Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

382) NAFKAH TERTUNGGAK

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana kerajaan membantu membela isu nafkah tertunggak walaupun setelah perintah makamah dikeluarkan?

    Kerajaan telah menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada tahun 2009 di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan pegawai-pegawai BSK telah ditempatkan di negeri Selangor untuk membantu rakyat negeri Selangor yang telah mendapat perintah nafkah daripada mahkamah syariah untuk menguatkuasakan perintah nafkah tersebut.

    BSK diwujudkan bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah dipatuhi dan dilaksanakan oleh bekas suami/bapa kepada bekas isteri/anak-anak. Selain itu, BSK juga memberikan khidmat nasihat berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah serta menyediakan perkhidmatan penyediaan dokumentasi yang diperlukan dalam memulakan tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah di mahkamah syariah. BSK juga memberikan khidmat rundingcara atau mediasi untuk pihak-pihak berbincang cara terbaik dalam melaksanakan perintah nafkah tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh di mahkamah syariah.

  2. Apakah sokongan kewangan atau alternatif yang disediakan untuk membantu dalam tempoh tersebut?

    Kerajaan ada menyediakan bantuan kewangan dan sokongan alternatif yang lain dalam mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu tunggal yang menyara anak-anak. Bantuan kewangan ini diuruskan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melalui Akaun Amanah BSK, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor. Jenis-jenis bantuan yang disediakan adalah sebagaimana berikut:

    1. Pendahuluan Dana

    Pendahuluan dana yang disediakan oleh BSK ini adalah inisiatif untuk membantu individu yang menghadapi masalah nafkah tertunggak setelah perintah nafkah dikeluarkan oleh mahkamah syariah. Dana ini bertujuan memberikan sokongan kewangan sementara kepada penerima nafkah yang terjejas, memastikan mereka dapat memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pendidikan. Pendahuluan dana ini disediakan oleh BSK mengikut jumlah yang telah diperintahkan oleh mahkamah dalam kes nafkah untuk tempoh enam (6) bulan setelah pemfailan kes tunggakan nafkah dilakukan. Dana yang didahulukan ini juga adalah merupakan pinjaman yang perlu dibayar balik setelah perintah nafkah tertunggak dikeluarkan atau setelah bayaran nafkah tertunggak diterima daripada bapa/bekas suami.

    2. Bantuan Dana

    Bantuan dana ini diberikan mengikut jumlah yang telah diperintahkan oleh mahkamah syariah dalam kes nafkah untuk tempoh enam (6) bulan bagi golongan asnaf sahaja dan merupakan bantuan yang tidak perlu dibayar balik oleh penerima.

    3. BSK Transit

    Kemudahan BSK Transit yang disediakan oleh BSK ini merupakan inisiatif yang bertujuan untuk menyediakan ruang sementara bagi individu yang hadir ke prosiding di mahkamah syariah. Bagi pelanggan BSK pula, bantuan tambang dan elaun makan untuk menghadiri perbicaraan juga disediakan.

    Sumber bagi dana-dana yang telah diterima oleh BSK pula adalah sebagaimana berikut:

    1. Dana daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JKSM (Kerajaan Persekutuan) berjumlah RM300,000.00 yang merupakan Revolving Fund;
    2. Dana daripada Kerajaan Negeri Selangor dari tahun 2019 hingga 2022 berjumlah RM350,000.00; dan
    3. Dana daripada Lembaga Zakat Selangor dari tahun 2010 hingga 2022 berjumlah RM200,000.00 yang juga merupakan Revolving Fund.

    Selain dari sudut sokongan kewangan yang disediakan oleh BSK JAKESS, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga menyediakan khidmat bantuan guaman bagi mewakili pihak pemohon yang berkelayakan termasuklah bagi tujuan permohonan nafkah tertunggak yang boleh difailkan di mahkamah syariah berbidang kuasa di mana pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat kelayakan umum sebagaimana berikut:

    1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Negeri Selangor;
    2. Jumlah pendapatan kasar tidak melebihi RM3,000.00 sebulan;
    3. Mengisi lengkap borang permohonan yang berkaitan; dan
    4. Lulus temu duga penilaian kewajaran kes.

    Selain itu, MAIS turut menyediakan khidmat bantuan guaman syarie bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah anak yang boleh dibuat antaranya melalui saman penghutang penghakiman dan pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagaimana berikut:

    1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Negeri Selangor;
    2. Permohonan melalui Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga, JAKESS;
    3. Mendapat sokongan dari Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga, JAKESS,
    4. Jumlah pendapatan kasar tidak melebihi RM4,000.00 sebulan;
    5. Mengisi lengkap borang permohonan yang berkaitan; dan
    6. Lulus temu duga penilaian kewajaran kes.

  3. Berapakah pemohon menggunakan bantuan guaman kerajaan dalam isu ini dari Januari 2020 hingga Julai 2024?

    Dana Bantuan Guaman Negeri Selangor (DBGS) adalah dikendalikan oleh Jawatankuasa Peguam Selangor (Selangor Bar Committee(SBC)) bermula pada tahun 2022 untuk membantu golongan kurang berkemampuan membuat tuntutan di mahkamah bagi isu kekeluargaan sivil dan pekerjaan. Program ini kemudiannya diperluaskan kepada kes syariah bermula pada tahun 2024. Mengikut rekod bagi tempoh DBGS diperluaskan kepada kes syariah dari Januari 2024 hingga Oktober 2024, terdapat satu permohonan kes syariah tetapi bukan berkenaan tuntutan nafkah tertunggak.

Lampiran

Tiada Lampiran.