Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
103) NAHAS JALAN RAYA DI MUSIM PERAYAAN
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Setiap kali musim perayaan, banyak kejadian nahas jalan raya yang berlaku walaupun terdapat banyak kempen dan OPS yang dijalankan oleh pihak yang terlibat. Apakah kempen keselamatan atau langkah penguatkuasaan yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini?
Setiap tahun semasa musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina,
Kerajaan Negeri akan melaksanakan kempen keselamatan jalan raya bagi memberi
kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung pentingnya mengutamakan aspek
keselamatan jalan raya semasa memandu di musim perayaan. Antara bentuk kempen
yang dilaksanakan adalah seperti ceramah keselamatan jalan raya, pameran, kempen
khidmat nasihat serta mengedarkan risalah-risalah keselamatan jalan raya di plazaplaza tol sekitar negeri Selangor. Kempen ini dilaksanakan di peringkat negeri dan juga
peringkat daerah.
Bagi aspek penguatkuasaan, pihak Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan
melaksanakan Ops Sikap setiap kali musim perayaan. Ops Sikap ini diadakan selama
empat belas (14) hari iaitu tujuh (7) hari sebelum dan tujuh (7) hari selepas sesuatu
perayaan tersebut. Tujuan Ops Sikap adalah bagi mewujudkan persekitaran selamat
kepada pengguna jalan raya semasa musim perayaan. -
Sejauh manakah peranan Kerajaan Negeri bagi memastikan infrastruktur jalan raya yang tidak baik supaya dapat diperbaiki segera dan di selenggara dengan baik sepanjang masa terutama pada waktu puncak dan waktu perayaan?
Bagi memastikan infrastruktur jalan raya berada dalam keadaan baik dan diselenggara
dengan sempurna, beberapa langkah telah diambil. Namun, ia adalah tertakluk di bawah
syarat-syarat berikut:
• Penyelenggaraan Jalan Negeri di Negeri Selangor adalah di bawah
bidang kuasa JKR Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
• Kerajaan Negeri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap peruntukan
bagi kerja-kerja membaik pilih dan penyelenggaraan jalan ini.
Antara langkah tindakan yang diambil bagi memastikan infrastruktur jalan
raya berkeadaan baik:
• Pada musim perayaan, JKR telah menubuhkan pasukan pemantau
bagi memantau keadaan infrastruktur jalan raya.
• Kerajaan Negeri telah melantik syarikat konsesi bagi menyelenggara
dan membaik pulih jalan.
• Pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan setiap
aduan kerosakan diambil tindakan segera.