Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

245) OPS MEGA DENGGI BERSEPADU SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah hasil setelah OPS tersebut dilaksanakan?

    Program Ops Mega Bersepadu Memerangi Denggi dan Zika Peringkat Negeri Selangor telah diadakan secara serentak pada 22 Oktober yang lalu dengan kerjasama 12 Pihak berkuasa Tempatan (PBT), 9 Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), 9 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), dan pelbagai agensi peringkat daerah negeri Selangor termasuk ADUN dan Ahli Majlis kawasan

     

    12 lokasi program telah dipilih merupakan salah satu lokaliti hotspot di setiap kawasan PBT masing-masing.

     

    Fokus utama pelaksanaan program adalah untuk memberi taklimat kesedaran berkaitan bahaya Aedes kepada penduduk supaya masyarakat mengetahui kepentingan menjaga keselamatan keluarga masing-masing. Pemakluman sejarah kes demam Denggi dan bilangan kematian dimaklumkan kepada penduduk bagi menimbulkan rasa kesedaran. Selain itu, pendedahan kawasan berpotensi berlaku pembiakan juga dijelaskan semasa sesi taklimat.

     

    Program tersebut turut mengadakan satu pertandingan mencari tempat pembiakan jentik-jentik sama ada di dalam rumah atau di kawasan persekitaran. Aktiviti ini secara langsung dapat menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik dan memberi latihan praktikal kepada masyarakat.

     

    Di samping itu, pemeriksaan tempat pembiakan di dalam dan luar rumah juga dilaksanakan oleh pihak PKD dan PBT. Pemeriksaan ini adalah bagi memastikan tiada tempat pembiakan yang menjadi punca berlaku kes.

     

    Program tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya oleh semua pihak yang terlibat dengan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk. Dengan berlangsungnya program ini, Kerajaan Negeri mengharapkan lokaliti tersebut terkeluar daripada senarai hotspot dan tiada lagi kes denggi bakal dicatatkan.

     

  2. Apakah tindakan yang keatas premis yang menjadi tempat pembiakan aedes?

    Tiada sebarang tindakan penguatkuasaan yang dikenakan ke atas penemuan jentik-jentik semasa program Ops Mega Bersepadu ini

     

    Walau bagaimanapun, pihak JKNS bersama Pejabat Kesihatan Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan sedang melaksanakan Operasi penguatkuasaan projek rumah terbengkalai, tanah/lot kosong dan tapak binaan di lokaliti wabak. Bagi pemeriksaan ke atas tapak bina, sekiranya dijumpai pembiakan padat maka tindakan penutupan di bawah seksyen 8, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975) (Pindaan 2000) dan tindakan pendakwaan akan diambil.

     

    Bagi pemeriksaan di tanah/lot kosong, sekiranya pembiakan dijumpai, pihak PBT akan meletakkan notis bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan pada tempoh yang munasabah dan sekiranya tiada tindakan daripada pemilik tanah, tindakan selanjutnya akan dikenakan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Lampiran

Tiada Lampiran.