Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

220) MISKIN BANDAR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan jumlah golongan miskin bandar di Selangor sehingga sekarang mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

    SEKSYEN SEKTORAL (UPEN)

     Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang data dan statistik berhubung jumlah penduduk miskin bandar mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tidak pernah menjalankan bancian kemiskinan khusus untuk negeri Selangor sejak tahun 2008. Namun begitu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telahpun mengambil inisiatif penting bagi mencapai matlamat membasmi kemiskinan di Negeri Selangor sehingga ke akar umbi. Untuk mencapai hasrat ini, satu kaedah pengukuran terhadap kadar kemiskinan perlu diwujudkan serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor yang terkini perlu dimuktamadkan berikutan peningkatan taraf hidup dan ekonomi semasa yang tidak

    Sebagai makluman, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik terus Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding  kajian bermula pada Mac 2015 hingga Mac 2016. Sehubungan dengan itu, perangkaan umum berhubung statistik kemiskinan Negeri Selangor mengikut daerah dan kaum dijangka akan diperolehi pada Mac 2016 melalui kajian tersebut.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi membantu golongan miskin bandar di Selangor?

    Seperti mana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan yang memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada

     

    masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Namun begitu, program-program pembasmian kemiskinan ini adalah bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin di Negeri Selangor serta tidak memfokuskan golongan miskin bandar sahaja.

     

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan bagi menangani masalah kemiskinan sehingga ke akar umbi. Tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti berikut:-

     

    1. Teras 1:    Program    yang    berupaya    menjana    dan              meningkatkan pendapatan:-
      • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

     

    1. Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-
      • Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS International College

     

    • Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-
      • Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan; dan
      • Program Pemberian Bantuan Persekolahan untuk Rakyat Miskin Bersempena Back to School.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui pelbagai Jawatankuasa Tetap (STANDCO) serta Jabatan/ Agensi turut menyokong/ mendokong matlamat utama Kerajaan Negeri untuk bersama-sama membasmi kemiskinan secara total dan efektif melalui pelaksanaan pelbagai program bantuan. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin membantu rakyat Negeri Selangor yang kurang berkemampuan memiliki rumah yang selesa melalui Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan beberapa Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa – jawatankuasa Tetap yang lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan pelbagai lagi. Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Dar Al-Qadr Al Hasan Selangor telah memperkenalkan Program HIJRAH Selangor, di mana ianya merupakan program mikrokredit yang dijangka berupaya meningkatkan pendapatan rakyat Negeri Selangor serta melebarkan golongan kelas menengah.

    Melalui pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri ini, ianya dilihat berupaya menghasilkan impak positif terhadap pendapatan golongan sasaran serta seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor.

  3. Sila nyatakan jumlah peruntukan Kerajaan Negeri yang diluluskan untuk membantu golongan tersebut mengikut kawasan PBT.

    Peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program- program pembasmian kemiskinan adalah secara menyeluruh merangkumi semua daerah di Negeri Selangor dan tidak hanya memfokuskan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja. Bagi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, peruntukan Pembangunan yang diperuntukkan bagi tahun 2015 adalah sebanyak RM13,368,000.00.

    Oleh yang demikian, semua program pembasmian kemiskinan yang dirancang di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan bagi tahun 2015 adalah diharap berupaya memberi manfaat serta dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.