Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

232) OPEN GOVERNMENT

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah strategi dan pelan tindakan di bawah visi SMARTSELANGOR bagi mewujudkan konsep Open Government untuk kelestarian hidup rakyat Selangor?

    Smart Governance merupakan salah satu domain di bawah visi Smart Selangor yang bertindak sebagai strategi dalam mewujudkan konsep Open Government. Prinsip utama yang diketengahkan untuk sebarang pelan tindakan atau inisiatifinisiatif di bawah domain ini adalah berlandaskan kepada ketelusan dan keterbukaan Kerajaan Negeri di samping kesediaan menggunapakai teknologi pintar bagi meningkatkan kelestarian kehidupan rakyat Selangor.

    Beberapa inisiatif yang menjurus kepada pembentukan Open Government sedang di rencanakan dan dilaksanakan sebagai projek perinitis di bawah domain Smart Governance dalam blueprint Smart Selangor. Di antaranya adalah membangunkan sebuah aplikasi Public-Citizen Partnership (PCP)  yang akan membolehkan rakyat menyuarakan pandangan secara terus kepada kerajaan akan cadangan polisi ataupun pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan. Satu lagi pelan tindakan ialah membangunkan sebuah executive dashboard yang terbuka (Open) dan akan memaparkan angka prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh pihak kerajaan, PBT dan wakil rakyat.

     

  2. Senaraikan pendekatan yang telah dibuat untuk merealisasikan Open Government di Selangor

    Aplikasi-aplikasi yang bakal dibangunkan di bawah Smart Governance akan diuji bersama PBT, agensi dan rakyat dalam beberapa kawasan percubaan dahulu. Sekiranya berjaya, maka ianya akan digunakan dengan lebih meluas di kawasankawasan lain di negeri Selangor.

    Bagi merealisasikan konsep Open Government, beberapa inisiatif lagi telah dikenalpasti di bawah domain Smart Governance ini yang akan mengintegrasikan teknologi-teknologi pintar ke atas operasi sektor awam bagi memperbaiki perkhidmatan awam dan menggalakkan penglibatan dan kolaborasi daripada rakyat, agensi-agensi Kerajaan Negeri dan pihak industri. Selain dari aplikasi PCP dan pembangunan state dashboard yang disebut di atas,  inisiatif utama yang telah dikenalpasti dan sedang dibangunkan ialah Smart Application Development Platform (SADP).

     

    Smart Application Development Platform (SADP) merupakan asas kepada platform Open Data untuk mempermudahkan proses perkongsian maklumat dengan lebih pantas, terbuka dan menyeluruh antara agensi Kerajaan Negeri dan pengguna platform yang terdiri daripada rakyat dan pihak industri. Ia akan menyediakan infrastruktur digital di mana data-data dari agensi-agensi Kerajaan Negeri  dapat dikumpulkan dan dianalisa untuk diseragamkan. Seterusnya, platform SADP ini boleh digunakan oleh rakyat dan industri-industri untuk membangunkan dan menghasilkan aplikasi untuk kegunaan mereka sendiri atau orang awam.

    Selari dengan pembangunan SADP ini, pihak SSDU juga sedang giat bekerjasama dengan pihak Bahagian Teknnologi Maklumat (BTM), UPEN, Unit Pengurusan Bencana, PBT, dan agensi kerajaan negeri yang utama untuk berkongsi maklumat secara berperingkat dan mengintegrasikan sistem-sistem utama untuk meningkatkan perkhidmatan Kerajaan Negeri. Antara sistem yang akan diintegrasikan melalui SADP ini ialah sistem pengurusan aduan, aplikasi untuk jadual Bas Smart Selangor, sistem pengurusan sisa pepejal, sistem maklumat pengurusan kualiti udara, dan sistem pengurusan bencana.

Lampiran

Tiada Lampiran.