Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

8) MUZIUM PERMAINAN TRADISIONAL RAKYAT DI BUKIT MALAWATI

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status muzium permainan tradisional rakyat di Bukit Malawati kerana sehingga kini tidak beroperasi?

    Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Bukit Malawati, Kuala Selangor memang sehingga kini masih belum dibuka kepada orang ramai. Pada tahun 2018 Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) menumpukan kepada kerja-kerja membaikpulih bangunan tersebut. Masalah utama ialah kebocoran yang menyeluruh pada bahagian bumbung bangunan menjadikan kerja-kerja pembaikan memakan masa yang lama kerana keseluruhan bumbung terpaksa ditanggalkan, dibaiki kerangkanya, dicuci jubinnya dan seterusnya dipasang semula. Pembaikan juga dibuat ke atas keseluruhan bangunan termasuk dinding, lantai dan kawasan sekitar. Kerja-kerja ini telah dapat disiapkan pada tahun 2018 yang lalu. Kerja-kerja ini telah menyebabkan perancangan untuk pengisian pameran ditangguhkan seketika bagi memastikan keadaan bangunan muzium berada dalam keadaan selamat untuk penempatan koleksi muzium dan pengunjung.

    PADAT pada masa ini sedang melaksanakan kerja-kerja pembangunan pameran dan dijangkakan siap pada hujung tahun ini. Bagi tujuan tarikan pengunjung  ke muzium ini, beberapa aktiviti sampingan berkaitan dengan permainan tradisional rakyat akan turut diperkenalkan dan dikembangkan kepada pengunjung seperti permainan batu seremban, congkak, sepak raga, batu seremban, teng-teng dan sebagainya. PADAT menjangkakan Muzium Permainan Tradisional Rakyat, Kuala Selangor ini akan dapat menjadi salah satu lagi daya tarikan pengunjung khususnya untuk kawasan Kuala Selangor

  2. Apakah usaha Kerajaan dalam menggalakkan tarikan pelancong melalui aktiviti yang dijalankan oleh muzium-muzium di Negeri Selangor?

    Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah dibekalkan dengan “Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor” yang dipertanggungjawabkan untuk memulihara semua warisan ketara dan tidak ketara khususnya untuk negeri Selangor. Tugas teras ini juga adalah berkait rapat dalam membantu menyediakan infrastruktur, melahirkan produk-produk dan destinasi untuk pelancongan di Negeri Selangor.

    Secara dasarnya PADAT mensasarkan program pelestarian serta pembangunan warisan dan pembangunan sahsiah jati diri, seterusnya menjadikannya sebagai salah satu gedung ilmu. Produk pelestarian warisan adalah merupakan wadah utama dalam membantu pembangunan dalam sektor pelancongan, serta mampu menjadi salah satu penyumbang dalam menyediakan gunatenaga dan pendapatan Negeri Selangor. Berdasarkan statistik dari negara-negara maju ianya mampu menyediakan hampir satu pertiga guna tenaga rakyatnya.

    Bagi mencapai matlamat ini PADAT melaksanakan pembangunan bersepadu untuk 4 zon utama di seluruh Negeri Selangor:-

    Pusat Ilmu dan Pelancongan Kawasan Lembah Klang.

    Kawasan ini meliputi Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang. Ketiga-tiga daerah ini akan dilengkapi dengan gedung-gedung ilmu dengan pelaksanaan program menaiktaraf Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Muzium Bijih Timah dan Sejarah Klang di Bangunan Gedung Raja Abdullah dan yang sedia ada Galeri Sultan Abdul Aziz Shah, Klang.

    PADAT juga sedang giat untuk menubuhkan muzium-muzium baru iaitu Muzium Tesktil di Bangunan Anggerik (Bangunan bekas Perpustakaan Awam Negeri Selangor) Shah Alam, Muzium Postal/ Setem Negeri Selangor bersebelahan Pejabat Pos Besar Shah Alam dan Muzium Sukan di Stadium Malawati Shah Alam, Ketiga-tiga muzium baru ini dijangkakan akan dibuka kepada umum pada tahun 2021. Bagi pelaksanaan projek-projek ini pihak Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor telah pun meluluskan peruntukan kewangannya.

