Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

89) NYATAKAN KEBERKESANAN/IMPAK PROGRAM JOM SHOPPING

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah mekanisme yang digunakan oleh Kerajaan bagi memastikan tiada penerima yang sama setiap tahun?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih. Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Program ini melibatkan peruntukan berjumlah RM8.4 juta dan sasaran tahunan seramai 84,000 orang penerima manfaat.

     

    Bagi memastikan Program Jom Shopping dilaksanakan dengan baik dan teratur, Kerajaan Negeri melalui Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah bekerjasama dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) untuk membangunkan Sistem Jom Shopping Perayaan sejak tahun 2013. Oleh yang demikian bermula pada tahun 2013 sehingga kini, sistem ini merupakan satu mekanisma yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan maklumat penerima manfaat disimpan dengan baik, lengkap dan tersusun di dalam satu pangkalan data.

     

    Maklumat-maklumat penerima manfaat yang telah dikenalpasti layak dan memenuhi syarat-syarat kelayakan ini akan didaftarkan ke dalam Sistem Jom Shopping oleh petugas Pusat Khidmat DUN masing-masing. Maklumat- maklumat ini merangkumi nama, nombor kad pengenalan, umur, alamat,

     

    jantina, kaum, status perkahwinan, nombor telefon, jumlah pendapatan seisi rumah, maklumat pasangan dan nombor kupon.

     

    Dengan adanya sistem ini, pihak petugas Pusat Khidmat DUN dapat mengenalpasti penerima-penerima manfaat baharu yang tidak pernah mendapat bantuan melalui program ini serta memastikan sendiri tiada penerima manfaat yang sama atau berulang pada setiap tahun berdasarkan maklumat- maklumat sedia ada yang telah didaftarkan di dalam sistem. Ini kerana sistem ini akan memaparkan data penerima-penerima yang pernah menerima bantuan Jom Shopping sejak tahun 2012 sehingga kini sekiranya petugas Pusat Khidmat DUN melakukan carian nama atau nombor kad pengenalan mereka.

     

  2. Jika ada, apakah langkah-langkah akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri berkenaan isu seperti di atas?

    Sama seperti di SUB (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.