Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

46) MISKIN TEGAR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik jumlah rakyat Selangor yang dikategorikan sebagai miskin tegar dari 2018-2022 mengikut bangsa dan umur.

    Yang Berhormat Sentosa, statistik berkaitan dengan pendapatan dan kemiskinan isi rumah diperolehi melalui Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor tahun 2022 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kekerapan dua (2) kali bagi setiap lima (5) tahun. Laporan terkini adalah bagi tahun 2022 yang telah diterbitkan pada bulan Julai tahun 2023 dan laporan ini memaparkan maklumat statistik berkaitan dengan taburan pendapatan dan juga statistik kemiskinan isi rumah di peringkat nasional, negeri serta daerah pentadbiran. Selain itu, laporan bagi setiap negeri juga turut diterbitkan namun tiada perincian statistik kemiskinan mengikut bangsa dan umur.

     

    Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor, tahun 2022 kaedah pengukuran kemiskinan mutlak ini telah dilaksanakan sejak 1977, dengan menggunakan pendekatan Kos Keperluan Asas. Melalui kaedah ini satu paras keperluan minimum yang dikenali sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah ditetapkan.

     

    Komponen PGK ini terdiri daripada dua kategori iaitu PGK makanan dan PGK bukan makanan. Nilai PGK makanan diperoleh melalui penetapan keperluan kalori bagi sesebuah isi rumah. Pada tahun 2022, nilai purata PGK di peringkat negeri Selangor ialah RM2,830 sebulan manakala purata nilai PGK makanan adalah RM1,274 sebulan dengan purata saiz isi rumah seramai 3.8 orang. Nilai purata PGK ini diperoleh dengan menambahkan kesemua nilai PGK bagi setiap isi rumah dan dibahagikan dengan bilangan keseluruhan isi rumah di Selangor. Oleh yang demikian, kemiskinan tegar yang direkodkan adalah sebanyak 0.02 peratus pada tahun 2022 berbanding 0.2 peratus pada tahun 2019.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi menokhtakan miskin tegar di Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membenteras kemiskinan di negeri ini tidak kira keluarga miskin mahupun keluarga miskin tegar. Sehubungan dengan itu, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dilihat merupakan satu inisiatif berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutama keluarga miskin tegar. ISP adalah program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

     

    ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bas Smart Selangor, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian kemiskinan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan banyak lagi.

     

    Program-progam ISP ini diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekaligus dapat membantu membawa golongan yang kurang bernasib baik ini keluar dari kelompok kemiskinan. Walaupun program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu mencapai menoktahkan kemiskinan tegar, namun secara tidak langsung membantu meringankan beban rakyat Selangor dalam menjalani kehidupan seharian disamping dapat membantu meningkatkan sosio ekonomi keluarga.

Lampiran

Tiada Lampiran.