Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
89) MENINGKATKAN KEWANGAN NEGERI
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan jumlah kewangan negeri?
Strategi Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkat jumlah kewangan negeri adalah dengan sentiasa melaksanakan usaha-usaha berterusan bagi memastikan pertumbuhan hasil Kerajaan Negeri Selangor, di samping pengurusan perbelanjaan wang awam yang menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah terbaik. Adalah menjadi keutamaan bagi Kerajaan Negeri untuk menguruskan kewangan dengan cekap dan teratur di samping mematuhi segala peraturan kewangan yang berkuat kuasa.
Antara perkara-perkara yang dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah kewangan Negeri adalah:-
- pengiraan premium tanah berdasarkan nilai pasaran semasa;
- kenaikan Kadar Royalti Kuari berkuat kuasa 1 November 2014;
- kenaikan kadar baru Caruman Parit berkuat kuasa 1 Julai 2015;
- pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang telah berjaya membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien, di samping memberi pulangan faedah yang optimum;
- pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah dengan kerjasama di antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua Pejabat Daerah/Tanah (PDT), Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Bahagian Teknologi Maklumat, SUK (BTM, SUK) sebagai satu pasukan (Ops. Kutip) seperti berikut:-
- menjejaki pemilik tanah yang berkenaan, menasihati dan memberi amaran melalui surat peringatan kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan tunggakan cukai tanah;
- menerima bayaran cukai tanah secara ansuran;
- memberikan pengurangan fi tunggakan (denda lewat); dan
- tindakan perampasan jika pemilik tanah gagal menjelaskan cukai tanah tertunggak.
- Kerajaan Negeri terutamanya melalui PDT sentiasa berusaha meningkatkan kutipan cukai tanah melalui kaedah berikut:-
- mengenal pasti serta mengasingkan semua hak milik (tertunggak) yang bermasalah agar tindakan susulan dapat diambil;
- membuka kaunter kutipan luar dengan menambah saluran kutipan cukai tanah melalui van kaunter hasil bergerak;
- membuka kaunter pada waktu rehat; dan
- menambahkan saluran / kaedah pembayaran secara atas talian (online) dan pusat pembayaran di kaunter PBT.
- Kerajaan Negeri juga berusaha menangani tunggakan hasil cukai tanah dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Hasil dan Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di Peringkat Negeri yang berfungsi untuk memantau pelaksanaan kutipan tunggakan cukai tanah secara holistik yang melibatkan penunggak tegar dan penyelesaian hak milik yang terlibat dengan permasalahan tanah di semua PDT;
- Kerajaan Negeri turut mewujudkan pasukan Taskforce Mengurangkan Tunggakan Cukai Tanah di empat (4) PDT iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menangani secara khusus masalah tunggakan cukai tanah daripada hak milik bermasalah. Kerajaan Negeri mengambil maklum masalah bangunan strata yang sukar diselesaikan untuk pengeluaran hak milik strata turut menyumbang kepada tunggakan hasil cukai tanah;
- Perbendaharaan Negeri Selangor telah memperkemaskan dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemat dan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil ke arah pengurusan perbelanjaan wang awam yang sempurna;
- pelaksanaan dasar pemilikan tanah Kerajaan untuk tujuan bangunan kediaman persendirian di mana bayaran premium nominal pada kadar RM1,000.00 bagi setiap hak milik dan bayaran khas tanah pada kadar yang ditetapkan apabila tanah tersebut hendak dipindah milik melalui proses jual beli. Hak milik bagi tanah ini akan dikenakan sekatan kepentingan tambahan. Rayuan pengurangan premium tidak dibenarkan;
- pelaksanaan dasar penolakan semua permohonan rayuan pengurangan premium / premium tambahan (sama ada melalui Borang 5A atau 7G) kecuali kes pemberimilikan tanah kepada individu bagi tujuan bangunan kediaman yang telah diduduki;
- Pejabat Pemungut Hasil Negeri Selangor juga, dari masa ke masa, akan membuat penilaian ke atas kadar dan pengurusan hasil sedia ada. Sebagai contoh, PTGS kini sedang mengkaji untuk menambahbaik sistem pengurusan pengeluaran bahan batuan bagi mengelakkan ketirisan hasil; dan
- Perbendaharaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Mengkaji Hasil Negeri yang dipengerusikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri bersama-sama Pejabat Pemungut Hasil Negeri dari masa ke masa mengkaji dan memperhalusi elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai sumber baharu sebagai alternatif meningkatkan kewangan negeri?
