Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
195) NGO ALAM SEKITAR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif yang diambil untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan masyarakat mengenai isu alam sekitar ini?
Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Inisiatif yang diambil untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan masyarakat mengenai isu alam sekitar, adalah seperti berikut:
- Kempen/Hebahan Kesedaran Awam
Kempen/hebahan di platform digital dan media sosial seperti video, gambar dan maklumat berbentuk infografik bagi kesedaran alam sekitar dimuat naik dalam Portal Rasmi, Facebook dan Instagram Rasmi Kerajaan Negeri Selangor, Alam Sekitar Selangor, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Pejabat Daerah/Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri.
- Program Alam Sekitar
Pelbagai program alam sekitar telah diadakan sepanjang tahun 2024 sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Jabatan/Agensi dan PBT. Antara program yang baru sahaja diadakan adalah Karnival Alam Sekitar Negeri Selangor 2024 pada 13 Oktober 2024 di mana pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran alam sekitar turut dianjurkan.
- Penglibatan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan Sekolah
Pelbagai program alam sekitar telah dilaksanakan di sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi Negeri Selangor dengan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk PBT dan NGO. Pelajar IPT dan sekolah dijemput untuk melibatkan diri dalam setiap aktiviti penjagaan alam sekitar.
- Penganjuran Bengkel dan Latihan
Kerajaan Negeri, Jabatan/Agensi Kerajaan dan PBT sentiasa menganjurkan bengkel dan latihan berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti pengurusan sisa yang mampan, mempromosikan produk-produk mesra alam dan lain-lain yang berkaitan.
-
Apakah bentuk-bentuk kerjasama yang telah dijalankan di antara Kerajaan Negeri
Selangor dengan NGO dan masyarakat di dalam isu alam sekitar?Antara kerjasama yang telah dilaksanakan di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan NGO dan masyarakat di dalam isu alam sekitar antaranya seperti berikut:
- Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Umar bagi Projek Tanaman Sayuran Hidroponik;
- Kelab Rakan Muda Hulu Bernam Utara bagi Projek Sistem SPAH Untuk Kebun Komuniti;
- Persatuan Alam Eko Fren bagi Projek Pemasangan Sistem Penuaian Air Domestik;
- Persatuan Kebajikan Bayt Al Rahmah bagi Projek SPAH Manfaat Kepada Kitchen Garden Rumah Perlindungan Dan Bimbingan Wanita Bayt Al Rahmah;
- Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sungai Buloh bagi Projek Kebun Komuniti Insan Istimewa Menggunakan Kaedah Hidroponik;
- Persatuan Belia Masjid Selangor bagi Program Membangunkan Kebun Komuniti Organik Untuk Kelestarian Institusi Maahad Tahfiz;
- Persatuan Anak Bangsa Gombak bagi Projek Kebun Organik Untuk Pembelajaran Alam Sekitar Dan Sumber Makanan; dan
- Pertubuhan Asnaf, Usahawan, Wanita Dan Ibu Tunggal Selangor (PANTAS) bagi Projek Kebun Komuniti Dan Pusat Pendidikan Kitar Semula Komuniti.