Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

9) ORANG ASLI

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk melindungi dan mempromosikan budaya, bahasa, dan warisan masyarakat Orang Asli di Selangor?

    Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) amat menitikberatkan perihal budaya dan warisan masyarakat Orang Asli di Negeri Selangor. Pelbagai usaha telah dilaksanakan antaranya, menjalinkan kerjasama antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam mempromosikan budaya dan warisan masyarakat orang asli Selangor.

     

    Selain dari itu, sebuah Pusat Kraf Orang Asli juga telah dibina di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun. Pusat kraf ini menempatkan hasil ukiran serta anyaman masyarakat Orang Asli Mah Meri dan merupakan salah satu medium untuk pihak JAKOA mempromosikan adat dan budaya masyarakat orang asli di kampung tersebut.

     

    Selain JAKOA, pihak Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), turut terlibat secara langsung dalam mempromosikan adat dan budaya masyarakat orang asli. Terdapat satu galeri adat dan kebudayaan yang mempamerkan tentang kebudayaan orang asli di Selangor terutamanya suku kaum Mah Meri di Muzium Sultan Alam Shah. Antara koleksi yang dipamerkan seperti baju kulit kayu, ukiran patung, topeng, anyaman kelarai, permainan tradisi dan lain-lain.

     

    Kumpulan kesenian PADAT juga turut mempersembahkan tarian orang asli semasa program-program, sama ada program yang dianjurkan oleh PADAT atau program jemputan. Antara program anjuran PADAT adalah program Semarak Seni dan Budaya (SENADA) yang mana PADAT telah menjemput guru kraf orang asli untuk membuat demonstrasi.

  2. Apakah usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik, dan jalan raya di perkampungan Orang Asli di Selangor. Sila nyatakan mengikut daerah.

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Lanjan juga, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli telah memperuntukan sebanyak RM 2.5 juta bagi tahun 2024 untuk tujuan Pembangunan dan Hal Ehwal Orang Asli dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli meliputi tujuh fokus utama iaitu pewartaan tanah, pendidikan, infrastruktur, ekonomi, kepimpinan, kebudayaan dan kesihatan.

    Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa merancang dan menjalankan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat orang asli seperti program menaiktaraf dan membaik pulih kediaman orang asli, menaik taraf dan menambah baik infrastruktur asas dalam kampung orang asli dan juga pembangunan pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

    Program Bantuan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) pula adalah program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan Social Safety Net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bas Smart Selangor, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian kemiskinan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) dan banyak lagi.

    Masyarakat orang asli tidak pernah dipinggirkan dalam menerima bantuan-bantuan yang melibatkan peningkatan pendapatan Kerajaan Negeri Selangor dan bagi tahun 2024 ini, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli sentiasa menggalakkan masyarakat orang asli untuk memohon bantuan-bantuan yang disediakan. Perhatian dan keutamaan kepada pemohon yang terdiri dari masyarakat orang asli yang berkelayakan akan dipertimbangkan permohonannya.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli juga telah menjalankan pelbagai program untuk membangunkan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik, dan jalan raya di perkampungan orang asli mengikut daerah seperti maklumat dibawah:

     

