Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

64) MUSIM PANAS MELANDA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah persediaan Kerajaan Negeri dalam usaha menangani masalah kemarau nanti?

    Pada 13 Februari 2024, Jabatan Meterologi Malaysia membuat siaran media bahawa fasa terakhir Monsun Timur Laut dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024. Dalam tempoh ini taburan hujan akan berkurangan dan cuaca lebih panas di kebanyakan tempat di Malaysia.

    14 Februari 2024, empat (4) buah empangan utama di Negeri Selangor berada pada paras 100% iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang. Sementara dua (2) empangan melebihi kapasiti 90% iaitu Empangan Sungai Langat dan Empangan Batu. Sementara Empangan Klang Gate pada paras 84%. Kesemua empangan ini mampu membekalkan air selama enam (6) bulan sekiranya tiada hujan. Status empangan ini boleh dilayari melalui laman sesawang www.iwrims.luas.gov.my.

    Kesediaan bekalan air mentah ini juga dibantu melalui 100 buah kolam takungan yang dapat dijadikan sumber air alternatif di Negeri Selangor. Kolam-kolam ini mampu membekalkan air tambahan selama 3 bulan lagi. Air kolam akan dialirkan samada secara graviti atau melalui pam ke sungai-sungai di mana kedudukan muka sauk terletak di hilirnya.

    Kesimpulannya, Negeri Selangor mempunyai sumber air yang mencukupi untuk membekalkan air kepada penduduk Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama tempoh berlaku fenomena El-Nino pada kali ini.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah mengambil beberapa langkah persediaan seperti berikut :

     

    • Menempat dan mengoperasi alat pemadaman kebakaran tanah gambut “Peat Fire X” oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Selangor semasa operasi pemadaman kebakaran tanah-tanah gambut dan tapak pelupusan sampah haram. Alat ini boleh digunakan oleh semua Skuad PANTAS PBT Negeri Selangor bagi kejadian berskala besar.

     

    • Kerajaan Negeri telah melaksanakan projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) yang bertujuan menguruskan tanah gambut di Malaysia secara mampan dan bersepadu untuk memulihara sumber, mengelakkan degradasi dan kebakaran serta menjana faedah kepada generasi pada masa kini dan masa hadapan melalui pendekatan secara holistik dengan memperkasakan tatakelola institusi, meningkatkan koordinasi antara agensi dan penglibatan masyarakat setempat.

     

    • Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan akan melaksanakan pemantauan dan penilaian risiko di kawasan tapak pelupusan sampah haram dan sekitar kawasan tanah gambut bagi memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku.

     

    • Kerajaan Negeri akan mengaktifkan pengepaman telaga air bawah tanah (Tubewell) di bawah seliaan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tujuan pembanjiran kawasan tanah gambut dan hutan simpan kekal yang sering kali terbakar.

     

    • Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan membantu operasi pemadaman kebakaran di kawasan Hutan Simpan Kekal di seluruh negeri menggunakan Pesawat Bombardier.

     

    • Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut melaksanakan pemantauan bekalan air mentah yang mencukupi melalui Operasi Pengepaman Kolam Air Alternatif (OPAK) dan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan, sekiranya perlu.

Lampiran

Tiada Lampiran.