Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
144) OPERASI PREMIS PERNIAGAAN WARGA ASING
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagi tahun 2023 dan 2024, berapakah premis perniagaan warga asing di DUN Meru yang dikenakan tindakan penguatkuasaan?
Sepanjang tahun 2023 dan 2024, sebanyak 88 sitaan bagi tahun 2023 manakala sebanyak 13 sitaan bagi tahun 2024 (bulan Januari hingga Mei) dijalankan ke atas warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di DUN Meru seperti :
- premis kedai runcit;
- penjaja;
- premis makanan;
- pasar;
- premis proses ayam;
- premis menjual arak; dan
- premis mencuci kenderaan.
-
Bagaimanakah pelan pemantauan MBDK berkaitan operasi premis perniagaan oleh warga asing khusus di DUN Meru?
Bagi menangani masalah warga asing yang terlibat dalam perniagaan dan perusahaan, tindakan secara bersepadu dan komprehensif perlu dilaksanakan oleh setiap agensi yang terlibat bersama Pihak Berkuasa Tempatan.
Sebagai contoh bagi kes-kes perniagaan kedai runcit, tindakan secara bersepadu antara agensi seperti Jabatan Imigresen bagi menentukan permit dan visa perjalanan ke atas warga asing ini. MBDK tidak berkompromi ke atas isu warga asing yang menjalankan perniagaan dan tindakan tegas iaitu dengan menyita barang-barang dan peralatan perniagaan mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan oleh MBDK. Selain itu, tindakan bersepadu bersama pemegang taruh seperti Top Glove turut dijalankan bagi memastikan pekerja-pekerja tidak menjalankan perniagaan dan mematuhi peruntukan undang-undang yang digunapakai di negara ini.
Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui SPBT akan mengadakan penelitian untuk pindaan terhadap Undang-Undang Kecil (UUK) Tred dan Pelesenan PBT untuk memasukkan kuasa penutupan dan penyitaan bagi premis tidak berlesen. Ini akan membolehkan PBT mengambil tindakan yang lebih berkesan terhadap premis yang dikendalikan oleh warga asing tanpa lesen. Kekurangan kuasa undang-undang ini juga menyebabkan Majlis tidak dapat menutup atau menyita premis-premis yang tidak berlesen secara langsung.