Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

115) MENTERI BESAR PEMERBADANAN (MBI)

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah segala aktiviti yang dijalankan operasinya oleh MBI beroleh keuntungan?

    MBI ditubuhkan untuk mentadbir aset dan pelaburan Kerajaan Negeri dan mewakili Negeri Selangor dalam aktiviti ekonomi dan perniagaan yang di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Oleh itu, bukan semua aktiviti yang dijalankan oleh MBI beroleh keuntungan. Sumber dana MBI Selangor adalah berpunca dari projek pembangunan tanah secara usahasama dengan pemaju hartanah yang dilantik, pendapatan dividen daripada pelaburan, pendapatan faedah daripada penempatan dana di institusi kewangan dan pendapatan sewa dari asset-aset milik MBI.

  2. Adakah segala keuntungan yang diperolehi daripada operasi MBI ini dimanfaatkan untuk Negeri Selangor?

    Pendapatan MBI Selangor digunakan untuk mempromosikan dan menyokong usaha pembangunan Kerajaan Negeri serta melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

  3. Bolehkah kedudukan kewangan MBI ini diaudit dan dikemukakan laporannya serta bolehkah undang-undang mengenainya digubal atau dipinda?

    MBI telah mengamalkan tadbir urus korporat yang telus di mana juruaudit luar telah dilantik untuk menjalankan pengauditan ke atas Penyata Kewangan MBI selaras dengan piawaian pengauditan yang diluluskan di Malaysia dan International Standards on Auditing (“ISAs”) bagi memastikan gambaran yang benar dan saksama tentang Penyata Kewangan.

    Penyata kewangan MBI yang disediakan adalah selaras dengan piawaian Malaysian Financial Reporting Standard (“MFRSs”), International Financial Reporting Standard (“IFRSs”) dan mengikut keperluan  Akta Syarikat Malaysia.

     

    MBI Selangor ditubuhkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor (Enakmen No.3 tahun 1994)(“Enakmen”) yang merupakan badan pemegang amanah Kerajaan Negeri  tidak menuntut MBI untuk mengemukakan Penyata Kewangan kepada mana-mana pihak bagi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.