Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
165) MODEL HOLISTIK PERKHIDMATAN AIR
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah ciri-ciri utama model holistik dan apakah persediaan Kerajaan Negeri di segi sumber tenaga manusia bagi mewujudkan model ini?
Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor pada ketika ini adalah tidak dijalankan secara holistik di mana aktiviti rawatan dan agihan dikendalikan oleh pihak yang berlainan. Ini adalah ekoran daripada penswastaan perkhidmatan air di Selangor yang telah bermula semenjak tahun 1994 dan secara sepenuhnya pada tahun 2004 yang melibatkan empat pemegang konsesi utama seperti berikut:
- Rawatan
- Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB)
- Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) – Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS)
- Agihan
- Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)
Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)/Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) memegang ekuiti seperti berikut:-
- i) ABASS – 55%
ii) SPLASH – 30%
iii) SYABAS – 30%
iv) Tiada pegangan ekuiti dalam PNSB
Aset yang digunakan oleh Pemegang Konsesi Air tersebut ada dalam bentuk bina-kendali-pindah (BOT) dan sebahagiannya dipajak daripada Kerajaan Negeri.
Keadaan industri yang tidak holistik ini telah menyumbangkan kepada pengurusan air yang tidak cekap dan kos operasi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi.
Justeru itu, penyelesaian masalah pengurusan bekalan air di Selangor memerlukan pendekatan yang komprehensif dan bukannya secara piecemeal.
Langkah untuk menyusun semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor adalah selaras dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula industri perkhidmatan air ke arah satu perkhidmatan yang efisien, efektif, berdaya saing dan mapan.
Untuk mencapai hasrat ini, penstrukturan yang dicadangkan oleh Kerajaan
Negeri Selangor adalah mendukung dasar-dasar penyusunan semula Industri
Perkhidmatan Air Negara yang telah ditetapkan dengan ciri-ciri berikut:-
- Industri perkhidmatan air diuruskan secara holistic melalui sebuah syarikat yang dimiliki atau di bawah kawalan kerajaan Negeri;
- Operator perkhidmatan air yang dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655); dan
- Operator yang beroperasi secara asset light dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Langkah utama yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor untuk mendapat kualiti air bersih dan tidak dibebankan dengan kenaikan tarif air adalah melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor. Melalui penstrukturan semula ini, operator perkhidmatan air yang baru dapat diwujudkan di mana operator air tersebut adalah terdiri dari syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri.
Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama. Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.
Struktur baru ini dapat mengujudkan perkhidmatan air yang mapan berpandukan kepada pendekatan yang holistik. Keadaan ini akan mendorong pengurusan perkhidmatan air menjadi berdaya maju serta pengurusan kitaran air yang lebih cekap bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur. Dengan ini, kualiti air yang baik dapat dikekalkan untuk diberikan kepada pengguna. Kos operasi dapat dikurangkan kerana operator yang dilantik di bawah penstrukturan semula ini tidak bermatlamatkan keuntungan sebaliknya pulangan yang telah ditetapkan kepada operator tersebut adalah antara 0% hingga 1% sahaja.
Di bawah struktur baru ini, operator akan beroperasi secara asset light di mana pembiayaan ke atas perbelanjaan modal (CAPEX) akan dibuat oleh Pengurusan Aset Air Berhad. Operator yang baru ini akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan. Ini akan dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi perkhidmatan air.
Dengan pelaksanaan penstrukturan ini rakyat Negeri Selangor tidak lagi dibebankan dengan kenaikan tarif air yang melampau. Sebaliknya melalui syarikat yang dimiliki dan dikawal secara langsung oleh Kerajaan Negeri Selangor, segala sumber yang diperoleh akan digunakan untuk memastikan rakyat membayar kadar air yang rendah dan terus menikmati inisiatif pemberian 20m3 air percuma
- Rawatan
-
Apakah polisi, proses serta program-program dalam model holistik yang bakal diwujudkan bagi menjamin purata kenaikan kadar tarif air tidak lebih dari 12% setiap tiga tahun sekali?
Pada masa kini, di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, memperuntukkan kadar kenaikan tarif setiap tiga tahun sekali seperti berikut:-
Pelarasan Tarif Tarikh Pelarasan Tarif Average Schedule Tariff (RM/mᵌ) Pelarasan Pertama 01 Januari 2006 1.39 Pelarasan Kedua 01 Januari 2009 1.90 Pelarasan Ketiga 01 Januari 2012 2.38 Pelarasan Keempat 01 Januari 2015 2.86 Pelarasan Kelima 01 Januari 2018 3.15 Pelarasan Keenam 01 Januari 2021 3.31 Pelarasan Ketujuh 01 Januari 2024 3.48 Pelarasan Kelapan 01 Januari 2027 3.65 Pelarasan Kesembilan 01 Januari 2030 3.83 Dalam melaksanakan penyusunan semula perkhidmatan air di Negeri Selangor,
Kerajaan Negeri telah mengambil kira aspek-aspek berikut:-
- Menjurus kepada penamatan perjanjian-perjanjian konsesi air sedia ada yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan pemegang konsesi;
- Meneliti dan menstrukturkan semula kos-kos operasi terutamanya pembelian air terawat yang pada masa ini amat membebankan;
- Mengenakan tarif air pada kadar yang munasabah dan berasaskan prestasi dan pencapaian KPI syarikat pengendali perkhidmatan;
- Memastikan struktur baru yang diwujudkan mengutamakan peningkatan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya; dan
- Melibatkan PAAB di peringkat awal dalam proses pengambilalihan dan penyusunan semula ini.
