Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

161) MERAKYATKAN PELANCONGAN LUAR BANDAR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk menjadikan sektor pelancongan luar bandar sebagai salah satu cabang program merakyatkan pelancongan Negeri Selangor?

    Ya, Kerajaan Negeri Selangor sememangnya berhasrat dan telah mengadakan pelbagai langkah proaktif, untuk menjadikan sektor pelancongan luar bandar sebagai salah satu cabang program merakyatkan pelancongan Negeri Selangor.

     

  2. Nyatakan langkah proaktif Kerajaan untuk menjadikan kawasan luar bandar sebahagian daripada tarikan pelancong luar negara.

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menjalankan beberapa program bagi menjadikan kawasan luar bandar sebahagian daripada tarikan pelancong luar negara. Antara usaha yang telah dijalankan adalah seperti berikut:- 

    • lawatan Teknikal Produk Pelancongan

    Sesi lawatan ini dijalankan sepanjang tahun mengikut jadual dan melibatkan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terlibat mengikut kawasan produk pelancongan yang berpotensi dibangunkan dan dipromosikan. Sebanyak 16 sesi lawatan teknikal telah dijalankan di 16 kawasan pelancongan sepanjang tahun 2018.

    • Program Pembangunan Pakej Produk Pelancongan yang melibatkan produk pelancongan luar bandar

    Sebanyak 14 pakej pelancongan telah dibangunkan dan dilancarkan mengikut pasaran sepanjang Tahun 2018.

    • Program Hos Komuniti Pemandu Pelancong Negeri Selangor

    Program latihan untuk Hos Komuniti Selangor ini merupakan program pemangkin menggunakan pendekatan ‘Community Base Tourism Delivery Management”.  Program ini diadakan adalah untuk untuk melantik dan melatih pemandu pelancong setempat di seluruh Negeri Selangor secara profesional. Program sulung atau ‘Pioneer’ ini telah dijalankan bagi 3 Daerah dahulu, iaitu, Daerah Klang, Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sabak Bernam pada Tahun 2018. Untuk Tahun 2019, program ini akan diteruskan kepada Daerah Hulu Selangor, Daerah Kuala Langat dan Daerah Hulu Langat.

    Program ini dianjurkan bagi mencapai manfaat untuk; Meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar; Menjadikan Budaya dan Warisan setempat sebagai produk pelancongan yang mapan; Menggalakkan komuniti setempat untuk memelihara warisan tempatan; dan Membangunkan produk pelancongan yang mesra alam sekitar. Program ini akan diaplikasikan kepada daerah yang lain di Negeri Selangor.

    • Program FAM (Familiarization) Tour

    Sesi lawatan FAM Tour ini dijalankan sepanjang tahun bersama pihak Agensi Pelancongan dan Media tempatan dan antarabangsa untuk membantu membangunkan pakej pelancongan seterusnya membantu mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor ke pentas global. Untuk Tahun 2018, sebanyak 21 sesi lawatan FAM Tour yang telah dijalankan mengikut kepelbagaian pasaran yang seterusnya membantu membangunkan produk pelancongan di Negeri Selangor khususnya yang berada di luar bandar.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.