Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

44) MENINGKATKAN PURATA PENDAPATAN ANAK MUDA

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha Kerajaan Selangor untuk menambahbaik keadaan ekonomi anak muda termasuk meningkatkan purata pendapatan mereka?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda. Ini termasuklah dalam membantu meningkatkan pendapatan anak muda di Negeri Selangor.

    Berdasarkan data dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES), populasi belia di Negeri Selangor merangkumi hampir separuh daripada populasi rakyat negeri Selangor yang berjumlah seramai 6 juta orang.

    Sumber: Cawangan Pengurusan Data, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES)

    Sementara itu, data dari Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pula menunjukkan kadar pengangguran yang dicatatkan di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    • 2016 (3.2%)
    • 2017 (2.8%)
    • 2018 (2.8%)

     

    Sehubungan itu, antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda adalah seperti berikut:-

    i) Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah menganjurkan program Karnival Kerjaya (Job Fair) secara berkala (2 kali setahun). Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Jobs Malaysia bermula pada tahun 2014.

    Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menganjurkan program berskala mega buat julung kalinya iaitu Selangor Mega Job Fair. Penganjuran program ini telah melibatkan sebanyak 210 syarikat swasta terpilih yang mengadakan temuduga terbuka (walk in interview) selain 20 Agensi/ Jabatan Kerajaan turut terlibat menjayakannya. Melalui penyertaan syarikat swasta dan agensi terlibat, sekitar 12,000 peluang pekerjaan telah ditawarkan termasuklah oleh 20 majikan yang turut menawarkan peluang ini  kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Hampir 20,739 pengunjung mendapat manfaat melalui program ini. Jumlah permohonan yang berjaya mendapatkan tawaran pekerjaan pada hari tersebut ialah seramai 3,497 orang. Program yang dilaksanakan ini telah berjaya melibatkan pemohon berdaftar seramai 8,493 orang.

    Program ini juga merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia terutamanya selain membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing.

    ii) Pendidikan Kemahiran dan Vokasional

    Bagi belia yang kurang berkemampuan namun ingin meneruskan pembelajaran walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang, Kerajaan Negeri Selangor  telah menyediakan peluang pendidikan kemahiran dan vokasional yang dibiayai berdasarkan kelayakan pemohon.

    iii) Program Latihan Kemahiran Keusahawanan atau KPS Entrepreneurship Development Programmes yang dilaksanakan oleh Kumpulan Peransang Selangor Berhad

    Program Latihan Keusahawanan KPS telah dilaksanakan untuk menangani isu pengangguran dan menggalakkan para peserta untuk meningkatkan keyakinan terhadap keusahawanan dan memulakan perniagaan berskala kecil atau meningkatkan daya saing mereka dalam perniagaan yang telah dijalankan.

    Program-program latihan ini terbuka kepada peserta yang tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan atau isi rumah berpendapatan rendah atau mereka yang tinggal di bawah garis kemiskinan (RM1,500 setiap rumah tangga sebulan). Pada tahun 2019, KPS telah memperuntukkan sebanyak RM471,278.00 untuk menganjurkan lima jenis program keusahawanan dan program  ini telah melibatkan seramai 143 peserta dari sembilan daerah di Selangor. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan peserta dan seterusnya meningkatkan status sosioekonomi kumpulan sasaran.

    Antara program yang disediakan adalah seperti :

    • Home Care for Elderly (Caregiver) – Pusat Jagaan Orang Tua;
    • Perkhidmatan selepas bersalin (postnatal);
    • Latihan Penternakan;
    • Program Latihan Eksport (Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE); dan
    • Program Pemberdayaan Wanita

     

    Lain-lain Program di Bawah Agensi

    a. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)

    i) Program Perintis Usahawan (PPU)

    Program Perintis Usahawan ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (dulu dikenali sebagai Jabatan Pelajaran Negeri Selangor). Objektif program ini adalah untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah. Enam (6) buah sekolah rendah telah terlibat sejak dimulakan pada tahun 2007.

    ii) Program Tunas Niaga (PROTUNe)

    Dalam membudayakan usahawan muda yang berjaya dan berpengetahuan, Program Tunas Niaga (PROTUNe) telah diperkenalkan di Negeri Selangor pada tahun 1998 oleh Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MECD).

    iii) Program Usahawan Siswazah (GROW)

    Program Usahawan telah dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sejak tahun 2003 dengan memberi fokus kepada latihan dan pembudayaan yang mensasarkan mahasiswa di lapan (8) institusi-institusi pengajian tinggi seperti berikut:

    • Universiti Teknologi Mara (UiTM);
    • Universiti Putra Malaysia (UPM);
    • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
    • Universiti Industri Selangor (UNiSEL);
    • INSPENS International College;
    • Kolej Universiti Selangor (KUIS);
    • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); dan
    • City University (City U)

     

    b. Program di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

    Kerajaan Negeri menggalakan penglibatan Generasi Muda dalam Sektor Pertanian dan memperkasakan usahawan-usahawan Generasi Muda yang telah pun memulakan Projek-projek Pertanian.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai Program untuk Generasi Muda yang berminat menceburi sektor pertanian sebagaimana antaranya :-

    • Program Agropreneur Muda / Petani;
    • Program Bantuan Peralatan Pertanian; dan
    • Kursus dan Seminar kepada Generasi Muda
  2. Sejauh manakah keberkesanan usaha-usaha tersebut?

    Jawapan seperti di Sub Soalan A

Lampiran

Tiada Lampiran.