Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
165) MPKK DAN KETUA BLOK
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah amalan lantikan Pengerusi MPKK dan Ketua mengikut kuota parti masih releven di negeri maju ini?
Ketua Kampung merupakan wakil Kerajaan Negeri yang dipilih di dalam membantu penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri dan sebagai jambatan di antara rakyat dengan Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi. Maka, adalah penting agar calon yang dilantik berkongsi aspirasi dan jajaran visi yang sama dengan Kerajaan Negeri. Untuk makluman Yang Berhormat, meskipun pelantikan Ketua Kampung adalah mengguna pakai kuota parti, semua pelantikan calon perlulah mematuhi Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri. Ini adalah penting agar calon yang dipilih mempunyai merit dan kebolehan untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat. Saya juga difahamkan bahawa amalan ini turut diguna pakai di semua negeri lain juga.
-
Bagaimana kerajaan menilai kompitensi MPKK dan Ketua Blok?
Prestasi Pengerusi MPKK atau Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri ini akan dinilai dari masa ke semasa berdasarkan kriteria dan kaedah tertentu. Untuk permulaan Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik akan melalui tempoh percubaan selama 6 bulan sebelum perkhidmatan mereka dinilai kembali sama ada untuk diteruskan atau sebaliknya.
Antara kriteria umum yang diambil kira ketika menilai prestasi Ketua Kampung Tradisi dalam tempoh 6 bulan percubaan adalah seperti berikut:-
Tapisan Keselamatan dan Rekod Jenayah iaitu tiada rekod sabitan hukuman sama ada kes jenayah ataupun kes syariah;
- Status Kebankrapan;
- Mempunyai ahli MPKK yang lengkap;
- Mempunyai isu bantahan atau tidak; dan
- Mampu menguruskan pentadbiran MPKK dengan baik seperti minit mesyuarat yang lengkap dan laporan kewangan yang teratur.
Perkara-perkara di atas perlu dilaporkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Penilaian Perngkat Negeri melalui mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB. EXCO Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna.
Sebagai tambahan, Ketua Kampung Tradisi juga akan dinilai secara tahunan dari masa ke semasa berdasarkan penilaian empat (4) elemen utama di dalam pentadbiran kampung iaitu Pengurusan Mesyuarat (kekerapan dan kualiti), Pengurusan Kewangan (ketelusan), Inovasi dan Kreativiti (produk dan anugerah) dan Aktiviti Kemasyarakatan (sambutan dan penglibatan).
Melalui 4 elemen tersebut adalah diharapkan kelemahan-kelemahan yang mungkin berlaku seperti kelemahan pemantauan pentadbiran, konflik pengurusan, kurang komitmen ketika menjalankan tugas dan amanah dan sebagainya dapat diatasi dengan bijaksana dan berhemah.
Bagi Ketua Blok, pemilihan dan penilaian kompitensi adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) dan surat pelantikan ditandatangani oleh Yang Berhormat EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor. Untuk Makluman, Ketua Blok pesawah di Negeri Selangor berjumlah hampir 400 orang dan akan berkhidmat sebagai wakil blok yang akan membawa isu dan permasalahan pesawah pengurusan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut dan Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Majoriti Ketua Blok yang dilantik ini adalah terdiri daripada Ketua Kampung.