Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

80) NELAYAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak projek pembangunan Tukun Tiruan dan Unjam Hibrid yang telah dilaksanakan?

    Tukun Tiruan dan Unjam Hibrid SIRIM

    • Jabatan Perikanan Malaysia menjalankan inisiatif tukun tiruan yang merupakan struktur binaan manusia diletakkan di dasar laut bertujuan untuk menambah kepadatan sumber marin. Kawasan tukun tiruan menjadi kawasan perlindungan dan pembiakan pelbagai spesies ikan.
    • Bermula tahun 2010, Jabatan Perikanan mula melabuhkan tukun tiruan konservasi dasar lembut penghalang pukat tunda yang mempunyai fungsi tambahan dalam menghalang dan mengawal aktiviti tangkapan pukat tunda di pesisiran pantai.
    • Pada tahun 2022, Jabatan Perikanan melalui peruntukan Kerajaan Negeri Selangor telah bekerjasama dengan SIRIM Berhad untuk melaksanakan pembinaan tukun tiruan hibrid. Sebanyak 8 unit tukun tiruan hibrid telah dilabuhkan pada November 2022.

    • Sebanyak 234 unit tukun tiruan Jabatan Perikanan Malaysia telah dilabuhkan di perairan 4 daerah Negeri Selangor. Manakala sebanyak 8 unit tukun tiruan hibrid telah dilabuhkan di Daerah Sabak Bernam.
    • Keseluruhan 242 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di Negeri Selangor.
  2. Apakah faktor utama yang mengakibatkan, pengeluaran benih kerang Sabak Bernam semakin merosot dari 555,048 ditahun (2019) sehingga menjadi 0 ditahun (2023)?

    Antara faktor utama yang menyumbang kepada pengurangan pengeluaran benih kerang yang direkodkan adalah:

    1. Kejatuhan benih kerang di tapak semulajadi tidak dilaporkan oleh nelayan setempat bagi tujuan persampelan untuk pembukaan kawasan.
    2. Berlaku kecurian benih kerang oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi tujuan penyeludupan.
    3. Keadaan dasar laut dan kualiti air yang merosot menjadikannya kurang sesuai bagi pembiakan kerang secara semulajadi. Laporan kajian awal oleh pihak SIRIM Berhad juga menunjukkan bahawa kualiti air di sekitar lot kerang adalah dalam keadaan tercemar.
    4. Lokasi kejatuhan benih kerang di perairan yang cetek dan berlumpur menyukarkan aktiviti penguatkuasaan dan tangkapan dilaksanakan dengan berkesan.
  3. Nyatakan perbezaan bot-bot yang dimiliki para nelayan.

    Terdapat 3 Kategori vesel penangkapan ikan iaitu,

    i) Vesel tradisional

    ii) vesel komersial

    iii) vesel bantuan aktiviti menangkap ikan

    1. Bagi vesel tradisional, vesel ini adalah beroperasi di Zon A dan menggunakan peralatan menangkap ikan tradisional. vesel di Zon A, terdiri daripada vesel seperti berikut:
    • Sampan yang kebiasaannya menggunakan enjin sangkut dan menggunakan peralatan tradisional pukat hanyut, bubu, kail mengail dan lain-lain. sampan ini kebiasaannya akan beroperasi kurang dari 10 b.n dari pantai.
    • Vesel enjin dalam zon A yang menggunakan peralatan tangkapan tradisional tetapi lebih berkemampuan untuk pergi jauh ke laut.

      2. Bagi vesel komersial, vesel ini menggunakan peralatan menangkap ikan komersial dan beroperasi 5 b.n ke atas. vesel ini mempunyai muatan yang lebih besar dan lebih efisyen serta mempunyai kemampuan untuk menangkap dengan jarak yang lebih jauh. vesel komersial ini terdiri daripada vesel Zon B, Zon C serta Zon C2 (laut dalam). Vesel-vesel zon ini kebiasaannya menggunakan peralatan menangkap ikan seperti Pukat Tunda dan Pukat jerut.

      3. Bagi vesel bantuan aktiviti menangkap ikan, berperanan membantu vesel utama atau sektor utama yang lain. vesel ini tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai vesel menangkap ikan. Antara contoh vesel bantuan adalah Vesel menunggu Peranti mengumpul Ikan (MPPI) dan vesel sistem kultur laut (SKL)

Lampiran

Tiada Lampiran.