Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
182) Nyamuk Wolbachia
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan secara terperinci hasil kajian penggunaan nyamuk Wolbachia untuk mencegah isu denggi di Selangor.
Sebanyak 17 lokaliti (Petaling – 15 lokaliti & Gombak – 2 lokaliti) telah terlibat penggunaan nyamuk Wolbachia untuk mencegah isu denggi di Selangor bermula tahun 2017 sehingga September 2020. Hasilnya menunjukkan kesemua lokaliti adalah sesuai untuk mencapai sasaran frekuensi nyamuk berwolbachia melebihi 80%. Apabila lokaliti telah mencapai sasaran frekuensi nyamuk berwolbachia melebihi 80% maka boleh memberi kesan kepada penurunan kes denggi di lokaliti terbabit. Impak pengurangan insiden denggi di lokaliti-lokaliti ini untuk jangka masa panjang masih dalam kajian.
-
Sila nyatakan rancangan untuk memperluaskan projek ini, jika ada.
Rancangan memperluaskan projek Wolbachia di Selangor ialah dengan memperkasakan prasarana terutama di makmal sehingga ke peringkat penghasilan telur sendiri. Sehingga kini, telur Wolbachia diperolehi daripada IMR dan ditetaskan sehingga dewasa serta dilepaskan di lokaliti yang dirancang. Bermula 12 Oktober 2020 akan dilakukan pelepasan Wolbachia di dua (2) lokaliti lagi di daerah Petaling untuk menjadikan jumlah lokaliti berWolbachia sehingga tahun 2020 ialah 19 lokaliti. Pemantauan nyamuk berwolbachia akan dilakukan di semua lokaliti pada setiap enam bulan. Lokaliti yang didapati frekuensi nyamuk berWolbachia kurang 60% maka akan dilakukan pelepasan nyamuk dewasa berWolbachia semula sehingga mencapai frekuensi nyamuk berWolbachia melebihi 80% di lokaliti berkenaan. Sehubungan dengan itu, kerjasama semua agensi terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah bersama menganjurkan aktiviti cari dan musnah (search & destroy) pembiakan Aedes di luar rumah dan tidak melakukan aktiviti semburan kabus di lokaliti Wolbachia dan “Buffer Zone”nya supaya Wolbachia terus berkekalan dan berupaya menjadi pencegahan kes denggi secara teknologi hijau tanpa penggunaan racun serangga.