Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

69) ORANG ASLI

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik perbelanjaan pembangunan Kerajaan Negeri Selangor kepada penempatan Orang Asli mengikut daerah bagi tempoh 2010-2020.

    Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli baru diwujudkan pada tahun 2020 dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM500,000.00. Daripada jumlah tersebut, sebanyak:

     

    1. RM 297,050.00 telah dibelanjakan bagi agihan Sumbangan Bakul Makanan Kepada Masyarakat Orang Asli Negeri Selangor Dalam Menangani Kesan COVID-19,
    2. RM 96,322.00 pula telah dibelanjakan bagi Projek Membaik pulih Dan Menaiktaraf Jalan Konkrit Simen Untuk Laluan Utama Dan Kerja Sistem Saliran Di Kampung Orang Asli Batu 12, Daerah Gombak; dan
    3. RM 53,132.00 pula bagi Kerja Menaiktaraf Jalan (Premix) Di Laluan Masuk Kampung Orang Asli Bakar Leleh, Pulau Carey, Daerah Kuala Langat.
    4. Manakala sebanyak RM 53,495.50 telah disalurkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak bagi Kerja Menaiktaraf Taman Permainan Di Kampung Orang Asli Hulu Kuang. Walau bagaimanapun, projek tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan masa akibat PKP dan hanya akan dilaksanakan pada tahun ini.

    Selain daripada itu, program dan projek pembangunan di perkampungan Orang Asli menggunakan Akaun Amanah Orang Asli dari tahun 2010 sehingga kini pula secara keseluruhannya adalah berjumlah RM1,043,536.00.

  2. Apakah perancangan kerajaan Negeri Selangor untuk menaiktaraf infrastruktur jalanraya dan pembinaan menara komunikasi di penempatan Orang Asli di Semenyih?

    Peruntukan pembangunan di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal orang Asli pada tahun ini lebih memfokuskan kepada projek-projek menaiktaraf atau membina baru infrastruktur serta kemudahan asas di perkampungan Orang Asli. Ini termasuklah membaik pulih jalan raya, dewan dan sebagainya. Atas sebab peruntukan di bawah Jawatankuasa ini hanyalah sebanyak RM500,000.00 sahaja, maka peruntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf ini akan disalurkan kepada Pejabat Daerah yang berkenaan berdasarkan permohonan yang dikemukakan. Oleh yang demikian, Yang Berhormat Semenyih adalah disarankan untuk memaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bagi tujuan tersebut.

    Bagi pembinaan menara telekomunikasi pula, isu tanah dan kesesuaian kawasan perlu dikenal pasti terlebih dahulu dan pihak syarikat telekomunikasi hendaklah memainkan peranan mereka juga.

Lampiran

Tiada Lampiran.