Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

200) PAKEJ KITA SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri telah melaksanakan pakej ini bagi membantu rakyat. Berapakah jumlah peruntukan yang telah disediakan dan telah dikeluarkan?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mempertingkat usaha dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi semua lapisan penduduk Negeri Selangor ketika mendepani cabaran kesan penularan pandemik Covid-19. Selain itu juga, Kerajaan Negeri serius dan terus proaktif untuk mengambil tindakan kawalan kesihatan untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 di kalangan penduduk di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah mengumumkan bantuan kepada golongan penduduk yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) melalui pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang dikenali sebagai Pakej Kita Selangor.

    Secara keseluruhannya, Pakej Kita Selangor yang telah diumumkan memberi impak kewangan berjumlah RM627.43 juta iaitu sebanyak RM75.87 juta disediakan dibawah Pakej Kita Selangor 1.0 dan sebanyak RM551.56 juta pula disediakan dibawah Pakej Kita Selangor 2.0.

    Sehingga 31 Disember 2021, Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan sebanyak RM 395.93 juta di bawah Pakej Kita Selangor iaitu RM48.54 juta bagi Pakej Kita Selangor 1.0 dan RM347.39 juta di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

  2. Berapakah jumlah penerima bantuan ini sehingga akhir tahun 2021?

    Sehingga 31 Disember 2021, Pekej Kita Selangor 1.0 yang merangkumi 18 inisiatif telah memberi manfaat kepada 430,113 orang penerima. Manakala Pakej Kita Selangor 2.0 yang merangkumi 26 Inisiatif telah memberi manfaat kepada 970,323 orang penerima. Secara keseluruhannya kedua – dua Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 ini telah memberi manfaat kepada lebih 1.4 juta penerima yang mendapat manfaat secara langsung atau jika penerima manfaat adalah ketua keluarga maka ianya telah memberi manfaat secara tak langsung kepada 5.6 juta penerima (1 keluarga terdiri dari penerima, isteri dan 2 orang anak).

  3. Adakah pelaksanaan pakej ini mencapai matlamat bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik?

    Pakej Kita Selangor merupakan sebuah pakej rangsangan ekonomi yang telah membantu semua golongan sasar yang telah dikenalpasti terkesan akibat beberapa sekatan dan cabaran sektor ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Suntikan dana Kerajaan Negeri dan anak – anak syarikat Kerajaan Negeri berjumlah RM627.43 juta telah membantu untuk mencapai 2 matlamat utama iaitu mengekang penularan wabak Covid-19 melalui Saringan Percuma dan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dan mengupayakan sektor ekonomi khususnya industri kecil & sederhana (IKS) melalui moratorium, pinjaman mikrokredit serta pendigitalan perniagaan. Manakala program seperti Bakul Makanan & Keperluan Asas adalah salah satu inisiatif berteraskan kebajikan rakyat yang telah menyentuh paling ramai penerima iaitu telah memberi manfaat kepada 258,696 penerima bersamaan dengan anggaran melebihi 1 juta isi rumah. Secara keseluruhannya Pakej Kita Selangor telah memberi penumpuan terhadap kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi Negeri Selangor mendepani cabaran kesan penularan pandemik Covid-19.

Lampiran

Tiada Lampiran.