuk proses penstrukturan semula di Selangor.
Di bawah Model PAAB ini, SYABAS akan dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai operator agihan manakala ABASS, SPLASH dan Puncak Niaga dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN. Di bawah Model PAAB ini juga, pegangan ekuiti Kerajaan Negeri Selangor di dalam SYABAS akan ditingkatkan dari 30% kepada 49% manakala pegangan ekuiti Puncak Niaga di dalam SYABAS akan dikurangkan dari 70% kepada 51% dan saham emas akan kekal dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.
Penerimaan Kerajaan Negeri Selangor terhadap Model PAAB adalah tertakluk kepada beberapa syarat seperti berikut:-
- Terma-terma dan syarat-syarat yang mengehendaki pengurusan SYABAS yang profesional, berkebolehan dan efisien akan dimuktamadkan di dalam Perjanjian Pemegangan Saham yang akan ditandatangani di antara pemegang ekuiti SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor; dan
- Model PAAB dipersetujui untuk diterima oleh keempat-empat syarikat pemegang konsesi air negeri Selangor.
Antara 16 Mac 2010 hingga 23 Mac 2010, pihak KTTHA telah membuat rundingan bersama kesemua syarikat konsesi air bagi memaklumkan nilai untuk pengambilalihan oleh PAAB. Kesemua syarikat konsesi air diberi tempoh sehingga 06 April 2010 untuk memberikan maklum balas ke atas tawaran tersebut. Nilai tawaran pengambilalihan adalah pada bilai RM10.3 bilion. SPLASH dan ABASS telah menolak tawaran oleh KTTHA tersebut. SPLASH pada masa yang sama turut mengumumkan untuk mengambil alih semua syarikat air di Selangor pada nilai tawaran yang serupa dengan PAAB. Puncak juga mengemukakan cadangan pengambilalihan kepada KTTHA.
Berikutan dari gagalnya penerimaan Model PAAB tersebut, pada 29 dan 30 Julai 2010, KTTHA telah mengadakan satu retreat bagi membincangkan semula kaedah untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor. Di dalam retreat tersebut, wakil kerajaan Selangor telah dimaklumkan oleh KTTHA bahawa Model Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor yang telah dipersetujui untuk diterima pakai dalam melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor adalah Model Kerajaan persekutuan yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 08 Julai 2009.
Melalui Model tersebut, kesemua pemegang konsesi air Negeri Selangor akan terus beroperasi sehingga tamat tempoh konsesi mereka. Kerajaan persekutuan melalui PAAB akan mengambil alih semua aset dan liabiliti yang berkaitan dengan industri air dari kesemua Pemegang Konsesi dan penyelenggaraan (Operation and Maintenance Operator) secara asset light. Sebagai alasan kepada operator di bawah Model ini, Operator Rawatan Air iaitu Puncak, SPLASH dan ABASS akan menerima bayaran melalui Bulk Supply Rate (BSR), manakala Operator Agihan iaitu SYABAS akan menerima bayaran melalui tarif air.
Ekuiti Pegangan dalam SYABAS akan berubah di mana melalui Model ini, pegangan Puncak sebanyak 70% akan dikurangkan kepada 51% manakala pegangan Kerajaan Negeri akan ditingkatkan dari 30% kepada 49%. Satu Saham emas masih kekal dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.
Melalui Model ini, SYABAS akan diberikan lesen sebagai operator agihan manakala Puncak, SPLASH dan ABASS akan kekal diberi authorisation sebagai operator rawatan air yang akan beroperasi dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengikut peruntukan dan peraturan yang digariskan di bawah Akta Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655). Di bawah Model ini juga, semua aset bekalan air milik Kerajaan Negeri akan diambil alih oleh PAAB pada nilai sebanyak RM1.1 bilion dan jumlah hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan akan tolak dari nilai aset tersebut.
KTTHA memaklumkan supaya wakil Kerajaan negeri di dalam SYABAS selepas perubahan pegangan ekuiti hendaklah dari kalangan Kerajaan Negeri sendiri bukan diwakili oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KHEB) atau mana-mana syarikat lain.
Model tersebut tidak dapat diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor kerana ia masih mengekalkan framentation di dalam perkhidmatan air. Kerajaan negeri Selangor masih berpendirian Model Holistik adalah yang terbaik dapat menjamin industri perkhidmatan air yang efisien, efektif, berdaya saing dan mapan di samping dapat mengekalkan kos operasi dan tarif air yang munasabah.
