Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
34) NAIK TARAF MAJLIS DAERAH
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan kriteria-kriteria yang ditetapkan untuk Majlis Daerah dinaik taraf ke status Majlis Perbandaran.
Tujuh (7) kriteria asas yang perlu dipatuhi sepertimana yang ditetapkan oleh KPKT di dalam Pekeliling Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bilangan 4 Tahun 2008, bertarikh 1 Julai 2008 adalah seperti berikut:
- Merupakan bandar utama atau pusat pentadbiran sesebuah negeri ataupun daerah.
- Mempunyai penduduk tidak kurang daripada 150,000 orang.
- Mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang mapan (sustainable) dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM20 juta dan berupaya menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pada tahap yang wajar dan selesa sesuai dengan tahap kualiti hidup sebuah perbandaran.
- Mempunyai kegiatan perindustrian, perniagaan, pelancongan dan perumahan utama sedia ada ataupun dalam perancangan yang dikenal pasti berpotensi memberi sumbangan kepada pertambahan pegangan yang boleh dikenakan cukai serta penjanaan peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
- Keupayaan menyediakan ruang dan peluang kepada para peniaga di samping menggalakkan pertumbuhan aktiviti pelaburan, perniagaan dan komersial.
- Mempunyai kemudahan infrastruktur yang memuaskan serta dihubungkan dengan sistem lebuh raya yang cekap. Mempunyai konsep perancangan bandar yang mapan (sustainable) yang berupaya menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa untuk didiami. Indikator bandar mapan seperti yang ditekankan dalam Sistem Malaysia Urban Indicator Network (MURNInet) juga akan diambil kira.
- Mempunyai program yang boleh menggalakkan penduduk setempat untuk membangunkan komuniti masing-masing melalui tadbir urus bandar yang cekap seperti pelaksanaan Program Local Agenda 21 (LA 21) ataupun penglibatan jawatankuasa penduduk.
-
Adakah keempat-empat Majlis Daerah memenuhi kriteria untuk dinaik taraf ke status Majlis Perbandaran?
Sebanyak tiga daripada empat Majlis Daerah di Negeri Selangor iaitu MDKL, MDHS dan MDKS telah memenuhi kriteria asas yang telah ditetapkan di dalam Pekeliling Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bilangan 4 Tahun 2008 untuk dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran.
-
Adakah Kerajaan Negeri pernah membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf MDHS ke status Majlis Perbandaran? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya.
Kerajaan Negeri tidak membuat permohonan untuk menaiktaraf MDHS kepada Majlis Perbandaran kerana walaupun MDHS telah memenuhi kriteria asas yang ditetapkan untuk dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran, faktor-faktor lain juga perlu diambil kira oleh Kerajaan Negeri dalam mempertimbangkan permohonan menaik taraf Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran. Antara faktor-faktor tersebut adalah:
- Penarafan Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran turut akan menyebabkan kenaikan nilaian tanah yang mana ini akan memberi kesan kepada rakyat yang akan terpaksa membayar cukai seperti cukai taksiran yang lebih tinggi;
- Penaiktarafan kepada perbandaran juga perlulah selari dengan mutu perkhidmatan yang diberikan selain pembangunan yang dilaksanakan oleh MDHS. Justeru, ini akan memerlukan persediaan MDHS untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyediakan peruntukan pembangunan yang lebih;
- Akhir sekali, penaiktarafan Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran juga akan menyebabkan MDHS terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi yang disumbangkan antaranya kenaikan gaji pegawai dan kakitangan selain keperluan untuk menyediakan prasarana atau ruang kerja yang lebih luas.