Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
106) MISKIN TEGAR DARIPADA GOLONGAN WANITA DI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai bank data maklumat lengkap senarai wanita golongan B40, ibu tunggal, OKU dan warga emas wanita untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan?
Untuk makluman Yang Berhormat Kajang, sistem eKasih merupakan sistem data berpusat yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan dan ia boleh diakses oleh semua agensi pemberi bantuan dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. Sistem ini telah diwujudkan dan digunapakai bermula dari tahun 2008 dan mengandungi profail ketua isi rumah dan ahli isi rumah kategori miskin juga termasuk dari golongan ibu tunggal, OKU dan warga emas wanita. Maklumat-maklumat dari profail ini digunakan secara meluas oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri bagi menjalankan aktiviti kesejahteraan rakyat. Salah satu objektif pembangunan sistem pangkalan data eKasih ini adalah bagi memastikan tiada pertindihan penerimaan bantuan dan mengelakkan berlaku keciciran daripada menerima bantuan.
Jumlah golongan ibu tunggal yang tersenarai dalam data ekasih adalah seramai 42 orang yang berada dalam kelompok miskin tegar dan seramai 3,975 orang dalam kelompok miskin. Bagi kategori OKU wanita pula seramai 3 orang miskin tegar dan 407 dalam kelompok miskin. Bagi warga emas wanita seramai 11 orang dalam kelompok miskin tegar dan seramai 2,208 dalam kelompok miskin.
-
Nyatakan kadar kemiskinan tegar golongan wanita ini dan apakah inisiatif yang sedang dilakukan.
Secara keseluruhan, sehingga 3 November 2024, golongan wanita dari kalangan ibu tunggal, OKU dan warga emas, adalah seramai 56 orang dalam kelompok miskin tegar manakala 6,590 dari kelompok miskin.
ICU Selangor bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program dan strategi bagi memastikan golongan miskin tegar di negeri ini mendapat peluang untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Melalui Mesyuarat Focus Group Negeri Selangor, ICU Selangor sentiasa menyelaras data golongan miskin tegar dan berbincang dengan semua pihak untuk memberikan pelbagai inisiatif yang melibatkan bantuan kewangan, pembangunan kemahiran, perumahan, pendidikan, kesihatan, dan sokongan sosial. Dengan kerjasama antara JKM, Zakat, Perkeso, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), ICU Selangor sentiasa berusaha untuk mengenal pasti maklumat tepat miskin tegar dan memberikan peluang kepada golongan miskin tegar untuk memperbaiki taraf hidup mereka dan keluar dari lingkaran kemiskinan dengan bantuan yang disalurkan seperti hasrat Perdana Menteri untuk menoktahkan miskin tegar di Malaysia.
Kerajaan Negeri juga turut menggalakkan golongan miskin tegar ini untuk memohon bantuan di bawah Kerajaan Negeri seperti Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Bas Smart Selangor dan Program Jualan Ehsan Rakyat (JER) yang diadakan secara berkala mengikut DUN.