Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

293) MOBILITI SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan mobiliti dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Selangor terutama di Selat Klang?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk meningkatkan mobiliti dan capaian first mile last mile pengangkutan awam negeri. Pelbagai usaha telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan mobiliti termasuk pelaksanaan Bas Smart Selangor, pelaksanaan Demand-Responsive Transit (DRT), pembinaan laluan pejalan kaki dan sebagainya. Kerajaan Negeri juga dalam proses untuk membangunkan Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor yang akan menjadi panduan untuk perancangan jangka panjang bagi pemantapan sistem pengangkutan awam negeri.

     

    Kerajaan Negeri juga mengambil maklum isu kesesakan lalu lintas di kawasan Selat Kelang dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan mobiliti di kawasan tersebut melalui perancangan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) selaku Pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab ke atas kawasan tersebut. Untuk makluman, Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan mempunyai perancangan penyambungan jalan dari Jambatan ke-3 Klang (Jambatan Raja Nala) ke Persiaran Raja Muda Musa dan terkini di dalam fasa untuk pengambilan tanah (peringkat awal).

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di Selat Klang?

    Di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), terdapat tujuh (7) laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor, iaitu:

    1. KLG1 – Bandar Klang – Hospital Tengku Ampuan Rahimah
    2. KLG2A – Bandar Klang – Taman Sri Pekan
    3. KLG2B – Bandar Klang – Taman Intan – AEON Bukit Raja
    4. KLG3A – Taman Sri Andalas – Bandar Klang
    5. KLG3B – Bandar Putera – Taman Sentosa – Kg. Jawa – Bandar Klang
    6. KLG3C – Bandar Putera – Jalan Kebun Nanas – Bandar Klang
    7. KLG4 – Klang Sentral – Pekan Meru – Pekan Kapar – Taman Sri Kerayong

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui MBDK boleh mempertimbangkan cadangan laluan baharu bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor serta pelaksanaan Demand Responsive Transit (DRT) sekiranya terdapat keperluan peningkatan akses pengangkutan awam di kawasan berkenaan.

     

    Selain itu, MBDK sedang mengenal pasti beberapa cadangan penambahbaikan, termasuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan di kawasan Teluk Pulai dan sekitarnya. Inisiatif ini merangkumi pengecatan semula garisan jalan, khususnya di beberapa jalan utama, dengan menggunakan material “Glow in The Dark” bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, terutama pada waktu malam.

Lampiran

Tiada Lampiran.