Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

18) ORANG KURANG UPAYA (OKU)

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah OKU yang berdaftar di Negeri Selangor mengikut daerah berdasarkan kategori ketidakupayaan mereka?

    Untuk makluman Yang Berhormat Pelabuhan Klang, seramai 102,760 Orang Kurang Upaya (OKU) telah berdaftar dengan JKM Negeri Selangor. Seramai 2,039 orang adalah OKU berdaftar di DUN Pelabuhan Klang. Jumlah OKU berdaftar yang paling tinggi adalah kategori fizikal iaitu seramai 41,240 orang, diikuti kategori pembelajaran 34,671 orang, dan kategori penglihatan 7,661 orang. Manakala, daerah yang paling tinggi OKU berdaftar adalah di Hulu Langat seramai 17,881 orang, Klang 17,784 orang dan Gombak seramai 13,071 orang. Perincian OKU berdaftar dengan JKM Selangor mengikut daerah dan kategori adalah seperti Jadual 1.

  2. Apakah jenis bantuan yang diberikan kepada mereka?

    Perkhidmatan yang disediakan oleh JKM kepada OKU adalah berupa sokongan sosial dan pemulihan, bantuan kewangan dan kemudahan-kemudahan seperti berikut:

    Sokongan Sosial Dan Pemulihan

    i) Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memberi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial kepada OKU berdaftar. PDK dilaksanakan dengan bantuan kewangan kerajaan kepada pertubuhan PDK melalui usaha bersepadu JKM, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran bersama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan, komuniti, keluarga OKU, dan OKU. Sebanyak 60 buah PDK telah diwujudkan di negeri Selangor dan seramai 2,482 orang OKU mendapat manfaat daripada program ini.

    ii) Perkhidmatan Job Coach (JC) disediakan untuk memberi sokongan pekerjaan dan pembangunan kerjaya OKU. Melalui pelaksanaan program ini, OKU dapat dibantu oleh Job Coach iaitu individu terlatih yang professional untuk menjadi penghubung antara OKU dan majikan. Selain itu, pendekatan ini dapat memperluaskan kesedaran mengenai ketidakupayaan dan menyokong OKU untuk kekal bekerja di pasaran terbuka. Setakat ini, terdapat 79 orang Job Coach telah diiktiraf oleh JKM Selangor, dan memberi manfaat kepada 32 orang OKU.

     

    Bantuan Kewangan

    iii) Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dengan kadar RM450.00 sebulan dipertimbangkan kepada OKU yang sedang bekerja sebagai insentif supaya mereka terus bekerja. Syarat pendapatan kurang daripada RM1,500.00 sebulan.

    iv) Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dengan kadar RM300.00 sebulan dipertimbangkan kepada OKU yang tidak berupaya bekerja kerana keadaan kecacatan mereka yang teruk dan tidak berupaya bekerja;

    v) Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dengan kadar RM500.00 seorang sebulan dipertimbangkan kepada penjaga OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan keluarga penjaga serta mempastikan penjagaan yang berkualiti;

    vi) Bantuan Alat Tiruan/ Sokongan dengan kadar sebenar alat tiruan/ sokongan tersebut bagi membantu kumpulan sasar JKM yang tidak berkemampuan untuk membeli alat tiruan atau alat sokongan seperti kaki palsu, kerusi roda, alat pendengaran, dan lain-lain peralatan yang bersesuaian dan disyorkan oleh Pegawai Perubatan;

    vii) Bantuan Am Negeri dengan tiga (3) kadar iaitu RM250.00, RM300.00 atau  RM350.00 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan.

    Kemudahan-kemudahan kepada OKU berdaftar

    viii) Pelbagai kemudahan kepada OKU berdaftar dengan JKM turut disediakan oleh pelbagai agensi kerajaaan, pertubuhan sukarela dan swasta. Perincian kemudahan OKU adalah seperti risalah yang diedarkan

Lampiran

Tiada Lampiran.