Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
58) MIKRO KREDIT SELANGOR
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan permohonan seseorang yang ingin mendapatkan pinjaman mikrokredit MIMBAR itu di tolak ? Dan adakah pihak MIMBAR sendiri akan memaklumkan sebab penolakan itu selepas proses temuduga dan sebagainya ?
Bagi setiap permohonan yang tidak berjaya dalam mendapatkan pinjaman mikrokredit tanpa faedah ini adalah disebabkan pemohon bukanlah sasaran iaitu peniaga kecil atau tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti yang telah ditetapkan. Syarat-syarat kelayakan yang perlu dipatuhi bagi permohonan Program Mikrokredit Miskin Bandar Selangor adalah seperti berikut:
- warganegara Malaysia berusia 21 – 60 tahun
- rakyat negeri Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun (pengesahan dari pihak berwajib)
- menetap,berniaga dan bekerja di bandar-bandar di negeri Selangor
- berpendapatan isi rumah kurang dari:
- RM1,500 tanpa anak
- RM2,500 berkahwin dengan anak 3 orang atau kurang
- RM3,000 berkahwin dengan anak melebihi 3 orang
- memiliki aset keseluruhan tidak melebihi RM50,000 dalam segala bentuk
- mempunyai perniagaan sedia ada dan boleh berkembang
- pemohon tidak mempunyai hutang yang kritikal dan tidak diisytiharkan sebagai muflis atau bankrap
Pada setiap kali taklimat atau penerangan, pemohon akan dimaklumkan bahawa tempoh proses permohonan adalah minima dua (2) minggu atau selewatlewatnya satu (1) bulan. Setiap permohonan yang tidak berjaya akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada nombor telefon yang didaftarkan pemohon dalam tempoh satu (1) minggu selepas penilaian dibuat melalui jawatankuasa pemilihan. Selain daripada itu, di setiap borang permohonan juga telah dimaklumkan bahawa permohonan dianggap tidak berjaya sekiranya tidak menerima jawapan balas dalam tempoh satu (1) bulan. Pegawai operasi MiMBAR Selangor juga mengambil inisiatif sedaya upaya datang berjumpa atau menghubungi pemohon untuk memaklumkan sebab ditolak sekiranya terdapat sebarang aduan atau pertanyaan. MiMBAR Selangor juga berkongsi maklumat permohonan yang berjaya, tidak berjaya dan status bayaran balik peserta ini dengan semua Pusat Khidmat DUN setiap bulan. Data ini akan diberikan dan dikemaskini bagi memastikan setiap Pusat Khidmat DUN dan ADUN mengetahui jumlah permohonan dan tren bayaran balik peniagapeniaga di kawasannya.
-
Berapa peratuskah peserta MIMBAR yang dapat menjelaskan pinjaman mikrokredit MIMBAR mengikut jadual dan sila berikan peratus bayaran balik yang efisien menurut kaum.
Seperti yang sedia maklum, penduduk yang tinggal di bandar menjalani kehidupan harian yang berbeza dengan yang tinggal di kawasan luar bandar. Tekanan hidup di bandar lebih tinggi berbanding hidup di luar bandar. Peratusan peserta yang membuat bayaran balik mengikut jadual adalah sebanyak 51.92%, yang selebihnya masih membuat bayaran balik dengan membuat rayuan untuk dipanjangkan sedikit tempoh disebabkan oleh masalah yang timbul. Rayuanrayuan seperti ini perlu dibantu bagi meringankan beban peniaga-peniaga kecil ini untuk memberikan mereka sokongan dan bantuan bagi mereka merasakan masih ada lagi tempat untuk mengadu dan bersandar dalam meneruskan pancaroba hidup di bandar. Antara alasan yang diberi adalah perniagaan mengalami masalah, terjadinya bencana seperti kebakaran, ribut dan banjir atau mengalami kecelakaan. Carta pembayaran balik seperti jadual di bawah:
-
Apakah tindakan MIMBAR terhadap peserta yang membuat pinjaman namun tidak berusaha untuk membayar balik ?
MiMBAR Selangor telah mengambil pelbagai langkah untuk meringankan beban peserta untuk membuat bayaran balik pinjaman yang diberikan. Berikut merupakan tindakan yang akan dikenakan bergantung kepada situasi peminjam:
- Peserta boleh membayar ansuran pinjaman kepada pegawai kawasan yang bertugas atau datang ke pejabat MiMBAR Selangor
- Peserta boleh berbincang mengenai penambahan tempoh bayaran balik pinjaman atau pengurangan ansuran pinjaman
- MiMBAR Selangor akan menarik balik peralatan beserta bahan mentah yang diberi sebagai modal awal sekiranya peserta gagal memulakan operasi perniagaan dalam tempoh dua (2) minggu selepas tarikh penerimaan peralatan tersebut sekiranya tiada alasan yang munasabah
- Surat peringatan awal akan dihantar kepada peserta yang mempunyai tunggakan untuk menjelaskan pembayaran tertunggak
- Sekiranya tunggakan melebihi tiga (3) bulan, pegawai operasi unit khas akan melakukan siasatan khas dan kutipan dengan berjumpa bersama pegawai pihak berkuasa tempatan sekiranya perlu
- Sekiranya peminjam masih gagal menjelaskan bayaran tertunggak, MiMBAR Selangor akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyita barang-barang perniagaan peserta yang jumlahnya sama dengan jumlah pinjaman yang gagal dilunaskan oleh peserta