Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
381) OUTLET KOTA PUTERI
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah terdapat cadangan oleh JPS Selangor untuk mengkaji semula reka bentuk outlet di Kota Puteri untuk mengawal air yang menyebabkan banjir di Ijok?
Untuk makluman Yang Berhormat, satu perbincangan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dan pihak pemaju iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah diadakan pada 20 Disember 2023 bagi membincangkan isu berkaitan kecukupan kapasiti sistem saliran bagi menampung pembangunan di Kota Puteri. Berdasarkan pembentangan oleh pihak pemaju dan juga perunding yang bertanggungjawab terhadap reka bentuk pembangunan tersebut, air larian yang terhasil daripada kawasan pembangunan tersebut telah memasuki kolam takungan banjir yang dibina oleh pihak pemaju. Jumlah air yang dialirkan ke longkang dari kolam takungan adalah mematuhi keperluan reka bentuk dan kapasiti kolam takungan juga mencukupi bagi menampung pembangunan tersebut.
Sehubungan itu, JPS Negeri Selangor telah menyarankan agar pihak pemaju melaksanakan penyelenggaraan yang bersesuaian terhadap sistem saliran dan juga kolam takungan yang masih belum diserahkan kepada JPS Negeri Selangor dan menjadi tanggungjawab pihak pemaju bagi mengurangkan risiko banjir di bahagian downstream.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, serahan kolam akan dilaksanakan setelah keseluruhan pembinaan di sesebuah kawasan selesai dibangunkan sepenuhnya.
Selain daripada itu, JPS Negeri Selangor turut melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan sebagai penyelesaian banjir di kawasan Ijok. Perincian Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan adalah seperti berikut:-
-
Apakah ada kelulusan oleh Kerajaan Negeri disebahagian rezab sungai/tadahan banjir di SgBuloh (Ijok) sebagai tempat pembuangan sampah?
Maklum balas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor
Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor tidak menyokong sebarang permohonan kawasan pembuangan sampah terutama melibatkan kawasan di dalam rizab sungai dan kawasan limpahannya bagi memastikan aliran sungai dalam keadaan lancar semasa aras sungai di paras tinggi ataupun rendah. Halangan yang terdapat di dalam rizab sungai seperti sampah, dedaun dan sebagainya boleh meningkatkan risiko banjir di kawasan sekitar selain daripada mengancam kelestarian alam sekitar dan meningkatnya risiko pencemaran sungai.
Maklum Balas Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
Pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tiada menerima permohonan atau memberi kelulusan sebagai tapak pembuangan sampah di atas tapak yang dimaksudkan.
Maklum Balas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
Tapak sampah atau rizab tanah yg dijadikan tempat pembuangan sampah adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Akta Kerajaan Tempatan & Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berkaitan dengan hal tanah tersebut. Pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga akan menyelaraskan tindakan terhadap isu sampah ini sekiranya diterima dan dipanjangkan kepada PBT dan PDT.