Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
61) MINAT MEMBACA DI PERPUSTAKAAN
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif dari Kerajaan Negeri bagi mewujud dan menanamkan minat membaca di kalangan rakyat di Negeri Selangor?
Antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi mewujud dan menanamkan minat membaca di kalangan rakyat di Negeri Selangor ialah :
- Hari Ilmu Negeri Selangor telah diisytiharkan pada 26 Jun 2010 oleh DYMM Sultan Selangor. Ini bermakna setiap tahun pada 26 Jun masyarakat akan menyambut Hari Ilmu, di mana kerajaan negeri telah mengangkat martabat ilmu menjadi aset yang utama. Hari Ilmu akan diisi dengan kandungan bermanfaat antaranya melibatkan program membaca secara besar-besaran di seluruh negeri Selangor.
- Penjenamaan Semula bangunan perpustakaan yang lebih berkonsepkan “Library My Second Home” atau Perpustakaan Rumah Keduaku. Penyediaan infrastruktur perpustakaan yang lebih selesa akan menarik perhatian pengunjung bukan sahaja untuk meminjam bahan bacaan, tetapi untuk terus berada di perpustakaan untuk membaca. Antara bangunan baru perpustakaan yang telah mengikut konsep ini ialah : Perpustakaan Komuniti Pekan Sri Manja, Petaling, Perpustakaan Komuniti Apartment Sri Perantau, Pelabuhan Klang, bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.
Perpustakaan lain yang sedang dalam proses penjenamaan dan pembinaan ialah: Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya, Perpustakaan Pekan Ampang Waterfront dan Perpustakaan Kg Sg Udang , Klang.
-
Adakah Kerajaan Negeri akan mengadakan sebarang bentuk program ÒroadshowÓ seperti program berbentuk ilmiah bagi menarik minat rakyat untuk membaca dan mendapatkan ilmu di perpustakaan?
Kerajaan telah pun melaksanakan pelbagai program “roadshow” berbentuk ilmiah, di mana perpustakaan turut menyertai roadshow Generasi Idaman Selangor atau GEMS. Sepanjang tahun lepas 2010 dan 2011, semua daerah telah terlibat dengan program ini. Antara pengisian program ilmiah ini ialah : Sesi Dialog dengan mahasiswa, Jejak Ilmuan, Bercerita Ilmuanku, Kempen Keahlian perpustakaan, Pameran Perpustakaan Keluarga
-
Nyatakan program-program yang telah serta akan dianjurkan dan berapa peratuskah keberjayaan sesebuah program tersebut?
Antara program yang telah dianjurkan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
Tahun 2010
Hari Ilmu & Gerakan Membaca Perdana / Largest Outdoor Reading Event di Taman Tasik Shah Alam pada 26 Jun 2010 : (memecah rekod Malaysia Book of Records dengan sasaran awal sejumlah 500 orang pembaca, pencapaian sebenar : 15,271 pembaca.
Pesta Buku Negeri Selangor yang berlangsung dari 25 Jun – 5 Julai 2010, di Kompleks PKNS Shah Alam telah menerima sejumlah 423, 315 pengunjung
Bagi pelaksanaan program Gerakan Membaca/Kempen membaca serta galakguna perpustakaan sepanjang tahun 2010 sejumlah 273 aktiviti telah dijalankan oleh seluruh perpustakaan daerah, cawangan, pekan, dan desa.
Semua perkhidmatan perpustakaan telah melaksanakan program galakguna perpustakaan walaupun di dalam skala kecil dan minima.
Tahun 2011
Hari Ilmu Negeri Selangor pada 26 Jun 2011: pengisian – Perhimpunan dan Konvensyen Penulis:sejumlah 500 penulis berdaftar dan walk in hadir. Program yang membina ransangan menulis ini menjemput penulis buku, jernal, majalah, novel, kolumnis, penulis blog, profesional dan amatur.
Program 15 Minutes Reading Break, satu inisiatif baru perpustakaan untuk terus membina ransangan membaca rakyat Selangor menjadikan waktu yang telah ditetapkan dari 10.45 – 11.00 pagi pada 26 Jun, sebagai waktu yang sangat bernilai. Dilaksanakan diseluruh daerah negeri Selangor dengan kejayaan mengumpul lebih dari 100 keahlian baru perpustakaan bagi setiap daerah.
Pesta Buku Negeri Selangor 2011 yang telah bermula dari 24 Jun – 3 Julai 2011 di Pusat Konvensyen Shah Alam telah menerima sejumlah 328,530 pengujung Pesta Buku Negeri Selangor 2011.
Bagi pelaksanaan program Gerakan Membaca /Kempen membaca serta galakguna perpustakaan dari Januari – April 2011 sejumlah 263 aktiviti telah dijalankan oleh seluruh perpustakaan daerah, cawangan, pekan, dan desa.