Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

240) NELAYAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah khidmat nasihat dan sokongan yang Kerajaan Negeri berikan kepada nelayan pantai dan nelayan sungai yang kebanyakan mereka adalah B40?

    Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Selangor telah memberikan sokongan padu dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan tukun tiruan di tapak-tapak baru atau sedia ada di sekitar perairan Selangor bagi memastikan sumber perikanan dilindungi dan seterusnya meningkatkan populasi ikan. Seiring dengan itu, pembangunan unjam juga dilaksanakan bagi tujuan pengumpulan ikan untuk memudahkan operasi penangkapan ikan oleh nelayan pantai. Pembangunan tukun tiruan dan unjam ini secara tidak langsung juga membantu mengurangkan kos operasi nelayan, meningkatkan hasil tangkapan laut dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi nelayan dan komuniti setempat.

    Pada tahun 2022 dan 2023, Projek Pembangunan Tukun Tiruan telah dilaksanakan dan dilabuhkan di perairan Sabak Bernam. Tukun tiruan yang dibina daripada bahan binaan konkrit ini direkabentuk bagi menghalang aktiviti pencerobohan vesel pukat tunda di perairan Zon A yang di khaskan kepada nelayan tradisional. Selain daripada itu, pembangunan unjam hibrid oleh pihak SIRIM Berhad dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor sebagai satu langkah inovasi bagi mewujudkan suatu peranti pengumpul ikan yang lebih efektif dan memangkin peningkatan pendaratan ikan telahpun dilabuh di kawasan perairan Sabak Bernam pada tahun 2022. Unjam hibrid hasil inovasi pihak SIRIM Berhad yang hanya menggunakan bahan – bahan binaan asas Galvanized Iron (Gl) dan seramik ini juga diyakini dapat menggalakkan pertumbuhan dan pelekatan organisma akuatik.

    Bagi melestarikan sumber perikanan darat di Negeri Selangor, beberapa langkah proaktif seperti pelaksanaan Program Pelepasan Benih Ikan Asli di sungai-sungai dan tasik, telah diambil oleh Jabatan untuk meningkatkan populasi ikan asli di habitat semulajadi. Antara spesies – spesies ikan yang dilepaskan adalah seperti udang galah, lampam sungai, terbul, patin kuning dan sebarau. Selain daripada itu, aktiviti pengeluaran dan pemburuan ikan asing daripada sungai-sungai dan tasik-tasik juga giat dijalankan oleh Jabatan terutamanya kepada spesies yang bersifat invasif seperti baung ekor merah (BEM). Aktiviti – aktiviti tersebut secara tidak langsung membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan – nelayan sungai. Di samping itu, setiap nelayan darat yang memenuhi syarat – syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia serta layak akan menerima elaun sara hidup nelayan darat berjumlah RM250.00 setiap bulan.

  2. Bagaimana proses permohonan lesen untuk nelayan pantai dan nelayan sungai?

    Jabatan Perikanan Malaysia tidak mengeluarkan lesen nelayan, disebaliknya, Jabatan ini hanya mengeluarkan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan serta mengeluarkan kad nelayan kepada nelayan tulen. Kelulusan bagi permohonan lesen vesel dan kad nelayan akan diproses oleh Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan, Jabatan Perikanan Malaysia. Nelayan tulen yang ingin memohon lesen vesel dan peralatan menangkap ikan perlu membuat permohonan melalui Pejabat Perikanan Daerah yang terdekat. Seterusnya, permohonan – permohonan tersebut akan disemak oleh Pengarah Perikanan Negeri sebelum dihantar ke ibu pejabat bagi permohonan kelulusan permohonan. Namun, Jabatan Perikanan Malaysia telah membekukan semua pengeluaran lesen/permit vesel menangkap ikan bagi Zon A, B dan C sejak tahun 1982 kecuali vesel menangkap ikan yang beroperasi di laut dalam iaitu Zon C2 di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Zon C3.

    Pembekuan ini dibuat dengan mengambil kira status sumber perikanan yang terdapat di perairan negara dan tahap tampungan bilangan vesel penangkapan ikan sedia ada yang beroperasi di dalam perairan Malaysia telah mencapai tahap yang optimum. Selain status sumber, kawalan ini adalah berdasarkan komitmen negara terhadap peraturan antarabangsa di bawah FAO bagi menjamin sumber perikanan agar dapat diteroka dengan mapan.

    Walaupun pengeluaran lesen/permit vesel menangkap ikan bagi Zon A, B, C telah dibekukan sejak 1982, Jabatan Perikanan Malaysia akan mempertimbangkan kelulusan lesen sampan khas, dimana kelulusan tersebut adalah tertakluk kepada proses pemutihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dan juga tertakluk kepada juga kepada keupayaan daya tampungan (carrying capacity) sesebuah kawasan berbanding dengan sumber perikanan sedia ada. Pada Tahun 2023, sebanyak 55 lesen sampan khas baharu telah diluluskan bagi Negeri Selangor dan berikut adalah ringkasan maklumat berkenaan pengeluaran Lesen Sampan Khas di Negeri Selangor mengikut daerah dan tahun pengeluaran lesen sampan khas:

    Secara keseluruhannya sehingga Disember 2022 terdapat 3009 buah vesel yang aktif di Negeri Selangor dan berikut adalah ringkasan maklumat berkenaan bilangan vesel yang aktif mengikut daerah dan zon perikanan tahun 2022:

    Berikut adalah ringkasan maklumat berkenaan bilangan nelayan di Negeri Selangor mengikut daerah dan zon perikanan tahun 2022:

    Proses permohonan lesen bagi nelayan darat di negeri Selangor tidak dilaksanakan disebabkan Jabatan Perikanan Negeri Selangor tiada punca kuasa bagi melesenkan nelayan darat buat masa ini. Hal ini demikian, kaedah-kaedah perikanan darat (Perairan Sungai) masih dalam semakan Kamar Undang-Undang dan belum diwartakan lagi. Namun demikian, Jabatan Perikanan Negeri Selangor tetap memantau aktiviti nelayan- nelayan darat di negeri Selangor dan berikut adalah ringkasan maklumat berkenaan bilangan vesel (sungai) yang aktif di Negeri Selangor mengikut daerah:

     

    DAERAH BILANGAN VESEL
    SABAK BERNAM 49
    KUALA SELANGOR 22
    HULU SELANGOR 24
    JUMLAH 96
  3. Adakah permohonan lesen untuk nelayan di Selangor kerajaan membuat pantauan?

    Sebarang permohonan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan baharu adalah tertakluk kepada Dasar dan Prosedur Pelesenan yang sedang berkuatkuasa dan dipantau oleh Jabatan Perikanan Malaysia di peringkat ibu pejabat, negeri dan daerah. Setiap lesen yang telah dikeluarkan akan diperbaharui setiap tahun tertakluk kepada pemeriksaan vesel tahunan dan pematuhan kepada Akta Perikanan 1985 serta Dasar dan Prosedur Pelesenan yang berkuasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.