Melalui Model Holistik, hanya akan terdapat satu operator (SPV) yang merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Selangor akan mengendalikan operasi rawatan dan agihan. Sebagai anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kuasa penuh untuk memantau agar SPV ini akan dipastikan beroperasi dengan mementingkan kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan. SPV ini akan mendapat one time profit, yang mana keuntungan yang akan dijana adalah tidak melebihi 9%. Dengan keuntungan yang tidak melampaui, SPV akan dapat mengekalkan kadar tarif yang munasabah. Kenaikan tarif di dalam operasi memang tidak dapat dihalang berikutan dengan kenaikan kos bahan mentah dan kos operasi, namun kenaikan tarif tersebut akan dipastikan tidak melebihi 12%.
Selain dari itu, SPV yang beroperasi secara holistik ini dapat mengekang pemindahan harga (transfer pricing) dan ini dapat memastikan kos operasi yang tidak membebankan iaitu tidak lebih dari RM0.36per unit. Syarikat SPV tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi. Ini dapat memastikan kadar tarif munasabah dapat dicapai.
Melalui peranan yang diambil oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), SPV tidak di beban dengan Kos Pembangunan (CAPEX) kerana ia akan diambil alih oleh PAAB. Dengan kaedah ini, kos pembangunan tidak akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan tarif.
Di bawah rejim pelesenan, SPAN melalui peruntukkan di bawah Akta 655 boleh mengesyorkan kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan aras kadar yang hendak dicajkan bagi perkhidmatan air termasuk kadar air pukal dan kadar tarif air.
Justeru itu, berdasarkan kepada ciri-ciri Model Holistik, Kerajaan Negeri
Selangor yakin Model Holistik yang bakal diwujudkan itu dapat merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor melalui penetapan kadar tarif munasabah dengan kenaikan yang tidak melebihi 12% setiap tiga tahun sekali.
-
Apakah polisi, proses serta program-program dalam model holistik yang bakal diwujudkan bagi menjamin kos operasi yang tidak membebankan iaitu tidak lebih dari RM0.36 per unit?
Pada masa kini, terdapat tiga (3) operator berasingan yang mengendalikan operasi rawatan air di mana operasi setiap operator berlainan antara satu dengan lain. Kos operasi yang tinggi boleh mempengaruhi kadar tarif yang akan dibayar oleh pengguna.
Dalam melaksanakan penyusunan semula perkhidmatan air di Negeri Selangor, semua operator air akan disatukan di bawah satu SPV yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Selangor. Perjanjian-perjanjian konsesi air sedia ada yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan pemegang konsesi akan ditamatkan, justeru itu Kerajaan Negeri Selangor tidak akan terikat dengan terma-terma sedia seperti Bayaran Tetap Bulanan, Kadar Bayaran Pukal yang tinggi, kos bahan mentah yang tidak terkawal yang mana semua ini akan mempengaruhi kos operasi sesuatu operator.
Melalui Model Holistik yang dicadangkan itu, Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti dan menstrukturkan semula kos-kos operasi terutamanya pembelian air terawat yang pada masa ini amat membebankan. Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan struktur baru yang diwujudkan mengutamakan peningkatan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya industri.
Sebagai anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kuasa penuh untuk memantau agar SPV ini akan dipastikan beroperasi dengan mementingkan kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan atau mengenakan kos operasi yang melampaui. SPV ini akan mendapat one time profit, yang mana keuntungan yang akan dijana adalah tidak melebihi 9%.
Selain dari itu, SPV yang beroperasi secara holistik ini dapat mengekang pemindahan harga (transfer pricing) dan ini dapat memastikan kos operasi yang tidak membebankan iaitu tidak lebih dari RM0.36per unit. Syarikat SPV tidak akan dibebani dengan terma pembelian minima atau caj kapasiti yang tinggi. Ini dapat memastikan kadar tarif munasabah dapat dicapai.
Di bawah rejim pelesenan, SPAN melalui peruntukkan di bawah Akta 655 boleh mengesyorkan kepada Menteri untuk membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan aras kadar yang hendak dicajkan bagi perkhidmatan air termasuk kadar air pukal dan kadar tarif air. Selain itu, SPV perlu mendapatkan lesen di bawah Akta 655, di mana SPV perlu mengemukakan secara telus setiap kos yang akan dibelanjakan di dalam aliran tunai untuk tempoh tiga tahun. Lesen di bawah Akta 655 hanya akan diberikan setelah pihak SPAN berpuas hati bahawa kos operasi yang dicadangkan di dalam aliran tunai tidak melampaui.