    TAHUN 2024

    DAERAH BIL. PROGRAM / PROJEK PERUNTUKAN (RM)
    Gombak 1 PROGRAM TURUN PADANG YB EXCO DAN GOTONG ROYONG DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI RELANG GOMBAK 5,000.00
    2 BANTUAN PENDIDIKAN PELAJAR ORANG ASLI SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS (CACAT PENGLIHATAN) UNTUK MENYERTAI PROGRAM NIPPON AGOONOREE NATIONAL CAMP FOR THE SCOUTS WITH SPECIAL NEEDS TAHUN 2024 KOA GOMBAK 5,720.00
    3 PELAKSANAAN KERJA-KERJA MEMBAIK PULIH JAMBATAN KAMPUNG ORANG ASLI BATU 12, SUNGAI RELANG TAHUN 2024 22,500.00
    4 PROGRAM NAIK TARAF KEDIAMAN ORANG ASLI DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI RELANG ANJURAN PERSATUAN PEMBANGUNAN ORANG ASLI MALAYSIA TAHUN 2024 39,839.90
    5 PROGRAM BANTUAN BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI – 1 BUAH 85,000.00
    Sepang 6 PROGRAM GOTONG ROYONG RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELIBATKAN 15 BUAH JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG ORANG ASLI (JPKKOA) DAERAH SEPANG TAHUN 2024 20,120.00
    7 PELAKSANAAN KERJA-KERJA MEMBAIK PULIH JALAN LORONG DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI BUAH, SEPANG TAHUN 2024 98,580.00
    8 SUMBANGAN KEPADA JPKKOA SUNGAI MELUT UNTUK PERSIAPAN KARNIVAL SUKAN ORANG ASLI PERINGKAT KEBANGSAAN 2024 3,000.00
    9 PROGRAM BANTUAN BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI – 1 BUAH 85,000.00
    Kuala Langat 10 PROGRAM TURUN PADANG YB EXCO HAL EHWAL ORANG ASLI DAN MINORITI MENYANTUNI MASYARAKAT ORANG ASLI DAN KERJA-KERJA MEMBAIK PULIH BALAI RAYA DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI BUMBUN, PULAU CAREY, DAERAH KUALA LANGAT TAHUN 2024 43,829.00
    11 PROGRAM BANTUAN BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI – 4 BUAH 340,000.00
    Hulu Selangor 12 PROGRAM BANTUAN BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI – 2 BUAH 170,000.00
    Hulu Langat 13 PROGRAM BANTUAN BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI – 1 BUAH 85,000.00
    Klang 14 PROGRAM BANTUAN BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI – 2 BUAH 170,000.00
    Negeri Selangor 15 SUMBANGAN KEPADA PERSATUAN BENIH HIJAU UNTUK PROGRAM MENYEMAI BUDAYA PROGRAM BERCERITA BERSAMA KANAK-KANAK DI KAMPUNG ORANG ASLI NEGERI SELANGOR 2024 30,000.00
    16 KARNIVAL FITRAH MURID ORANG ASLI (KAFOA) KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024 10,000.00
    17 BENGKEL PEMURNIAAN DAN PEMANTAPAN PIMPINAN MASYARAKAT ORANG ASLI NEGERI SELANGOR TAHUN 2024 55,073.00
  3. Apakah rancangan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memperbaiki taraf hidup penduduk di Kampung Orang Asli Selangor khususnya dari segi ekonomi, pendidikan, dan infrastruktur?

    Kerajaan Negeri Selangor sedang dalam fasa perancangan dan pelaksanaan beberapa rancangan jangka panjang untuk memperbaiki taraf hidup penduduk di Kampung Orang Asli, terutamanya dalam aspek ekonomi, pendidikan, dan infrastruktur.

    Bagi tahun 2025 Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli merancang untuk membina premis perniagaan dalam kampung orang asli yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat orang asli bagi membantu mereka menjalankan perniagaan yang mempunyai permintaan dikalangan penduduk setempat. Selain dari itu melalui Batin dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan masyarakat orang asli untuk memohon bantuan peningkatan pendapatan seperti Bantuan Peralatan Blueprint dan Program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) untuk membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

    Kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga sentiasa giat dijalankan bagi melaksanakan program-program pendidikan bagi masyarakat orang asli dan akan diteruskan bagi tahun 2025. Selain dari itu Geran Pembangunan bagi setiap kampung orang asli yang disediakan bagi setiap kampung boleh digunakan untuk menjalankan program dan aktiviti kebudayaan bagi memastikan kebudayaan orang asli yang unik dapat dikekalkan dan diperkenalkan kepada generasi muda dan mengelakkan keunikan budaya orang asli dari pupus.

    Diperingkat Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga sentiasa komited dalam memastikan peningkatan taraf hidup penduduk masyarakat orang asli di Selangor dari segi ekonomi, pendidikan dan infrastruktur. Beberapa program telah dirancang antaranya program yang melibatkan pembangunan ekonomi orang asli seperti  Hands Holding dan Projek Ladang Masyarakat Orang Asli (PLMOA). Selain itu, dari segi pendidikan seperti biasiswa pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Program Jom Kerja untuk belia masyarakat orang asli kolaborasi bersama PERKESO, Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan usahasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pihak JAKOA juga tidak mengabaikan pembangunan infrastruktur dimana beberapa projek pembangunan telah dirangka iaitu Projek Bekalan Air Terawat, Projek Pembangunan Infrastruktur/Ameniti Sosial, projek menaik taraf jalan kampung dan Projek Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA).

Lampiran

Tiada Lampiran.