Sumber hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan. Di antara elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan adalah:
- Hasil tanah;
- Hasil lombong;
- Hasil hutan;
- Duti hiburan;
- Terimaan mengenai bekalan dan perkhidmatan air;
- Sewa dan jualan harta Negeri;
- Bayaran fi, denda dan pelucuthakkan mahkamah selain daripada mahkamah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan;
- Faedah atas baki wang negeri;
- Bayaran mengenai perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri; dan
- Harta karun.
Di antara usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk mencari hasil baru adalah:
- Mendapatkan bayaran premium yang belum diterima daripada Kerajaan Persekutuan ke atas tanah yang dibangunkan oleh syarikat konsesi lebuh raya sebagai tapak komersial seperti stesen minyak, restoran, hotel, kedai dan gerai. Kertas cadangan telah dibawa oleh Negeri Selangor ke peringkat Majlis Kewangan Negara pada 14 Jun 2016. Perkara ini sedang dalam tindakan Kementerian Kerja Raya;
- Pada masa kini Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor sedang melaksanakan Pindaan Cukai Tanah (PCT) 2017 yang akan mula dikuatkuasakan menjelang 01 Januari 2017. Pindaan Cukai Tanah ini adalah selaras dengan Seksyen 101(5) (b) Kanun Tanah Negara (KTN) yang memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menyemak semula kadar cukai tanah setiap 10 tahun sekali. Pindaan Cukai Tanah yang dilaksanakan ini telah mendapat kelulusan MMKN Ke 5/2015 pada 04 Februari 2015. Dianggarkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperolehi pendapatan hasil cukai tanah sebanyak RM21 juta setahun selepas pelaksanaan Pindaan Cukai Tanah terbaru ini.
- Proses menaiktaraf tanah melalui pemukiman dan persempadanan semula juga sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Kali terakhir proses menaik taraf tanah dilaksanakan ialah pada tahun 1995. Kesemua PDT akan memuktamadkan kawasan yang akan dinaiktaraf sebagai bandar atau pekan untuk diangkat ke pertimbangan MMKN dan seterusnya diwartakan mengikut Seksyen 11 (c) (a) dan Seksyen 11 (d) Kanun Tanah Negara 1965. Dijangkakan hasil Kerajaan Negeri akan meningkat kerana sebahagian besar kawasan yang terlibat di dalam menaiktaraf tanah ini adalah merupakan kawasan industri dan bangunan di mana cukai yang dikenakan ketika ini adalah pada kadar tanah luar bandar;
- Kertas cadangan pelaksanaan kadar cukai petak dan pengenaan fi cukai petak bagi pembangunan berstrata ke atas Kaedah-Kaedah Hakmilik Strata Negeri Selangor selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata (Pindaan 2016) (A1518) bagi semua daerah di Negeri Selangor dijangka diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) pada penghujung tahun 2016. Ia dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari 2018 bagi memberi ruang kepada Negeri Selangor membuat persediaan pungutan data. Melalui pelaksanaan cukai petak ini, hasil kerajaan akan meningkat kerana;
- Pemilik petak hakmilik strata boleh membayar cukai bagi petak individu sahaja;
- Kutipan tunggakan cukai bagi tanah di mana bangunan didirikan boleh diagihkan berkadaran dengan unit syer petak;
- Memperuntukkan prosedur tuntutan kutipan melalui penggubalan kaedah-kaedah hakmilik strata Negeri oleh Pihak Berkuasa Negeri;
- Melantik Pihak Berkuasa Statutori (PBS) sekiranya wujud kegagalan pemilik petak membayar cukai petak serta pelanggaran syarat pada petak.
- Dapat memperuntukkan kuasa kepada PBN untuk membuat kaedah berkenaan pengenaan, perebetan, pembayaran secara ansuran, penangguhan atau apa-apa perkara sampingan melibatkan cukai petak.
- Menguatkuasakan duti hiburan ke atas taman-taman tema di Selangor selepas pengecualian berkenaan dimansuhkan oleh Kementerian Kewangan bermula pada Februari 2014;
- Cadangan pengenaan caj khusus bagi penginapan di hotel-hotel seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Melaka dan Pulau Pinang. Di Negeri Melaka caj khusus tersebut dikenali sebagai Caj Fi Warisan, manakala di Pulau Pinang dikenali sebagai Fi Pihak Berkuasa Tempatan. Kertas cadangan telah dibawa oleh Negeri Melaka ke peringkat Majlis Kewangan Negara pada 14 Jun 2016 untuk dilaksanakan oleh kesemua Negeri di Malaysia. Cadangan ini boleh dilaksanakan selepas mendapat keputusan Majlis Kewangan Negara.