Memandangkan Model ini tidak dapat dimuktamadkan, pada 20 Oktober 2010, Mesyuarat Jawatankuasa Penstrukturan Air telah diadakan oleh KTTHA. Di dalam mesyuarat tersebut, KTTHA memaklumkan wakil Kerajaan Negeri Selangor memandangkan sehingga kini penstrukturan air di Negeri Selangor masih belum dapat dimuktamadkan, maka adalah dicadangkan supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan semula cadangan penstrukturan secara holistik yang akan dikemukakan oleh Syarikat Konsesi Air. KTTHA tidak ada halangan kiranya Model Holistik tersebut diterajui oleh mana-mana syarikat persendirian tetapi bukan oleh Kerajaan Negeri Selangor memandangkan Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan pengambil balik syarikat konsesi air aras dasar willing buyer willing seller.
YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor dalam surat kepada KTTHA pada 22 Oktober 2010 memaklumkan bahawa pendirian Kerajaan negeri Selangor akan meneruskan pelaksanaan Model Holistik dan akan membuat tawaran kepada Syarikat Konsesi Air dengan mengguna pakai kaedah di mana aset air akan diambil alih oleh PAAB manakala ekuiti akan dibiayai oleh Kerajaan negeri Selangor dengan membayar pulangan pada kadar 12% kepada pemegangan Saham di dalam Syarikat Konsesi Air.
Sekiranya nilai tawaran baru oleh Kerajaan Negeri Selangor ini tidak diterima oleh Syarikat Konsesi Air, maka perkara mengenai nilai tersebut akan dirujuk kepada Badan Timbang Tara Antarabangsa bagi tujuan untuk menentukan fair market value nilai pampasan yang akan dibayar kepada Pemegang Saham.
Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk memuktamadkan rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini sebelum akhir tahun 2010 bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk ke atas operasi industri itu sendiri dan pasaran kewangan negara berikutan penurunan taraf (downgraded) bon-bon berkaitan air di pasaran kewangan negara.
Namun demikian, keputusan akhir mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor adalah tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri. Ini adalah kerana melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.
-
Berapakah nilai pelaburan yang telah diterima setakat ini?
Nilai pelaburan yang diperoleh setakat ini sukar untuk dikira dengan tepat. Walau bagaimanapun, beberapa projek penting telah dilancarkan dan anggaran kasar boleh dibuat. Setakat ini, hasil-hasil pelaburan utama yang diperoleh ialah:-
- Projek Pembangunan Taman Keramat AU2 untuk membiayai Projek Sungai Klang mempunyai Gross Development Value (GDV) melebihi RM 100 juta
- Projek Pembaharuan Bandar Keramat Datum Jelatek oleh PKNS mempunyai GDV melebihi RM 1 bilion
- Projek Pembaharuan Pusat Bandar Petaling Jaya oleh PKNS dan Bisraya mempunyai GDV melebihi RM 1 bilion
- Pemulihan Projek Terbengkalai Bukit Botak mempunyai GDV melebihi RM 120 juta
- Projek Pembangunan di kawasan Sungai Sering untuk membiayai Projek Sungai Klang mempunyai GDV mencecah RM 1 bilion
Maka, daripada projek-projek utama yang dikelaskan di bawak Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor, nilai pelaburan yang diperoleh ialah sebanyak RM 3.22 bilion. Jumlah ini tidak termasuk lain-lain pemulihan projek-projek terbengkalai yang telah berjaya diselesaikan setakat ini. Jumlah ini juga tidak termasuk pertambahan pendapatan petani-petani padi di bawah Projek Melipatgandakan Hasil Padi. Akhir sekali, jumlah ini juga tidak termasuk sebarang ‘multiplier effect’ yang hasil daripada kesemua projek-projek ini.
-
Apakah sumbangan pakej tersebut kepada perkembangan ekonomi negeri?
Sumbangan pakej tersebut kepada perkembangan ekonomi negeri adalah dari segi:-
- ‘Multiplier effect’ daripada pelaburan-pelaburan dan pertambahan pendapatan yang telah dan akan berlaku.
- Menambahkan peluang pekerjaan terutamanya di dalam sektor
- Menyediakan lebih banyak rumah-rumah baru dan rumah-rumah terbengkalai yang disiapkan.
- Membaharui bangunan-bangunan lama melalui pembaharuan bandar bagi menyediakan ruang-ruang perniagaan dan kediaman yang lebih mapan dan lestari. Ini akan memberikan penambahan nilai kepada masyarakat.
- Mengambil kesempatan untuk menyelesaikan juga masalah-masalah setempat yang membantutkan pembangunan dan kelancaran sistem ekonomi seperti pemilikan tanah, lalu lintas, setinggan, dan sebagainya.