Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
280) MISKIN TEGAR DI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bilakah kajian terakhir dibuat bagi mengenalpasti jumlah mereka? Nyatakan jumlah sebenar.
Untuk makluman Yang Berhormat Sabak data miskin tegar dikemaskini dalam sistem eKasih yang merupakan pangkalan data kemiskinan Nasional yang bertujuan untuk mendaftarkan isi rumah miskin di Malaysia berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang disediakan oleh Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2022 (HIES 2022).
Data eKasih adalah bersifat dinamik dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan disalurkan kepada agensi pemberi bantuan bagi pelaksanaan program kesejahteraan rakyat. Data yang telah dimasukkan ke dalam Sistem eKasih juga akan dibuat pemutihan sekurangkurangnya 2 tahun sekali. Sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 1,434 KIR berstatus miskin tegar telah direkodkan bagi negeri Selangor. Pecahan mengikut daerah seperti berikut:
DAERAH BIL. KIR Gombak 153 Hulu Langat 171 Hulu Selangor 177 Klang 253 Kuala Langat 156 Kuala Selangor 106 Petaling 310 Sabak Bernam 93 Sepang 15 JUMLAH 1,434 -
Apakah persediaan kerajaan dan strategi bagi mengeluarkan mereka dari kemiskinan terutama kesan kos sara hidup yang tinggi?
Saban tahun menyaksikan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dalam usaha memberi manfaat berterusan kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan. Dimensi yang diberikan fokus utama oleh Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kadar kemiskinan adalah merangkumi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat.
Namun begitu, sebagai persedian dan strategi kerajaan untuk mengeluarkan keluar miskin tegar dari kelompok kemiskinan, kerajaan telah menambah baik dan memperkenalkan program-program melalui Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP). ISP merupakan satu inisiatif berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutama bagi keluarga miskin tegar. Ini kerana ISP terdiri daripada program-program yang dibentuk khas untuk memberdayakan rakyat dalam masa yang sama berupaya meningkatkan pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) dan sekaligus dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga seperti hasrat Perdana Menteri untuk menoktahkan miskin tegar di Malaysia.
ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara-antara program yang disasarkan untuk membasmi kemiskinan di Negeri Selangor adalah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Jom Shopping Perayaan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Skim Air Darul Ehsan (SADE), Pengecualian Cukai Pintu bagi Rumah Kos Rendah, Pengecualian Lesen Fi penjaja, dan Jelajah Ehsan Rakyat yang menawarkan barangan keperluan asas dibawah harga pasaran semasa yang mampu membantu keluarga miskin tegar berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya di kawasan bandar.
Kerajaan Negeri Selangor juga menawarkan Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi seperti Program HIJRAH Selangor, Dana Usahawan Mikro, dan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan serta pelbagai lagi program yang diyakini dapat terus berdiri menjadi paksi dalam mengimbangi pertumbuhan sosial dan ekonomi bagi golongan miskin dan miskin tegar. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.