    Bagi membantu merealisasikan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai kota seni dan pembangunan sektor pelancongan, PADAT telah dan akan melaksanakan berbagai-bagai program dalam bentuk warisan ketara dan warisan tak ketara. Program utama dan berterusan yang dianjurkan ialah semarak seni atau senada. Berbagai persembahan diantaranya persembahan kebudayaan di Dataran Shah Alam pada setiap malam minggu yang akan bermula pada bulan April ini. Program Semarak Warisan sebulan sekali di perkarangan Muzium Sultan Alam Shah. Beberapa program berkala juga dianjurkan seperti pesta makanan tradisional, pertunjukan kebudayaan, busana, muzik tradisional, teater dan sebagainya di Dataran Shah Alam, di Muzium Sultan Alam Shah, di Laman Seni Shah Alam dan di Teater Shah Alam

    Program-program sepanjang masa yang dirancangkan ini dijangkakan akan dapat memenuhi pengisian masa lapang di kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya. Secara tidak langsung akan dapat menarik khususnya pelancong-pelancong yang menginap di sekitar kawasan ini.

    Pembangunan semula Kesultanan Awal Negeri Selangor dan Pelestarian Fauna Flora Daerah Kuala Selangor.

    Pusat pemerintahan awal Kesultanan Negeri Selangor ialah di Kuala Selangor yang dibuka seawal tahun 1700an. Ianya berpusat di Bukit Malawati dan Bukit Tanjung Keramat, Kuala Selangor. Pada masa ini PADAT sedang menaiktaraf dua buah muzium yang terdapat di Bukit Malawati iaitu Muzium Sejarah Kuala Selangor dan Muzium Permainan Tradisional Rakyat Selangor. Untuk menjadikannya Bukit Malawati sebagai tumpuan pelawat, kerja-kerja memulihara semula seluruh kawasan ini telah pun dilaksanakan. Komponennya meliputi bekas tapak istana, jajaran tangga seratus, perigi tujuh, kubu kota Malawati, panggung teater dan beberapa buah bangunan bersejarah di sekitarnya. Kubu pertahanan Bukit Tanjung Keramat juga telah dibangunkan dan telah dibuka kepada orang ramai.

    Satu lagi keunikan di Bukit Malawati ialah terdapatnya spesis monyet buntut merah yang masih menghuni kawasan ini. Pihak PADAT telah mempunyai sebuah bangunan dan sedang merangkakan pembangunannya untuk dijadikan sebagai muzium monyet ini. Monyet-monyet ini juga sinonim dengan adanya pokok warisan yang ada di persekitaran bukit ini yang juga dipulihara sebagai warisan.

    Berdasarkan statistik jumlah pelawat yang berkunjung dikawasan ini mencecah antara 50,000 hingga 100,000 orang sebulan.

    Kompleks kegemilangan sejarah Kesultanan Negeri Selangor di Kuala Langat

    Bagi melengkapi pakej pelancongan ke pantai peranginan Morib, Daerah Kuala Langat menawarkan keunikan tinggalan Kesultanan Negeri Selangor yang melambangkan keagungan empayar ini diawal 1900an.

    Peninggalan yang berupa keunikan senibina bangunan-bangunan sejarahnya menjadikan sebagai sumber ilmu dan nostalgia kehabatan zaman empayar pemerintan Kesultanan Negeri Selangor ketika itu. Salah satu komponen tinggalan sejarah yang telah dipulihara ialah Penjara Jugra yang telah dibuka kepada pelawat mulai tahun 2004 yang lalu.

    Pada masa ini program kerja yang dilaksanakan ialah menaiktaraf Istana Bandar di Kampong Bandar, Banting untuk dilestarikan sebagai mana penggunaannya sebagai istana diraja yang asal. Istana ini merupakan satu-satunya istana yang masuh utuh, ianya memberikan gambaran kegemilangan Kesultanan Negeri Selangor dengan kekayaan binaannya, gaya senibinanya dan dipenuhi dengan ragam hias hasil nukilan Almathum Sultan Ala’edin Sulaiman Shah. Walau bagaimanapun pengisian bangunan istana ini dijangkakan memakan masa disebabkan data-data yang kekurangan.

    Kawasan lain yang juga telah dikenalpasti ialah kawasan Bukit Jugra yang merupakan pusat pentadbiran pada zaman Kesultanan Negeri Selangor. Sebuah runtuhan istana Almarhum Sultan Abdul Samad iaitu Istana Jugra juga akan di baikpulih.

    Bagi menambah pembangunan bidang pelancongan di kawasan ini, usaha sedang dibuat untuk membawa pelancong-pelancong dari Pelabuhan Klang untuk mengadakan pekej persinggahan di Daerah Kuala Langat. Bagi melengkapkan pakej ini PADAT akan berkerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli cawangan Pulau Carey untuk mengatur lawatan bersepadu ke kampong ini di samping dapat memajukan produk tradisional dari kaum ini.

