Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

193) OPERASI KUARI BATU

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Operasi kuari batu di beberapa lokasi khususnya dalam DUN Semenyih telah menyebabkan gangguan kepada penduduk sekitar Taman Jelok Impian, TTDI Groove, Taman Nagsyabandiah dan Bandar Sunway Semenyih. Apakah langkah yang diambil oleh agensi berkaitan untuk mengurangkan masalah atau gangguan kepada penduduk?

    Terdapat tujuh (7) kuari beroperasi di dalam Mukim Semenyih yang mana PDT Hulu Langat mengeluarkan Permit Pengeluaran Batu-Batuan (4C). Butiran kuari-kuari tersebut adalah seperti berikut:

    Bil. Pengusaha Butiran Tanah Luas
    1. C&L Resources Tanah Hak milik HS(D) 42830

    PT 9318

    8.89 Ha
    2. Kajang Rock Quarry SB Tanah Hak milik CT 26387 Lot 2213 dan CT 26373 Lot 2186 8.23 Ha
    3. Kajang Granite Sdn Bhd Tanah Hak milik CT 39928 Lot 7990 28.56 Ha
    4. Hanson Quarry Products Sdn Bhd Tanah Hak milik HS(D) 28649 lot 4024 dan HS(D) 28652 Lot 4027 38.46 Ha
    5. Semenyih Quarry Sdn Bhd Tanah Hak milik HS(D) 42829 PT 9317 dan HS(D) 42828 PT 9316 32.44 Ha
    6. Sunway Quarry Industries Sdn Bhd Tanah hak milik GRN 92621 Lot 7144 108 Ha
    7. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Tanah Hakmilim PN 52157 Lot 7705 55.16 Ha

    Dalam menangani masalah dan gangguan kepada penduduk, syarat-syarat serta garis panduan yang ditetapkan kepada pengusaha kuari adalah dipastikan pematuhan terhadapnya selaras bidang kuasa serta peruntukan undang-undang agensi-agensi berkaitan.

    Dalam hal berkaitan gangguan letupan, bunyi dan habuk, pihak Jabatan Mineral Geosains (JMG) melalui Skim Kuari yang diluluskan telah menetapkan garis panduan aktiviti letupan termasuk keperluan merekod setiap kerja letupan yang dijalankan bagi pemeriksaan oleh pegawai JMG berkenaan. Pihak JMG juga memastikan bahawa Pengurus Kuari mengambil langkah-langkah kawalan bagi memastikan operasi tidak menjejaskan alam sekitar. Hal ini turut dipantau oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    Skim Kuari oleh JMG menetapkan bahawa kerja-kerja peletupan boleh dijalankan setiap hari kecuali hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum di antara pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.

    Sebarang ketidakpatuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan boleh mengakibatkan kelulusan tertentu terbatal. ini termasuklah pembatalan Permit Pengeluaran Bahan-Batuan (4C) yang dikeluarkan oleh PDT Hulu Langat.

    Pemeriksaan oleh PDT Hulu Langat mendapati bahawa semua kuari di dalam kawasan DUN Semenyih terutamanya, patuh kepada syarat-syarat yang dikenakan khususnya seperti yang tertakluk di dalam Skim Kuari masing-masing.

  2. Apakah agensi-agensi yang berkaitan kepada operasi kuari dan bagaimana SOP pemantauan dilakukan?

    Agensi-agensi berikut terlibat dalam operasi kuari adalah:

     

    1. Jabatan Mineral & Geosains (JMG);
    2. Jabatan Alam Sekitar (JAS);
    3.  Jabatan Kerja Raya;
    4. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS);
    5. Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD);
    6. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS);
    7. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Pemantauan oleh PDT Hulu Langat adalah tertakluk kepada bidang kuasa penguatkuasaan yang selaras dengan Pekeliling PTGS Bilangan 2/2015 serta dasar dan arahan semasa yang berkuat kuasa.

    Aktiviti kuari dipantau melalui pelaksanaan Rondaan Harian, Operasi Statik Pencegahan Pengeluaran Bahan Batuan, Operasi Statik Berjadual di kuari-kuari mengikut jadual dan arahan semasa dan Operasi Bersepadu Tindakan Penguatkuasaan Rampasan Jentera bagi pengeluaran bahan batuan tanpa permit.

    Tindakan-tindakan tersebut adalah bagi mencegah pengeluaran bahan batuan tanpa kebenaran, pematuhan masa pengeluaran dan semakan doket dan permit.

    Sebarang ketidakpatuhan dalam mana-mana syarat yang dikenakan oleh agensi-agensi berkaitan, selain dikenakan tindakan selaras peruntukan undang-undang serta bidang agensi masing-masing, juga memberi implikasi terhadap kelulusan pembaharuan Permit Pengeluaran Bahan Batuan (4C) oleh PDT Hulu Langat.

Lampiran

Tiada Lampiran.