Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

35) MEWUJUDKAN OPERASI MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI DAERAH LAIN DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah sebarang cadangan operasi Mahkamah Tinggi Syariah Selangor diperluaskan ke daerah-daerah lain selain daripada mahkamah sedia ada di Shah Alam?

    Satu cadangan operasi Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) Selangor sedang dipertimbangkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dengan melihat keperluan mewujudkan MTS di daerah-daerah yang menerima jumlah pendaftaran kes Mahkamah Tinggi yang tinggi. Penempatan MTS di daerah yang terpilih akan dilaksanakan sekiranya permohonan pertambahan waran perjawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini terdapat dua (2) Daerah yang mempunyai Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) iaitu di Shah Alam dan di Gombak Timur. Walau bagaimanapun, buat masa ini pengoperasian MTS Gombak Timur juga dibuat di Shah Alam kerana bangunan MTS Gombak Timur di Selayang masih belum sedia untuk diduduki.

  2. Adakah ianya boleh dianggap sebagai usaha memartabatkan perundangan syariah dan syiar Islam?

    Ya. Sekiranya operasi Mahkamah Tinggi Syariah diperluaskan ke daerah lain di Negeri Selangor ia bukan sahaja memudahkan urusan orang awam di Negeri Selangor terutama bagi daerah-daerah yang jauh kerana tidak perlu datang ke Shah Alam untuk memfailkan, membicarakan dan mendengar keputusan kes tersebut. Malah ia menunjukkan komitmen kerajaan Negeri dalam memartabatkan perundangan Syariah dan syiar Islam di Negeri Selangor.

  3. Adakah sebarang kekangan atau keterbatasan untuk proses tersebut?

    Ya, terdapat kekangan atau keterbatasan untuk proses tersebut dilaksanakan. Kekangan atau keterbatasan adalah rentetan daripada dasar yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan berkenaan pembekuan atau pengecilan saiz perjawatan perkhidmatan awam. Sekiranya dasar tersebut masih berterusan sudah pasti pertambahan perjawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya Mahkamah Tinggi Syariah hanya beroperasi di Shah Alam dan Gombak Timur sahaja dan tidak dapat diperluaskan ke daerah-daerah lain di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.