    Menerokai Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam, Selangor

    Pada masa ini PADAT telah menubuhkan Muzium Pertanian dan Perikanan di pekan Sabak Bernam. Kewujudan muzium ini telah dapat dijadikan bukan sahaja destinasi pelancong tetapi juga sebagai gedung ilmu kepada mereka yang ingin mendalami mengenai kedua-dua bidang di atas. Walau bagaimanapun gabungan kedua-dua muzium ini di bangunan yang sama, kandungan pamerannya masih banyak kekurangan. Justeru itu, langkah-langkah sedang dibuat untuk mengasingkan pameran ini di bangunan yang berasingan. Dicadangkan Muzium Pertanian Selangor dikekalkan di Daerah Sabak Bernam dan Muzium Perikanan Selangor di Daerah Sepang.

    Bagi mengembangkan lagi pemahaman mengenai pemerosesan pengeluaran padi, PADAT sedang mencari tapak yang sesuai untuk menubuhkan khusus muzium padi di Daerah Sabak Bernam.

    Bagi mengenali masyarakat Zaman Perunggu yang dianggarkan wujud sekitar 3,000 tahun yang lalu, Sabak Bernam juga mempunyai tapak sejarah yang telah dibangunkan bersama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Kawasan ini adalah menjadi tumpuan kepada penyelidik-penyelidik dari dalam dan luar Negara dan berpotensi dibangunkan sebagai tarikan pelancong.

    Selain itu, sebagai inisiatif dalam membangunkan bakat muda, Program Hadiah Sastera Selangor 2018 merupakan program anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Selangorkini bertujuan memberikan penghargaan dan menyemarakkan aktiviti penulisan dan sastera di Negeri Selangor. Program ini memberi peluang khasnya kepada penulis bakat baharu dan yang telah mapan untuk mengambil bahagian dalam penulisan karya-karya khususnya dalam bentuk puisi, cerpen dan rencana untuk diterbitkan di akhbar dan laman sesawang Selangorkini sepanjang tahun. Karya-karya yang diterbitkan ini dinilai oleh juri berpengalaman untuk diberikan hadiah bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Seterusnya, karya-karya terpilih ini akan diterbitkan menjadi sebuah antologi sastera dan penulisan Hadiah Sastera Selangor.

    Kesimpulannya penggabungan strategik di antara Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dengan agensi Tourism Selangor akan memberikan impak pembangunan bersepadu di antara kedua-dua bidang ini. PADAT dalam peranannya melestari dan membangunkan warisan, hasilnya akan dapat di salurkan sebagai wadah utama dalam membantu membangunkan sektor pelancongan.

  3. Senaraikan semua jenis muzium yang terdapat di Negeri Selangor.

    Senarai semua muzium yang terdapat di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    SENARAI MUZIUM-MUZIUM DI SELANGOR:-

    1. Muzium Sultan Alam Shah,

    Persiaran Bandaraya,

    40000 SHAH ALAM

    1. Muzim Sejarah Daerah Kuala Selangor,

    Puncak Bukit Malawati,

    45000 KUALA SELANGOR

    1. Muzium Permainan Tradisional Rakyat,

    Bukit Malawati,

    45000 KUALA SELANGOR

     

    1. Muzium Insitu Jugra,

    Kampung Permatang Pasir,

    42700 BANTING, KUALA LANGAT

    1. Muzium Pertanian dan Perikanan Daerah Sabak Bernam,

    Jalan Pasar,

    45200 SABAK BERNAM

     

    1. Gedung Raja Abdullah,

    41000 KLANG

    1. Istana Bandar,

    Jalan Istana Lama,

    Kampung Bandar,

    42700 BANTING, KUALA LANGAT

    1. Galeri Seni Shah Alam,

    Laman Budaya,

    Persiaran Tasik Barat,

    Seksyen 14,

    40000 SHAH ALAM

    1. Galeri Seni UiTM,

    Fakulti Senilukis Dan Senireka,

    Universiti Teknologi Mara,

    40450 SHAH ALAM

    1. Galeri Diraja Sultan Abd Aziz,

    Bangunan Sultan Suleiman,

    41000 KLANG

    1. Muzium Petaling Jaya,

    Jalan 10/7, Seksyen 10,

    Taman Jaya,

             46000 PETALING JAYA

    1. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),

    51209 KEPONG SELANGOR

    1. Muzium Warisan Melayu,

    Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,

    Jalan UPM, Putra Square,

             43400 SERDANG

    1. Trick Art Museum @ i-City,

    2-48, Jalan Plumbum 7/103,

    Seksyen 7,

             40000 SHAH ALAM

    1. Chocolate Museum,

    2, Jalan Teknologi 3/5,

    Kota Damansara,

             47810 PETALING JAYA

Lampiran

Tiada Lampiran.